Albert Hourani

PERMASALAHAN PENULISAN SEJARAH ISLAM MENGIKUT ALBERT HOURANI

Tamadun-tamadun yang didominasi oleh pengaruh Islam seperti pada tamadun Arab, Parsi dan Turki, sentiasa peka akan sejarahnya dan telah menghasilkan turutan sejarawan yang matlamatnya bukan sahaja untuk mengingati amalan Rasulullah s.a.w. bahkan juga untuk merakamkan segala yang diketahui tentang tempat dan masa ayat-ayat Al-Quran dipercayai diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. Mereka juga merakamkan rangkaian saksi-saksi yang mewariskan amalan dan sabda Rasulullah s.a.w. kepada generasi seterusnya dan juga para sarjana yang telah menyampaikan sistem hukum dan pemikiran yang terbit daripada ramalan dan tradisi. Tradisi sejarah ini masih lagi belum hilang. Pada awal kurun ke-19, satu rekod peristiwa menyeluruh yang sama pentingnya dengan yang dihasilkan di abad pertengahan, iaitu Aha’ib al-Athar oleh al-Jabarti telah dihasilkan di Mesir. Seterusnya, hasil kerja pensejarahan gaya perantaraan abad pertengahan dan moden seperti Khitat oleh Mubarak, Tarikh oleh Cevdet, Kitab al-Istiqsa oleh al-Nasiri dan juga kamus biografi agung yang merekodkan kehidupan para sarjana dan ahli sains, iaitu Hilyat al-Bashar di Syria, Hilyat al-Anfas oleh Al-Kattani di Maghribi. Walau bagaimanapun menjelang akhir abad ke-19, ahli sejarah tradisional tidak lagi menyumbangkan suatu rangka di mana orang Islam berpendidikan moden dapat melihat sejarah mereka, atau pun sarjana Barat dapat memahami perkembangan masyarakat dan tamadun Islam.

Di Eropah dan Amerika Utara, kajian profesional tentang sejarah Islam hanya bermula kira-kira dua generasi yang lalu. Sekian lama sejarah Islam merupakan sebahagian daripada ‘pengajian Islam’ dan pengajian Islam itu sendiri merupakan hasil sampingan penyelidikan yang lebih besar dan lebih ditumpukan oleh pemikiran kurun ke-19, iaitu filologi perbandingan, kritikan Injil dan ‘sains agama’. Hanya pada zaman I. Goldziher (1850-1921) dan C. Snouck Hurgronje (1857-1936) barulah pengajian Islam dijadikan satu disiplin sendiri yang memerlukan tumpuan penuh para sarjana. Seterusnya pada masa C.H. Becker (1876-1930) sebahagian daripada mereka yang mengkaji Islam mula menganggap diri mereka ahli sejarah dan cuba meningkatkan pembelajaran dan pentafsiran sejarah Islam ke tahap yang paling tinggi. Hanya pada generasi kini di beberapa universiti, terdapat dalam kalangan mereka yang berupaya menumpukan sepenuh masa mengajar sejarah Islam
Maka kajian sejarah Islam telah bermula 100 tahun lebih dahulu daripada sejarah Eropah, namun asas-asas penting atau penciptaan tradisi terkumpul masih belum dapat dilaksanakan. Pada abad ini pun, kajian sejarah Islam masih belum dapat menarik ramai sarjana untuk melaksanakannya. Ia masih tidak dapat mempengaruhi orang Eropah dan Amerika sebagaimana dilakukan oleh orang China dan Jepun. Menurut anggaran kasar, pengajaran sejarah Islam secara serius hanya didapati di 20 universiti di Amerika Utara, 20 di Eropah Barat dan 20 di Timur Tengah dan Afrika Utara. Di Amerika Utara, terdapat hanya kira-kira 30-50 guru di universiti yang dapat memberi sepenuh perhatian kepada sejarah Islam, 15-20 di Britain, Perancis dan Jerman, Mesir, Turki dan Israel serta beberapa orang di negara-negara Timur Tengah. Semuanya terdapat kira-kira 200-300 sarjana yang boleh dianggap sebagai ahli sejarah Islam. Di Eropah Barat dan Amerika Utara, beberapa ratus pelajar universiti didedahkan kepada kursus asas sejarah Islam dan terdapat beberapa ribu pelajar di Timur Tengah dan Afrika Utara. Namun begitu hanya sebilangan kecil sahaja yang mengikuti pengajian ijazah pertama di mana pengajian utama adalah sejarah Islam dan hanya beberapa orang sahaja yang meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Bagi sesetengah bidang dalam sejarah Islam, bilangan ahli sejarah terlatih yang ada masih tidak dapat mengisi kekosongan jawatan pengajar. Bilangan yang sedikit guru dan penyelidik di bidang ini disebabkan oleh hanya sebilangan sahaja daripada mereka yang berupaya meneruskan pengkhususan tetapi skop pengajaran yang perlu mereka ajarkan amat luas. Walau berapa kuat para sarjana dan penulis ini bekerja, mereka masih lagi belum dapat memenuhi semua keperluan. Antara contoh yang jelas ialah hanya terdapat beberapa kumpulan dokumen yang telah dikatalogkan dengan sempurna, tidak semua hasil tulisan asas diterbitkan, hanya terdapat beberapa tinjauan am tentang masa dan kawasan yang menggabungkan penyelidikan terkini, hanya terdapat beberapa monograf berkenaan masa atau personaliti yang penting dan tidak ada biografi yang memuaskan sehingga kini.

Kebanyakan penyelidik yang ada sebenarnya hidup terpencil, pertama secara fizikal di mana terdapat hanya satu atau dua orang sahaja di kebanyakan universiti, dan kedua secara intelektual. Setiap daripada mereka mengkaji subjek yang tersendiri kerana terdapat suatu persetujuan di mana para sarjana tidak boleh menyentuh bidang sarjana lain dan juga kurangnya perselisihan intelektual yang dapat merangsang penyelidikan dan pemikiran lanjut. Pelajar sejarah Inggeris contohnya, telah biasa dengan argumen yang hebat dan berhasil seperti yang berkaitan dengan bangsawan abad ke-17 ataupun struktur politik abad ke-18. Hanya sedikit sahaja argumen seperti ini dalam pengajian Islam, iaitu perbincangan antara ahli sejarah Perancis dan Afrika Utara tentang penaklukan Bani Hilal dan argumen tentang Jamal al-Din al-Afghani yang disumbangkan oleh Kedourie dan Keddie. Tidak banyak perbincangan lain walaupun sejarah Islam penuh dengan masalah apabila perdebatan pendapat yang berbeza merupakan cara untuk mengembangkannya.

Rintangan yang lebih besar ditunjukkan oleh kekurangan ahli sejarah Eropah dan Amerika kerana cara penyelidikan yang agak ketinggalan. Mana-mana sarjana Barat yang mengkaji sejarah China atau Jepun pasti sedar betapa mereka kekurangan dari segi asas yang teguh, rangsangan dan kerja sama berbanding sarjana Cina atau Jepun. Namun begitu di Timur Tengah, sejarah naratif dan kamus biografi gaya lama masih terus ditulis pada abad ini (seperti hasil al-Rafi di Mesir, al-Ghazzi, al-Tabbakh dan Kurd Ali di Syria dan Azzawi di Iraq). Penghasilan pensejarahan moden amat lambat serta terhalang oleh rintangan seperti kemajuan pendidikan tinggi yang lambat, ketiadaan persekitaran yang menjana penyelidikan dan kewujudan batas-batas politik terhadap penyelidikan dan penerbitan bebas.

Di sesetengah negara keadaan ini telah berubah. Di Mesir kini terdapat satu tradisi sejarah tulen yang ditunjukkan pada penerbitan teks-teks dan dokumen Arab serta penghasilan hasil-hasil kerja yang baik tentang sejarah tempatan. Di Israel, kaedah dan tahap cara pembelajaran Eropah telah dibawa masuk oleh sarjana yang berhijrah telah mula bertapak. Perkembangan pensejarahan Turki paling menarik kerana ia berlaku dalam keadaan yang sama seperti pensejarahan Eropah pada kurun ke-19 di mana kesedaran kebangsaan berkembang dengan kemunculan semangat satu negara satu bangsa. Di Turki seperti mana Eropah, faktor-faktor ini merangsang keinginan seseorang untuk memahami masa silamnya dan ia menjadi panduan suatu bangsa di mana walaupun dikritik oleh para pemikir, masih dapat memberi tumpuan yang memuaskan dalam menghasilkan suatu hasil kerja sejarah. Revolusi Kemalist cuba menerangkan dan mewajarkan dirinya melalui ungkapan sejarah dengan memperbaharui semula kesedaran tentang sejarah suatu bangsa. Desakan ini menghasilkan suatu kajian ke atas idea yang terbit daripada ahli sosiologi Perancis abad ke-19 oleh Fuat Koprulu, seorang sarjana dan guru.

Di negara-negara lain kemajuan ini agak lambat dan terdapat sedikit sahaja bilangan ahli sejarah. Contohnya di Lebanon, tradisi panjang sejarah tempatan hanya dibawa oleh seorang sarjana sahaja. Ini agak memudaratkan dari pelbagai sudut. Tafsiran diri adalah unsur penting dalam pensejarahan dan terdapat kekurangan dalam sejarah suatu masyarakat yang ditulis oleh orang luar. Lagipun, ada beberapa perkara yang seorang sarjana asli bangsa tertentu dapat buat lebih baik berbanding yang lain, seperti pengumpulan dokumen tempatan dan penyuntingan teks. Di Afrika Utara, beberapa esei interpretatif yang muncul kebelakangan ini (contohnya, Histoire du Maghreb oleh Laroui) yang masih perlu diselidik untuk menguji atau mengubah suai idea yang terkandung dalamnya.

* * *

Dalam keadaan ini, kemajuan penyelidikan sejarah sememangnya lambat bagaimana pun ia telah dilaksanakan dan kini terdapat satu disiplin akademik sejarah Islam yang tersendiri. Seperti mana disiplin sejarah lain ia terdiri daripada dua aktiviti yang berkait rapat: penemuan, pengumpulan dan penyuntingan sumber, dan tafsiran. Untuk menyampaikannya ia perlu diasingkan dan lebih hampir kepada sifat pemikiran sejarah.

Ahli sejarah Islam klasik berkembang atas hasil kerja satu sama lain, iaitu setiap rekod peristiwa mengandungi secebis daripada rekod sebelumnya. Prosedur ini dicontohi oleh ahli sejarah Islam Eropah. Sumber utama mereka adalah rekod-rekod peristiwa yang sukar dicari dan disunting. Kini banyak juga rekod peristiwa penting boleh didapati dalam bentuk cetakan tetapi ada yang hilang sebahagian atau seluruhnya, ada yang belum diterbitkan dan ada yang telah diterbitkan tetapi masih dalam edisi lama seperti hasil kerja orang Arab di Kaherah pada kurun ke-19 dan sejarah Uthmaniyah yang diterbitkan di Istanbul. Hanya terdapat beberapa edisi baru yang lebih memuaskan seperti edisi baru al-Tabari di Kaherah.

Penggunaan sumber hasil tulisan akan terus memainkan peranan penting dalam kerja ahli sejarah Islam. Terdapat beberapa sumber lain yang wujud pada awal kurun dalam Islam. Namun demikian, hasil yang signifikan masih boleh didapati melalui kaedah tradisional, iaitu kajian teliti hasil-hasil tulisan sama ada ia rekod peristiwa, biografi atau pun hasil kerja lain (contohnya, teks perundangan), oleh sarjana yang menggabungkan latihan filologi penuh dengan kemahiran ahli sejarah mengemukakan soalan yang dapat memyingkap makna dan implikasi yang terpendam. Hasil tulisan kajian Islam ada menyatakan beberapa contoh klasik seperti Goldziher yang menggunakan hadis untuk menerangkan kontroversi politik dan teologi di abad permulaan, dan Lammens yang menggunakan Kitab al-Alghani untuk menggambarkan masyarakat pra-Islam dan awal Islam. Beberapa hasil kerja terbaru menunjukkan betapa berkesan kaedah ini, contohnya kajian Udovich ke atas teks perundangan untuk menerangkan organisasi perdagangan abad pertengahan, dan penyelidikan teliti oleh Sha’ban tentang makna sebenar rekod-rekod peristiwa penting untuk menerangkan revolusi Abbasiyah.

Walau bagaimanapun, sejak kebelakangan ini tumpuan telah banyak beralih daripada penggunaan sumber hasil tulisan kepada pengumpulan dan penggunaan dokumen-dokumen, iaitu teks yang ditulis bagi tujuan praktikal seperti perdagangan dan pentadbiran yang boleh digunakan oleh ahli sejarah bagi tujuan lain. Ada yang mengatakan bahawa sejarah Islam terutamanya sebelum zaman Uthmaniyah tidak boleh disandarkan dengan teguh seperti sejarah zaman pertengahan Eropah kerana kekurangan dokumen kukuh sebagai bukti. Ini memang benar bahawa tiada arkib lengkap dan teratur kerajaan abad pertengahan yang kekal sebagaimana arkib Pope atau tentang raja-raja England dan Perancis. Kini terdapat usaha yang lebih sistematik dan berjaya untuk mengumpulkan dan mengkaji dokumen canseri (dewan mahkamah tinggi) dan diplomatik. Ia boleh ditemui di banyak tempat seperti di biara-biara dan tempat ibadat orang Yahudi, arkib Eropah, perpustakaan-perpustakaan di Istanbul kerana banyak dokumen daripada pelbagai negara yang ditakluki oleh tentera Uthmaniyah dibawa ke sana atau ditulis dan direkodkan. Contoh hasil kerja yang menunjukkan bahawa banyak yang dapat boleh dipelajari daripada sumber-sumber ini ialah Fatimid Decrees dan Documents from Islamic Chanceries yang disunting oleh S. M. Stern. Terdapat juga waqfiyas abad pertengahan dan beberapa asas Mamluk di Kaherah digunakan. Di Mesir, banyak dokumen boleh didapati kerana iklimnya yang kering dan kesinambungan pentadbirannya di sebalik perubahan politik yang berlaku. Ini termasuk manuskrip pada kertas papyrus yang mengandungi butir-butir terperinci tentang pentadbiran dan kewangan yang boleh digunakan bersama-sama bahan-bahan daripada zaman pra Islam yang agak jarang digunakan kerana terdapat sedikit bilangan ahli papirologi Arab selepas Grohmann. Terdapat juga dokumen perdagangan dan perundangan termasuk hasil kerja agama dan sastera di tempat ibadat Yahudi di Fustat yang telah diterbit dan dikaji. Ia menjadi asas kajian utama yang sedang dijalankan pada masa ini, iaitu A Mediterranean Society oleh Goitein. Masih tidak nampak hasil kerja lain sebesar ini tetapi Richard telah menerbitkan suatu koleksi kecil dokumen-dokumen daripada tempat ibadat Yahudi Karaite di Kaherah manakal D. Sourdel dan J. Sourdel telah menemui satu koleksi dokumen dari Damsyik pada abad ke-10.

Banyak bahan bagi zaman moden awal tentang empayar-empayar agung boleh didapati daripada arkib Uthmaniyah tentang empayar Uthmaniyah itu sendiri dan juga semua wilayah jajahannya, termasuk kawasan Afrika Utara dan semua negara yang berurusan dengan sultan-sultan Uthmaniyah, Eropah timur dan tengah, Caucasus dan Iran. Maklumat ini bukan sahaja berkaitan zaman pemerintahan Uthmaniyah malah zaman sebelumnya juga.

Arkib kerajaan wilayah Uthmaniyah telah banyak yang musnah atau bertaburan tetapi ia masih wujud di beberapa bandara yang mempunyak autonomi atau birokrasi maju contohnya, Sofia, Kaherah dan Tunis. Baru-baru ini seorang ahli sejarah Mesir, Abd al-Rahim telah menemui dan menggunakan sumber dokumen bagi sejarah tempatan Mesir pada abad ke-18. Walau bagaimanapun sejarah wilayah-wilayah boleh didapati daripada arkib mahkamah agama yang mengandungi rekod-rekod kes penghakiman dan juga beberapa dokumen awam dan sulit (seperti wasiat) lain. Raymond pernah menggunakan dokumen daripada mahkamah Kaherah untuk menyelidiki struktur harta benda dan kekayaan Mesir pada abad ke-18. Dokumen seperti ini telah mula dikumpulkan untuk tujuan penyelidikan di Syria dan beberapa negara lain.

Bagi Iran Safavid, tiada arkib yang didapati tetapi beberapa usaha telah dibuat untuk mengumpulkan dokumen dan hasil kerja oleh Busse menunjukkan bahawa banyak yang boleh dikumpulkan daripada sedikit dokumen. Bagi bahagian timur dunia Islam banyak sumber penting boleh didapati daripada arkib Cina Dinasti Ming dan Ch’ing.

Bagi Timur Tengah abad ke-19 dan 20, kebanyakan hasil tulisan berdasarkan dokumen konsul dan diplomatik British dan Perancis. Ia akan terus digunakan bagi pelbagai tujuan tetapi bagi sejarah dalaman Uthmaniyah, Qajar dan Alawi, kemasyhurannya tidak memungkinkan kemunculan idea baru. Pengenalan hukum ‘tiga puluh tahun’ di Pejabat Rekod Awam British telah membolehkan kajian mendalam tentang zaman takhta British dan menyingkap kaitan konial dari satu sudut. Arkib negara Eropah terutamanya Empayar Austro-Hungary dan Russia masih belum digunakan sepenuhnya. Ia mungkin saling melengkapi antara satu sama lain sejarah Uthmaniyah fasa terakhir untuk mendapat gambaran masyarakat dan politik Uthmaniyah. Selain daripada sumber Uthmaniyah, arkib negara Mesir kaya dengan bahan-bahan yang telah disusun untuk kegunaan para sarjana pada masa pemerintahan Raja Fuad. Bahan-bahan ini digunakan bagi mengkaji sejarah Mesir dan Syria pada pemerintahan Muhammad Ali (A. Rustum menerbitkan kalendar besar negara Syria dan Deny menerbitkan satu katalog dokumen Turki). A. Schloch telah menggunakan bahan-bahan ini sebagai asas kajian zaman Urabi yang kini dapat dilihat melalui kaca mata orang Mesir. Penemuan rekod kerajaan Mahdi di Sudan oleh Holt membuktikan bahawa sepencil mana sesebuah kerajaan ia masih dapat ditemui melalui tulisan-tulisan pada kertas. Arkib Israel agak lengkap dan teratur. Kini usaha padu telah dimulakan oleh ahli sejarah Timur Tengah dan Afrika Utara untuk mencari dan mengumpulkan dokumen sejarah negara dengan bantuan kerajaan.

Dipetik daripada buku tulisan Albert Hourani, The Study of Middle East.

About these ads