Modenisme ialah satu daripada konsep hidup yang amat berpengaruh kini dan dengan itu perlu sekali kita ketahui tentangnya dalam rangka pengkajian kita tentang Islam pada zaman moden. Sehubungan dengan ini, seperti yang kita telah maklumi Islam ialah al-Din yang lengkap lagi sempurna. Tentang hal ini, Allah sendiri telah menegaskan dalam ayat yang berbunyi:

Maksudnya:
“Pada hari ini telah Ku (Allah) sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Kucukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Kuredhai Islam sebagai agama untukmu.” (Al-Maidah: 3)

Tentang kedudukan Islam sebagai al-Din itu telahpun kita huraikan dalam persoalan Islam dan sekuralisme seperti yang tersebut di atas. Dengan yang demikian, kita akan terus memperkatakan modenisme.
1.    Asal Modenisme
Modenisme seperti yang lahir dalam masyarakat Barat bererti segala fikiran, aliran dan gerakan, dan usaha untuk merubah fahaman, istiadat, institusi lama dan sebagainya supaya bersesuaian dengan suasana baru yang ditimbulkan oleh kemajuan ilmu dan teknologi moden. Dengan perkataan lain, modenisme bererti berfikir dan bertindak mengikut sesuatu masa agar sesuai dengan kemajuan dalam bidang ilmu dan teknologi moden.
Menurut Maryam Jameelah, seorang pemikir Islam yang berasal daripada keturunan Yahudi, modenisme ialah satu pemberontakan terhadap agama dan nilai rohaniah.7 Modenisme lahir akibat dari pengamalan corak hidup yang bersifat sekular. Sebenarnya, benih-benih pemberontakan ini bermula pada zaman Renaissance yang berlaku di Eropah, terutamanya melalui falsafah politik yang dipopularkan oleh Niccolo Machiavelli (1469-1530).8 Machiavelli yang membawa falsafah yang tidak bermoral ini seorang pembesar dari Florence, sebuah negara kota di Itali, dan pada satu ketika pernah berkhidmat dengan keluarga Medici yang menguasai kota tersebut. Namun begitu, beliau telah dilucutkan jawatannya atas alasan bahawa beliau menderhaka kepada kerajaan Medici. Bagi memulihkan kedudukannya, beliau telah menulis sebuah buku yang berjudul The Prince yang mengulas taktik-taktik bagaimana seseorang pemerintah itu boleh mendapat kuasa, memperteguh, serta memperluas kuasanya. Konsep yang diketengahkannya itu termaktub dalam ungkapan the end justifies the means (matlamat menghalalkan cara). Dengan itu, dia memperjuangkan politik kotor, iaitu dengan mengizinkan segala bentuk penipuan atau manipulasi oleh pihak berkuasa dalam usahanya untuk memperoleh, mengekalkan, dan memperluaskan kuasa tanpa mengira apa-apa juga kesan yang akan timbul akibat daripada perbuatan yang demikian. Sejajar dengan itu, dia menyokong pemerintahan yang bersifat mutlak.
Berikutnya, modenisme telah berkembang dengan suburnya pada abad ke 18, iaitu melalui usaha para ahli falsafah Barat, terutamanya di Perancis pada zaman Enlightenment. Konsep ini kemudiannya telah berkembang hingga ke puncaknya di Eropah pada abad ke 19, di tangan para pemikir seperti Charles Darwin, Karl Marx, dan Sigmund Freud, yang kedua-dua nama yang terakhir ini disahkan sebagai berketurunan Yahudi.
2.    Modenisme dan Penjajahan Barat
Pada peringkat akhir kurun ke 19, apabila taufan penjajahan Barat menjadi semakin kencang, maka modenisme turut sama merempuh setiap negeri di sebelah timur, menyebabkan musnahnya kebudayaan tempatan. Pihak Barat pula memuji sesiapa sahaja yang menerima konsep hidup modenis dengan jolokan seperti orang yang berpengetahuan, maju, atau progresif. Hal ini, misalnya, dapat dilihat tentang tanggapan mereka terhadap tokoh-tokoh sekular/modenis Turki seperti Mustaffa Kamal Ataturk, Midhat Pasya, Zia Gokalp, dan sebagainya. Sebaliknya, sesiapa yang menolak konsep itu dicap sebagai manusia yang mundur, kolot, atau ketinggalan zaman.
3. Ciri-ciri Modenisme
Sementara itu, sayugialah diketahui bahawa modenisme sebagai satu konsep telah menjelma di tengah-tengah masyarakat manusia dalam berbagai-bagai bentuk dan beraneka nama. Antaranya dikenali sebagai komunisme, sosialisme, kapitalisme, pragmatisme, positivisme, facisme, nazisme, zionisme, kamalisme, nasionalisme Arab, dan sebagainya.9
Semua ideologi moden yang disebutkan itu, meskipun pada tahap lahirnya kelihatan bertentangan antara satu sama lain, tetapi pada hakikatnya semuanya ialah cabang yang berlainan dari sepohon pokok anti-Tauhid. Berhubung dengan ini, eloklah diterangkan bahawa kepercayaan atau dogma utama modenisme ialah penolakan atau pengingkaran terhadap Hari Kiamat. la mengajar manusia mesti berlumba untuk berbuat apa-apa sahaja tanpa mengira akibatnya, hatta keruntuhan akhlak. la juga mengajar manusia untuk menafikan tanggungjawab mereka kepada Allah, lantaran itu memusnahkan kepercayaan bahawa keadilan dan kebaikan pasti akan menang akhirnya. Ekoran daripada itu, fahaman ini menghilangkan sifat perikemanusiaan daripada jiwa manusia.
Selain itu, modenisme juga membawa kepada penyembahan dan pendewaan terhadap manusia sendiri.lO Penyembahan ini sering kali berlindung di sebalik sains, dengan erti kata bahawa sains dianggap sebagai penyelesaian (panacae) bagi setiap masalah hidup. Dengan itu, manusia melalui kecerdasan otaknya, seperti yang terjelma dalam pencapaian mereka dalam bidang sains, menganggap mereka mampu untuk menye-lesaikan masalahnya sendiri tanpa mengharapkan bantuan daripada Allah, Pencipta dan Penguasa sekalian alam.
Berhubung dengan masalah pendewaan manusia yang disebutkan itu, maka timbullah pula konsep nasionalisme, iaitu satu bentuk pendewaan oleh sesuatu kaum terhadap dirinya sendiri dan sekali gus dengan itu lahirnya perasaan benci dalam kalangan kaum itu terhadap orang lain yang berbeza keturunan dengannya atau yang bersifat minoriti.11 Sebagai contoh, kita telah melihat bagaimana bangsa Yahudi ditindas oleh kaum Nazi di Jerman hingga zaman Perang Dunia Kedua dulu, dan kini bagaimana pula orang Arab Palestin ditindas oleh Israel, orang Islam di India dinafikan hak mereka dan seterusnya orang Islam Turki ditindas di Cyprus dan juga di Thrace Barat (Macedonia) yang dikuasai oleh Greece.
Melalui konsep nasionalisme juga, setiap rakyat sesebuah negara dituntut agar memberi setinggi-tinggi kepatuhan dan ketaatan kepada negara sekular yang berkuasa penuh ke atas mereka, tanpa mengira atau kadangkalanya memandang ringan sahaja akan peraturan Ilahi yang seharusnya diutamakan. Lanjutan daripada itu, maka para pemimpin politik didewa-dewakan. Umpamanya gambar dan patung mereka dipamerkan di mana-mana supaya rakyat sentiasa kagum seolah-olah mereka itu Tuhan dan tidak mungkin salah atau silap. Contoh yang paling ketara tentang hal ini adalah di Rusia, iaitu tentang bagaimana Lenin dan Stalin didewa-dewakan. Pada satu ketika dulu, Mao Tze Tung juga didewa-dewakan selaku Tuhan oleh rakyat China Komunis hingga tiada siapa pun yang berani mengkritiknya dan Red Book (Buku Merah) ciptaannya dihormati sebagai kitab suci. Begitulah tentang kes-kes nasionalisme yang paling ekstrim. Pemujaan yang melampau-lampau terhadap pemimpin juga berlaku dalam kalangan sebahagian daripada negara-negara Islam dan hal ini berhubung rapat dengan semangat nasionalis yang diperjuangkan itu.
Di samping itu, modenisme juga tidak mempunyai pengukuran yang objektif dan mutlak tentang kebenaran dan nilai akhlak itu hanyalah bersifat relatif (berubah-ubah).12 Kemudiannya, kesahihan sesuatu hal dikira terbatas oleh masa, tempat, dan keadaan. Dari segi lain pula, apa-apa sahaja yang berupa perubahan dan pembaharuan dianggap baik dan sesuatu perkara yang cepat berubah dikira lebih baik. Lantaran itu, sesuatu yang tetap, iaitu tidak berubah, dikira sebagai usang dan negatif. Sejajar dengan ini, apa-apa yang dikatakan terbaik ialah sesuatu benda yang berada dalam keadaan up to date, iaitu sama ada dari segi fesyen, model, kereta terbaru, tarian terbaru, dan sebagainya.13
Dengan menekankan persoalan material, maka modenisme bertindak untuk melemahkan ikatan kekeluargaan dan kehidupan rumah tangga dengan sebanyak yang mungkin. Ada antara golongan modenis yang mengatakan bahawa Islam itu semata-mata satu agama dan tidak melibatkan persoalan politik, bersesuaian dengan pandangan golongan sekular yang mengambil tradisi Kristian sebagai kayu ukur mereka. Untuk menguatkan hujah mereka tentang hal ini, mereka mendakwa bahawa Rasulullah SAW secara kebetulan (by accident) atau untuk kepentingan politik, terpaksa menjadi ketua negara setelah baginda berpindah ke Madinah, sedangkan pada asalnya tiada ketetapan yang demikian dalam Islam. Ini jelas memperlihatkan betapa kelirunya pandangan ini apabila dibandingkan dengan keterangan yang diberi oleh AI-Quran, hadith serta sirah (sejarah hidup) Rasulullah SAW. Golongan modenis juga menolak peranan ulama yang silam dengan alasan bahawa ulama itu telah menafsir Islam secara tidak tepat, sedangkan mereka yang mengakui berwibawa itu hanya terdidik dengan tradisi keilmuan Barat!


Nota Hujung

7     Beliau memeluk agama Islam pada tahun 1960 dan kini terus mempertahankan kesucian Islam dari pencemaran falsafah Barat. Untuk mengetahui pendapatnya secara lengkap mengenai persoalan modenisme, sila baca Maryam Jameelah, ‘Falsafah Modenisme dan Ciri-cirinya’, Dian, September 1979, hlm. 104-107.
8    Maryam Jameelah, Islam and Modernism, hlm. 4.
9    Ibid., hlm. 16.
10    Ibid., hlm. 17.
11     Ibid.
12     Ibid, hlm. 18.
13     Ibid., hlm. 19.

Dipetik daripada tulisan Fadhlullah Jamil, Islam di Asia Barat Moden: Penjajahan dan dan Pergolakan,Karisma, 2007.

About these ads