Lakaran Ibn Battutah di sebuah mall di Dubai.

Latar Belakang

Nama sebenar beliau ialah Muhammad ibn Abdullah ibn Muhammad ibn Ibrahim ibn Yusuf al-Lawati al-Tanji.1 Beliau diberi gelaran Abu Abdullah2 atau Shams al-Din.3 Beliau dikenali sebagai Ibn Battutah.4 Beliau dilahirkan pada hari Isnin bulan Rejab tahun 703 H/1304 M di Tanjah atau Tangier5 iaitu sebuah daerah di Maghribi.6 Beliau terkenal sebagai seorang ahli geografi Islam yang banyak membuat pelayaran dari Timur Tengah ke India dan seterusnya China. Oleh kerana bapa dan datuknya terdiri daripada ulama dan bertugas sebagai kadi, maka Ibn Battutah sejak kecil lagi telah menerima pendidikan agama7 di kampungnya.8 Di Tanjah beliau telah menyempurnakan pelajaran syariah Mazhab Maliki.9

Kebanyakan sumber lebih ghairah menceritakan mengenai pengembaraannya sehingga latar belakang peribadinya diketepikan. Selain menerima pendidikan di Tanjah (Tangier) tidak dinyatakan dengan lanjut pengenai pendidikan beliau. Dalam The Encyclopedia Britannica ada menyebut beliau melanjutkan pelajaran di bawah para ulama terkenal di Mesir, Syria dan Hijaz tetapi tidak dinyatakan namanya.10

Beliau mempelajari banyak bidang ilmu pengetahuan seperti ilmu bahasa Arab, Parsi, Turki, sastera dan ilmu ketika dalam pengembaraannya.11

Ciri-ciri Keperibadiannya

Lakaran Ibn Battutah dalam kebanyakan buku


Ibn Battutah adalah seorang ilmuan dalam bidang pelayaran, agama dan bahasa. Dalam bidang geografi beliau dianggap sebagai seorang ahli geografi yang mempunyai sakhsiah yang menakjubkan.12 Jawatan beliau sebagai kadi di negerinya dan beberapa negeri lain yang dilawatinya membuktikan ilmu agamanya tinggi, terutama berkenaan dengan perundangan Islam dan Mazhab Maliki. Beliau bukan hanya mahir berbahasa Arab tetapi juga mahir dalam bahasa Parsi dan Turki.13 Pengembaraannya yang begitu jauh yang terpaksa menempuh pelbagai dugaan dan halangan membuktikan beliau adalah seorang yang tegas, kuat cita-cita, dan tidak mudah putus asa serta ahli dalam bidang pelayaran.Kejayaannya mendampingi para sultan, gabenor dan ketua-ketua negara, para ulama di negara yang dilawatinya menunjukkan Ibn Battutah adalah seorang yang berperibadi tinggi, mulia akhlak, berwibawa, pandai berdiplomasi serta mempunyai sifat-sifat terpuji. Oleh kerana sifat baik serta berpendirian teguh, maka kenalannya di tempat-tempat yang dilawatinya itu mudah memberi segala bantuan dan kemudahan untuk pengembarannya. Dalam bukunya Rihlah, beliau menyebut lebih 2000 orang yang ditemuinya secara peribadi atau maqam-maqam yang dilawatinya.14

Peringkat pertama

Peringkat pertama, perjalanan beliau dimulakan pada masa pemerintahan Abu Said ibn Abi Yusuf, Sultan Maghribi. Ketika itu beliau berusia 21 tahun iaitu pada tahun 725 H/1325 M, beliau mula meninggalkan kampungnya untuk menunaikan haji, menziarahi pusara Rasulullah (saw) dan mendalami pendidikan agama di Makkah.15 Beliau telah melalui kawasan-kawasan seperti Tunis, Mesir, Syria, Iraq dan beberapa negeri di utara Semenanjung Tanah Arab dan terus ke Makkah dan Madinah.16 Inilah pengembaraannya yang pertama. Dalam perjalanan ini beliau bertemu banyak para ulama dan ilmuan seperti Syeikh Abi al-Abbas ibn Abd al-Zahir dan bersama saudaranya Nasir al-Din, Mujd al-Din dan Wahid al-Din ketika di Akhmum.17 Di Qus, beliau bertemu Syiekh Shihab al-Din ibn Abd al-Ghaffar, qadi Jamal al-Din ibn al-Sadid dan khatib Fath al-Din ibn Daqiq al-cId.18 Di Baitul Maqdis, beliau menziarahi maqam Nabi Ibrahim (as), Nabi Ishak (as) dan Nabi Yacqub (as).19 Beliau juga bertemu Imam Khatib Burhan al-Din al-Ja’bari, salah seorang imam yang masyhur di mana beliau bertanya tentang kedudukan maqam-maqam tersebut.20

Beliau melalui kota-kota yang terkenal di utara Afrika seperti Telemcen, Algeria dan Bongie hingga sampai di Tunis yang ketika itu dikuasai oleh Sultan Abu Yahya ibn Zakaria dari Bani Hafas.21 Walau bagaimanapun, beliau tidak tahan menanggung derita kesunyian akibat berpisah dengan keluarga kerana pada awalnya beliau merancang untuk mengelilingi dunia.22 Kemudian beliau mengikut kafilah haji ke Tripoli dan dari sana beliau terus ke Iskandariah, sebuah daripada pelabuhan penting di Mesir, di mana beliau menyifatkan pelabuhan ini merupakan sebuah pelabuhan yang dilindungi oleh Tuhan, tempat yang cantik serta mempunyai pemandangan yang indah dan benteng-benteng yang teguh, lengkap dengan segala kesenangan dunia dan kepentingan agama.23

Setelah tiba di Kaherah pada 726H/1326M, ibu kota negeri Mesir, beliau terpesona dengan kemajuan dan kekayaan yang terdapat di Mesir. Beliau terus menjelajahi seluruh Mesir yang terkenal dengan menara yang banyak, sebagai mercu tanda dan masjid-masjid yang mashyur, gedung-gedung perniagaan dan bangunan-bangunan yang tinggi. Selain itu, beliau mengunjungi tempat-tempat bersejarah untuk menyaksikan hasil peninggalan kerajaan Mesir-Kuno. Beliau berkesempatan bertemu dengan Sultan Mesir, al-Nasir ibn Qalawun, puterinya, beberapa intelektual dan hakim.24 Antara yang ditemuinya ialah Syeikh al-Murshidi, seorang ulama di situ.25

Kemudian beliau meneruskan perjalanannya melalui persisirian Laut Merah menuju ke Palestin dengan melalui Sinai dan mengunjungi Baitul Maqdis dan tempat-tempat bersejarah yang ditinggalkan oleh masyarakat Islam dan Kristian.26 Beliau kemudiannya terus ke utara untuk melintasi Syria sehingga ke Aleppo. Pada masa itu beliau sempat berkenalan dengan pembesar-pembesar tempatan yang terkemuka, golongan terpelajar dan juga sempat melihat masjid-masjid, sekolah-sekolah dan bangunan-bangunan yang terkenal. Akhirnya beliau mengalih ke arah selatan iaitu Damsyik. Sewaktu berada di Damsyik, beliau sempat mencatat beberapa maklumat tentang Masjid Umawi, pasar, kebun, bangunan-bangunan penting serta corak kehidupan penduduknya. Beliau juga menziarahi beberapa buah maqam khalifah-khalifah Bani Umayyah di sana. Di sinilah Ibn Battutah mengubah niatnya untuk kembali kepada maksud asal penjelajahannya iaitu menunaikan fardu haji ke Makkah. Sewaktu di kota suci Makkah beliau sempat menyaksikan Masjid al-Haram, Kaabah dan maqam-maqam para imam mazhab.27 Beliau kembali semula ke Makkah pada 729 H/1329 M.28

Peringkat Kedua

Penjelajahan peringkat kedua ini bermula pada 729 H/1329 M dari Kota Makkah menuju ke selatan Iraq, kemudian ke selatan Parsi dan ke kota Baghdad.29 Dari Baghdad beliau ke Tabriz,30 utara Mesopotamia dan kemudian balik semula ke Baghdad dan dari Baghdad beliau kembali semula ke Makkah.31

Dalam perjalanan dari Makkah menuju ke selatan Iraq, beliau terpaksa menyeberangi padang pasir dan menghadapi berbagai-bagai bahaya dan cabaran. Beliau juga telah melintasi daerah yang biasa dikunjungi oleh musafir dan pedagang-pedagang dari Afrika Utara dan Andalusia dan menjadi laluan jemaah haji setiap musim. Akan tetapi berbeza pula apabila beliau menuju ke arah Timur. Beliau memasuki daerah dan suasana masyarakat yang berbeza dari segi sosial dan bahasa walaupun mereka beragama Islam. Bermula dari sinilah beliau telah membuat perbandingan tentang keadaan sosial dan geografi bagi negara-negara yang dikunjunginya. Di kawasan selatan Iraq beliau terpaksa menyeberangi Sungai Furat dan Dajlah (Tigris), setelah itu merentasi padang pasir Najd (kini terletak di kawasan Arab Saudi) sebelum menuju ke timur Iraq di mana terletaknya negeri Parsi. Apabila sampai di Parsi beliau mengunjungi bandar-bandar penting seperti Isfahan32 dan Syiraz33 dengan melalui jalan utara kembali menyeberangi ke barat Iraq. Beliau juga menzirahi Kufah dan kesan-kesan tinggalan pemerintahan Saydina cAli (krw) seperti mihrab beliau, tempat beliau dibunuh dan rumah terakhirnya.34 Ibn Battutah juga melalui Karbala’ tempat Saydina Hussayn terbunuh.35 Akhirnya beliau sampai di Baghdad. Pada masa itu Baghdad, pusat pemerintahan kerajaan Abbsiyah sudah hilang kuasa dan kekayaan serta harta benda dan bangunan telah musnah akibat kekalahan Khalifah al-Muktasim khalifah terakhir kerajaan Abbasiyah di tangan tentera Mongol pada tahun 656 H/1258 M. Setelah itu beliau pergi semula ke Makkah.

Peringkat Ketiga

Setelah berada di kota Makkah selama kira-kira dua atau tiga tahun bagi tujuan mendalami pengetahuan ilmu agama, kemudian beliau memulakan pengembaraannya peringkat ketiga. Kali ini beliau membawa beberapa orang pembantu. Dari Makkah beliau menghala ke Yaman melalui Laut Merah menuju ke pantai Timur Afrika dan menyusur pantai selatan Semenanjung Arab hingga sampai di Oman, Hurmuz dan Bahrain yang terletak di kawasan Teluk Parsi.36

Ibn Battutah menemui seorang sultan (tidak diketahui)


Beliau sempat bertemu dengan sultan Hurmuz, Sultan Qutb al-DnTamahtan ibn Turan Shah.37 Semasa beliau belayar di pantai Laut Arab untuk sampai ke Oman dan Bahrain, beliau sempat menyaksikan bagaimana penyelam-penyelam mengeluarkan mutiara dari dasar Laut Arab. Dalam tempoh itu juga beliau sempat menghadap amir-amir di negeri-negeri tersebut. Dari Teluk Parsi beliau kembali semula ke Makkah melalui jalan darat untuk menunaikan ibadat haji buat kali ketiga pada tahun 732 H/1332 M.

Peringkat Keempat

Pada tahun 732 H/1332M, setelah menunaikan haji yang ketiga tersebut, Ibn Battutah memulakan pengembara-annya peringkat keempat iaitu ke Turki atau Asia Minor, Bulgaria, selatan Rusia, dan kemudian ke India melalui Bukhara, Samarkand, Balkh, Khurasan, Afghanistan dan hinggalah ke India, iaitu di kawasan Sungai Indus.

Beliau memulakan perjalanan dengan belayar menerusi Laut Merah menuju Sudan, Nubiah dan Mesir Utara hingga sampai ke Kaherah. Tidak berapa lama di sana, beliau kemudiannya meneruskan perjalanan ke Syria, dan dari sana beliau belayar ke pantai Turki atau Asia Kecil pada tahun 733 H/1333 M. Kemudian beliau terus ke pantai Bosphoros yang diperintah oleh Uzbek Khan dengan ditemani oleh rombongan yang dikirim oleh Uzbek Khan kepada Kaisar Byzantine. Apabila sampai di Constantinople, Ibn Battutah turut menemani rombongan itu dan mendapat penghormatan.38 Beliau sampai di Constantinople setelah melalui jalan darat dan laut selama lebih kurang sebulan.39 Ketika itu keadaan Constantinople banyak berubah kerana sesuku abad yang lalu, tentera Salib (Kristian) telah menakluki Constantinople dan menghancurkan sebahagian besar bangunan-bangunan yang penting termasuk istana dan masjid. Walau bagaimanapun, keadaan yang masih ada pada ketika itu masih lagi menggambarkan kota paling indah yang pernah disaksikan oleh beliau di sepanjang pengembaraan dan pelayarannya. Keindahan ini disebabkan kota Constantinople iaitu Sungai Ibsmi.40 Kota itu terbahagi dua, di sebelah Timur dinamakan Istanbul. Di sinilah terletaknya tempat kediaman Kaisar bersama menteri-menteri dan para pembesar. Di sini jugalah terdapatnya pasar membeli-belah dan jalan raya yang indah yang dibina daripada batu dan di sini juga terdapat gereja besar yang dinamakan Santa Sophia yang terletak di tengah-tengah kota berkenaan. Bahagian kedua pula dipanggil Galatah, dan ia terletak di sebelah Barat. Ia dibina khusus untuk orang Kristian dari barat seperti orang Genoa, Venesia, Rom dan Perancis.41

Beliau sampai di India pada tahun itu juga iaitu 733 H/1333M. Di India beliau menetap selama lapan tahun.42 Dalam tempoh itu beliau pernah dilantik menjadi qadhi besar Delhi di bawah pemerintahan Sultan Muhammad ibn Tughluq (1325-51 M).43 Selain itu, Ibn Battutah juga ada menceriatakan berbagai-bagai kepercayaan orang Hindi, adat-istiadat keagamaan, tempat-tempat pemujaan dan kehidupan sosial dengan pelbagai upacara yang menyeramkan, seperti membakar wanita yang kematian suami, ziarah ke Sungai Ganges di mana terdapat orang yang menenggelamkan diri sebagai pengorbanan kepada Tuhan untuk keabdian jiwa.44 Akhirnya dikatakan beliau telah dihantar oleh Sultan Muhammad ibn Tughluq dari Delhi sebagai utusan Kesultanan Delhi, India ke negeri China (743 H/1342M).45

Dalam perjalanan ke China, beliau singgah di Sumatera dan Jawa.46 Sewaktu di Sumatera beliau singgah di Pasai, utara Sumatera dan bertemu dengan Sultan al-Malik al-Zahir yang memerintah kerajaan Pasai. Dalam catatannya, Rihlah beliau menyatakan bahawa ‘Baginda (al-Malik al-Zahir) meneruskan muzakarah ilmu fekah Mazhab Shafie, dan teruslah demikian sampai waktu Asar, selesai solat Asar baginda pun masuk ke sebelah rumah di situ, dipakainya pakaian baginda sebagai seorang fakih, dan dipakainya pakaiannya itu juga untuk ke masjid pada hari Jumaat dengan berjalan kaki. Setelah pakaian itu ditanggalkan, baginda memakai pakaian rasminya sebagai raja terbuat dari sutera dan kutun (kapas)….’47

Sewaktu di istana raja, Ibn Battutah terlihat dua orang ulama Pasai, iaitu Amir ibn Said al-Shirazi dan Tajuddin di-Isfahani. Sepanjang tempoh di Sumatera, Ibn Battutah diberikan sambutan meriah dan sangat dihormati. Dalam perjalanan ke China, dikatakan bahawa Raja Pasai itu telah menyediakan sebuah tongkang besar dan dilengkapkan dengan peralatan pelayaran untuk beliau belayar ke China. Apabila sampai ke China beliau mendarat di pelabuhan yang dikenali pada masa itu sebagai Zaitun.48 Di China beliau melawat beberapa daerah termasuk Peking. Ibn Battutah tidak lama berada di China dan pada tahun 748 H/1347 M beliau belayar pulang ke negeri asalnya, Maghribi. Akan tetapi beliau tidak lama tinggal di Maghribi kerana hatinya mendesak agar mengembara semula. Kemudian beliau ke Makkah pada musim haji dan menunaikan haji dan seterusya mengembara ke Madinah, Quds, Mesir dan kembali semula ke Maghribi pada 750 H (749)/1349 M.49

Kemudian beliau menyeberangi Laut Maditerranean menuju ke Andalusia dan mengunjungi pelabuhan dan kota-kota besar di Andalusia yang mana kerajaan Islam yang berpusat di Granada masih kuat di bawah pemerintahan Sultan Abd al-Hajjaj Yusuf ibn Walid al-Nasri dari Bani Nasr. Beliau sempat berkenalan dengan para ulama dan kaum terpelajarnya di sana. Dari sana beliau belayar kembali ke Maghribi dan seterusnya ke Sudan pada 753 H/1352 M melalui padang pasir Sahara.50 Beliau kemudiannya memasuki Timbuktu.51 Seterusnya ke Mali52 dan kemudian beliau kembali semula ke Maghribi pada 755 H/ 1355 M.53

Dengan ini beliau menamatkan pengembaraannya sejauh kira-kira 120,000 kilometer (75,000 batu)54 iaitu suatu perjalanan yang amat jauh yang belum pernah dilakukan oleh ahli-ahli pelayaran pada zaman pertengahan yang memakan masa selama kira-kira 27 atau 28 tahun iaitu antara tahun (725-753 H/1325-1352 M.

Kedudukan dan Sumbangannya

Ibn Battutah adalah seorang tokoh pengembara dan sejarawan Islam yang terkenal pada zaman pertengahan. Kemasyhurannya bukan hanya di kalangan umat Islam, tetapi juga di kalangan masyarakat antarabangsa. Para orientalis menganggapnya sebagai The Prince of Muslim Travellers.55 Kedudukan beliau sebagai pengembara yang terkenal selalu dibanding dan disamakan dengan pengembara-pengembara terkenal di dunia seperti Marco Polo.

Pengembaraannya selama 28 tahun itu telah diceritakan sendiri oleh Muhammad ibn Juzay56 seorang setiausaha kepada Sultan Abi Anan di bandar Fars untuk direkodkan.57 Rekod pengembaraannya itu dikenali sebagai Rihlah ibn Battutah. Kitab ini tamat ditulis pada 3 Zulhijjah 756 H/ 1357 M.58 Kitab ini telah menarik perhatian sarjana-sarjana sejarah di seluruh dunia dan telah diterjemahkan dalam berbagai-bagai bahasa termasuklah bahasa Portugis, Perancis, Inggeris dan Jerman.59 Ia telah diterjemahkan ke bahasa Perancis oleh sarjana Barat antara tahun 1879-1893, manakala H. A. R. Gibb meringkaskannya ke bahasa Inggeris pada tahun 1929.60 Daripada catatan pengembaraannya itu terakamnya jasa dan sumbangannya yang besar. Ini kerana catatannya itu adalah merupakan satu daripada sumber sejarah abad pertengahan yang penting bagi pelbagai aspek bagi negara-negara yang dilawatinya, baik dari segi agama, sosial, politik, kebudayaan mahupun lainnya dapat ditemui dalam rekod pengembaraannya. Bagi negeri-negeri Afrika Barat, sumber sejarahnya banyak bergantung kepada catatan itu. Demikian juga berhubung dengan kedudukan dan perkembangan agama Islam di beberapa negara termasuklah di Asia Tenggara, China dan lain-lain.

Beliau meninggal dunia di daerah Marakish pada tahun 779 H/1377 M.61

Pendapat Sarjana Barat mengenai Ibn Battutah

Will James Durant mengatakan Ibn Battutah memperoleh keluhuran peribadi yang cemerlang dan menakjubkan pada zamannya.62 Beliau melihat bahawa kebolehan Ibn Battutah bergaul dengan pelbagai golongan masyarakat baik dari golongan raja, ulama dan masyarakat biasa.63

Seorang lagi sarjana Barat iaitu Raigis Blaisyir berkata mengenai Rihlah ibn Battutah; “Kitab ini penting untuk mengetahui tentang dunia Islam pada kurun ke 14 M. Ia mempunyai maklumat mengenai penduduk-penduduk yang ditemui oleh Ibn Battutah sama ada menyentuh akidah, adat-istiadat mahupun perilaku penduduk-penduduk tersebut.”64

Yamoto Alyabani mengatakan adalah agak mustahil untuk mengatakan semua hikayat Ibn Battutah tentang China adalah khayalan beliau. Kerana agak mustahil catatan-catatannya berdasarkan sumber-sumber China dan mengikut catatan-catatan perjalanan Marco Polo kerana ia mempunyai catatan yang berlainan.65

Kesimpulan

Ibn Battutah adakah seorang tokoh pengembara dan ahli pelayaran Islam yang terkenal pada zaman pertengahan. Pengalaman pengembaraannya selama 28 tahun telah direkodkan dan dibukukan serta telah menarik perhatian para sarjana sejarah di seluruh dunia untuk diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Ringkasnya beliau telah mengambara ke Mesir, Syam, Hijaz, Iraq, Fars, Yaman, Bahrain, Turkistan, sebahagian India, China, Jawa dan tengah Afrika.66 Oleh itu, cerita pengembarannya yang telah direkodkan itu menjadi satu sumber sejarah yang tinggi nilainya hingga ke hari ini, bukan sahaja untuk orang Islam bahkan juga orang bukan Islam di seluruh dunia.

Nota Kaki

1 al-Zirikli, Khairuddin, a-A’lam, juz, 4, Jami’ al-Hukuk Mahfuzah Muallif, 1969, hlm: 114; al-Jabi, Bassam Abd al-Wahhab, Mu’jam al-A’lam, al-Jaffan wa al-Jabi, Cyprus, 1987, hlm: 740; Ibn Hajar al-Askalani, al-Durar al-Kaminah fi A’yan al-Mi’at al-Thaminat, juz. 3, Dar al-Kutub al-Alamiyah, Bayrut, 1966, hlm: 292; ‘Umar Ridha Kahalah, Mu’jam al-Muallifin, juz. 3, Muassasat al-Risalat, Bayrut, 1977, hlm: 451; Isma’il Basha al-Baghdadi, Hadiyat al-’Arifin Asma al-Muallifin Athar al-Musannifin, jld. 2, Maktabat al-Islamiyat wa al-Jacfari Tabrizi, Tehran, 1955, hlm: 169; B. Lewis et al., The Encyclopaedia of Islam, vol. III, Leiden, E. J. Brill, 1979, hlm: 735; Ahmad cAtiyah Allah, al-Kamus al-Islami, jil. 1, Maktabat al-Nahdah al-Misriyah, Kahirah, 1963, hlm: 327. Dengan sebab beliau dilahirkan di Tanjah maka beliau digelar al-Tanji (Dr. ‘Ali Muntasir al-Kattani, Rihlah Ibn Battutah, juz. 1, Muassasat al-Risalat, Bayrut, 1975, hlm: 15); al-Lawati adalah nama suku beliau, kebanyakan suku ini menetap di Mesir, antara cabang-cabangnya ialah Banu Hani, Banu Sulayman dan Banu Munkanit (‘Umar Ridha Kahalah, Mu’jam Kabail al-’Arab al-Kadimah wa al-Hadithah, juz. 3, Muassasat al-Risalat, Bayrut, 1977, hlm:1017.

2 al-Zirikli, al-A’lam, juz, 4, hlm: 114; al-Jabi, Mu’jam al-A’lam, hlm: 740; cUmar Ridha Kahalah, Mu’jam al-Muallifin, juz. 3, hlm: 451; Chamber’s Encyclopaedia, vol. VII, New Revised Edition, International Learning System Corporation Limited, London, 1970, hlm: 349; Ahmad ‘Atiyah Allah, al-Kamus al-Islami, jil. 1, hlm: 327.

3 al-Kattani, Rihlah Ibn Battutah, juz. 1, hlm: 15; al-Baghdadi, Hadiyat al-’Arifin, jld. 2, hlm: 169.

4 ‘Umar Ridha Kahalah, Mu’jam al-Muallifin, juz. 3, hlm: 451; al-Baghdadi, Hadiyat al-’Arifin, jld. 2, hlm: 169.

5 Dr. ‘Abdul Rahman Hamidah, A’lam al-Jugrafiyin al-’Arab wa Muqtatafat min Atharihim, Dar al-Fikr, Dimashq, 1969, hlm: 432; ‘Umar Ridha Kahalah, Mu’jam al-Muallifin, juz. 3, hlm: 451; The Mcgraw Hill Encyclopedia of World Biography, vol. 5, Mcgraw-Hill Book Company, New York, 1973, hlm: 448; Ahmad ‘Atiyah Allah, al-Kamus al-Islami, jil. 1, hlm: 327.

6 al-Zirikli, al-A’lam, juz, 4, hlm: 114; al-Jabi, Mu’jam al-A’lam, hlm: 740; al-Kattani, Rihlah Ibn Battutah, juz. 1, hlm: 15; B. Lewis et al., The Encyclopaedia of Islam, vol. III, hlm: 735.

7 Dr. ‘Abdul Rahman Hamidah, A’lam al-Jugrafiyin al-’Arab wa Muqtatafat min Atharihim, hlm: 432.

8 ‘Umar Ridha Kahalah, Mu’jam al-Muallifin, juz. 3, hlm: 452.

9 Dr. ‘Abdul Rahman Hamidah, A’lam al-Jugrafiyin al-’Arab wa Muqtatafat min Atharihim, hlm: 432.

10 The Encyclopedia Britannica, vol. 6, 15th Edition, William Benton Publisher, Chicago, 1975, hlm: 218.

11 Ahmad ‘Atiyah Allah, al-Kamus al-Islami, jil. 1, hlm: 327.

12 William James Durant, Kisah al-Hadarah, al-Islah al-Dini, juz. 6 mujallid 6, tarjamah, Dar al-Jil, Bayrut, 1988, hlm: 74.

13 al-Zirikli, al-A’lam, juz, 4, hlm: 114.

14 The Encyclopedia Britannica, vol. 6, hlm: 219.

15 Dr. ‘Abdul Rahman Hamidah, A’lam al-Jugrafiyin al-’Arab wa Muqtatafat min Atharihim, hlm: 432; The Mcgraw Hill Encyclopedia of World Biography, vol. 5, hlm: 448; H. A. R. Gibb, The Travels of Ibn Battuta, Goodwork Books, New Delhi, 2001, hlm: 43; al-Kattani, Rihlah Ibn Battutah, juz. 1, hlm: 30; cUmar Ridha Kahalah, Mucjam al-Muallifin, juz. 3, hlm: 452.

16 Dr. ‘Abdul Rahman Hamidah, A’lam al-Jugrafiyin al-’Arab wa Muqtatafat min Atharihim, hlm: 432.

17 al-Kattani, Rihlah Ibn Battutah, juz. 1, hlm: 67.

18 Ibid., hlm: 68.

19 Ibid., hlm: 74.

20 Ibid., hlm: 75.

21 Muhammad ‘Abdullah ‘Inan, Decisive Moments in The History of Islam, Muhammad Ashraf, Lahore, 1949, hlm: 301; H. A. R. Gibb, The Travels of Ibn Battuta, hlm: 43; Nama sebenar sultan tersebut ialah Abu Yahyah ibn Sultan Abi Zakaria Yahya ibn Sultan Abi Ishaq Ibrahim ibn Sultan Abi Zakaria Yahya ibn Abdul Wahid ibn Abi Hafs rahimahullah (al-Kattani, Rihlah Ibn Battutah, juz. 1, hlm: 33).

22 ‘Inan, Decisive Moments in The History of Islam, hlm: 301.

23 Ibid.

24 Ibid., hlm: 301-2.

25 Gibb, The Travels of Ibn Battuta, hlm: 47.

26 ‘Inan, Decisive Moments in The History of Islam, hlm: 302.

27 Ibid., 302; al-Kattani, Rihlah Ibn Battutah, juz. 1, hlm: 102-105.

28 Ahmad ‘Atiyah Allah, al-Kamus al-Islami, jil. 1, hlm: 327.

29 al-Kattani, Rihlah Ibn Battutah, juz. 1, hlm: 242.

30 Ibid., hlm: 252.

31 Ibid., hlm: 258-9.

32 Ibid., hlm: 220.

33 Ibid., hlm: 223.

34 Ibid., hlm: 238.

35 Ibid., hlm: 240.

36 Ibid., hlm: 299.

37 Ibid., hlm: 300.

38 Ibid., hlm: 368-9.

39 Gibb, The Travels of Ibn Battuta, hlm: 154.

40 al-Kattani, Rihlah Ibn Battutah, juz. 1, hlm: 387-8.

41 Ibid.

42 The Mcgraw Hill Encyclopedia of World Biography, vol. 8, hlm: 5.

43 The Encyclopedia Britannica, vol. 6, hlm: 218.

44 Jamil Ahmad, Hundred Great Muslims, Ferozsons, Karachi, 1971, hlm: 709.

45 The Encyclopedia Britannica, vol. 6, hlm: 218.

46 al-Kattani, Rihlah Ibn Battutah, juz. 2, hlm: 706.

47 Ibid., hlm: 706-708.

48 The Mcgraw Hill Encyclopedia of World Biography, vol. 5, hlm: 448; Dr. Abdul Rahman Hamidah, A’lam al-Jugrafiyin al-cArab wa Muqtatafat min Atharihim, hlm: 433.

49 cUmar Ridha Kahalah, Mucjam al-Muallifin, juz. 3, hlm: 452.

50 The Mcgraw Hill Encyclopedia of World Biography, vol. 5, hlm: 448; Dr. Abdul Rahman Hamidah, A’lam al-Jugrafiyin al-’Arab wa Muqtatafat min Atharihim, hlm: 433.

51 Dr. Abdul Rahman Hamidah, A’lam al-Jugrafiyin al-’Arab wa Muqtatafat min Atharihim, hlm: 433.

52 Ahmad ‘Atiyah Allah, al-Kamus al-Islami, jil. 1, hlm: 327.

53 The Mcgraw Hill Encyclopedia of World Biography, vol. 5, hlm: 448.

54 The Encyclopedia Britannica, vol. 6, hlm: 218; William James Durant, Kisah al-Hadarah, al-Islah al-Dini, juz. 26, hlm: 75.

55 Al-Zirikli, al-A’lam, juz, 4, hlm: 114; al-Jabi, Mu’jam al-A’lam, hlm: 740.

56 Muhammad Ibn Juzay mati pada 757 H/1356 M (Dr. Abdul Rahman Hamidah, A’lam al-Jugrafiyin al-’Arab wa Muqtatafat min Atharihim, hlm: 434). Terdapat perselisihan pendapat mengenai tarikh beliau mati, The Encyclopedia Britannica menyebut pada 1355 M, (vol.6, hlm: 219); Ahmad ‘Atiyah Allah dalam al-Kamus al-Islami, menyebut pada 757 H/1356 M iaitu setahun sebelum matinya Ibn Battutah, (juz. 1, hlm: 608) sama seperti Dr. Abdul Rahman Hamidah; manakala ‘Umar Ridha Kahalah dalam Mu’jam al-Muallifin menyebut pada 758 H/ 1357 M (juz. 3, hlm: 625).

57 Al-Zirikli, al-A’lam, juz, 4, hlm: 114; ‘Umar Ridha Kahalah, Mu’jam al-Muallifin, juz. 3, hlm: 452;The Mcgraw Hill Encyclopedia of World Biography, vol. 5, hlm: 448.

58 ‘Umar Ridha Kahalah, Mu’jam al-Muallifin, juz. 3, hlm: 452.

59 Al-Zirikli, al-A’lam, juz, 4, hlm: 114.

60 Dr.’Abdul Rahman Hamidah, A’lam al-Jugrafiyin al-’Arab wa Muqtatafat min Atharihim, hlm: 437.

61 Al-Zirikli, al-A’lam, juz, 4, hlm: 114; ‘Umar Ridha Kahalah, Mu’jam al-Muallifin, juz. 3, hlm: 452; Ahmad ‘Atiyah Allah, al-Kamus al-Islami, juz. 1, hlm: 327.

62 William James Durant, Kisah al-Hadarah al-Islah al-Dini, juz. 26, hlm: 74.

63 Ibid., hlm: 75.

64 Dr. ‘Abdul Rahman Hamidah, A’lam al-Jugrafiyin al-’Arab wa Muqtatafat min Atharihim, hlm: 434.

65 Ibid., hlm: 436.

66 ‘Umar Ridha Kahalah, Mu’jam al-Muallifin, juz. 3, hlm: 452

Kertas kerja sarjana Maruwiah Ahmat, Fakulti Pengajian Islam, UKM, 2004, tidak diterbitkan.

About these ads