Dakwah dan Kaunseling
Ramai pihak yang mempertikaikan hubungan Islam dan kaunseling. Menurut mereka, Islam tidak ada kena-mengena dengan teori kaunseling moden kini. Segala garapan yang dikemukakan oleh para sarjana Islam dikatakan tidak menepati pengertian kaunseling yang ada pada hari ini. Walaupun kita boleh menerima bahawa kaunseling merupakan suatu penemuan disiplin ilmu baru yang dibangunkan secara teratur oleh para sarjana Barat, mereka tidak dapat menolak hakikat bahawa Islam secara konsep dan amalannya adalah berkait rapat dengan beberapa unsur yang telah dibahaskan dalam disiplin kaunseling. Sebagai contoh, Dr. Hassan Langgulung mengaitkan suatu aspek penting dalam dakwah iaitu tazkiah sebagai menghampiri disiplin kaunseling yang membicarakan unsur-unsur kejiwaan diri manusia. Secara khusus, kaunseling dalam konteks tazkiah adalah sebahagian daripada disiplin ilmu dakwah yang mempunyai skop yang luas itu. Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa dakwah dan kaunseling bercambah daripada dua tamadun yang berbeza (Islam dan Barat) tetapi ia dapat diharmonikan menerusi proses akulturasi.1
Kepentingan maklumat mengenai hal-hal kejiwaan manusia atau psikologi dalam dakwah juga ditekankan oleh para sarjana Islam yang lain. Sebagai contoh, seorang tokoh dakwah dari Indonesia, H. M. Ariffin menyatakan bahawa psikologi dakwah membahaskan kegiatan aktiviti rohaniah insan dilihat dari aspek individu dan kemasyarakatannya. Kedua-dua aspek ini ternyata amat berkesan dalam proses kegiatan dan perancangan dakwah Islamiah di mana psikologi dakwah memberikan petunjuk dan pengertian tentang situasi dan kondisi aspek kejiwaan sasaran dakwah dari segi personal dan sosialnya. Berdasarkan kenyataan ini, objektif psikologi dakwah dalam proses pengembangan melalui analisisnya terhadap aspek kehidupan psikososial adalah menjadi dasar penting untuk dicantumkan dalam proses kegiatan dan perancangan dakwah yang mana para pendakwah merupakan faktor yang saling kait-mengait antara satu sama lain. Oleh kerana itu, pandangan psikologi masyarakat perlu dikemukankan secara formal sebagai cara yang mempercepatkan lagi proses kejayaan dakwah Islam dalam segala aspeknya sebagai risalah untuk semua umat.2
Istilah nasihat yang menjadi inti perbincangan dalam ilmu kaunseling sebenarnya merupakan satu daripada kaedah teras dalam ilmu dakwah. Rasulullah SAW sendiri menegaskan bahawa Islam adalah agama nasihat (al-Din al-Nasihah). Islam juga terlebih dahulu dan secara lebih terperinci pula mendalami kelakuan serta sifat manusia sama ada zahir dan batin bagi menyediakan asas yang kukuh bagi pendekatan nasihat atau kaunseling itu sendiri. Secara lebih khusus, Islam mewajibkan perlaksanaan dakwah yang menyeru manusia kepada kebaikan dan mencegah mereka daripada perbuatan yang munkar. Hakikat ini berdasarkan dua firman Allah swt. bermaksud:

“Hendaklah ada antara kamu suatu umat yang memerintah kepada kebaikan dan melarang kemungkaran. Mereka itulah orang yang beroleh kejayaan”. (Ali Imran: 104).
“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat yang baik, dan berdebatlah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat petunjuk.” (al-Nahl: 125).

Kedua-dua ayat di atas menggambarkan hubungan langsung antara dakwah dan kaunseling. Ayat pertama secara umumnya menggesa kewajiban umat Islam supaya menyeru ma’ruf dan mencegah mungkar. Ia juga secara tidak langsung membawa pengertian bahawa umat Islam perlu menubuhkan suatu institusi bagi menangani perkara tersebut. Ayat kedua pula mengaitkan kalimah ud’u (serulah) dengan tiga kaedah iaitu hikmah (bijaksana), maw’izah (nasihat) dan mujadalah (debat). Ketiga-tiga kaedah ini mempunyai kaitan yang rapat dengan pendekatan kunseling moden. Kaedah pertama iaitu hikmah mempunyai pengertian yang luas. Menurut Dr. Wan Hussein Azmi, hikmah bagi para pendakwah ialah bersifat dengan sifat-sifat kenabian (benar, amanah, cerdik dan tabligh), berlaku adil, bersabar dan mempunyai ilmu serta pengalaman yang luas. Kaedah kedua iaitu maw’izah adalah secara jelas mengaitkan nasihat atau kaunseling sebagai cara berdakwah. Ahli-ahli tafsir mentafsirkan wa’az (memberi kesedaran/nasihat)3 dengan beberapa pentafsiran, antaranya ialah;
1.     Menghindarkan diri manusia dari keburukan dengan cara menimbulkan kegemaran dan perangsang untuk meninggalkannya, dan menanamkan rasa tidak mahu melakukannya lagi. Cara ini dapat melembutkan hati mereka yang akan membawanya kepada rasa khusyu’.
2.     Memberi rasa kepada pendengar-pendengar bahawa wa’az atau nasihat itu ialah untuk kebaikan mereka sendiri.
3.     Nasihat yang disampaikan dengan lemah-lembut sehingga ia dapat meresap ke dalam hati dengan halus dan mendalam serta dapat masuk ke dalam jiwa dengan lembut. Nasihat bukanlah tengking herdik dan celaan, dan bukan dengan mendedahkan kesalahan yang berlaku dengan sebab jahil atau bertujuan baik. Lemah-lembut dalam menasihati dapat memberi petunjuk kepada hati yang sesat dan dapat menjinakkan hati yang liar, serta dapat mendatangkan natijah yang baik.4

Berdebat yang menjadi pendekatan terakhir dalam ayat di atas boleh dikaitkan dengan proses kaunseling, khususnya dalam keadaan yang tertentu dan sesuai. Berdiskusi dalam dakwah bertujuan untuk menjauhkan pendengar dari berasakan bahawa pendakwah itu menyerang aqidah dan kehormatan mereka. Sebaliknya, pendakwah digalakkan supaya menjadi rakan sebaya yang saling hormat-menghormati dalam merintis kebenaran. Dalam suasana seperti ini, dakwah hidup bersama-sama dengan orang yang didakwahkan. Mereka kurang berasa tertekan tetapi berasa seperti dimuliakan dan diraikan. Tiada yang kalah atau menang dalam perdebatan ini tetapi yang ada ialah usaha bersama untuk mencari kebenaran. Pendekatan diskusi dalam dakwah seperti ini sebenarnya kerapkali berlaku dalam proses kaunseling dalam bentuk perbincangan bagi menyelesaikan masalah.5

Di samping itu, istilah tarbiyyah yang sering diasosiasikan dengan dakwah diterima sebagai suatu aspek penting dalam kaunseling Islam. Asosiasi ini sebenarnya tidaklah menghairankan justeru pendidikan dianggap sebagai ‘a purposeful activity directed to the full development of individuals.’ Justeru itu, tarbiyyah dilihat sangat penting dalam menjana pembangunan insan bertaqwa yang taat dan patuh kepada perintah Allah SWT. Ia berperanan menjadikan manusia insaf tentang hakikat penciptaannya. Pengenalan ini akan melahirkan satu bentuk hubungan yang erat antara yang dicipta dengan pencipta. Bila dimensi ini terbina dan manusia yakin bahawa yang menjadikannya itu adalah Tuhannya yang sebenar, maka ia akan melahirkan implikasi yang positif dalam perjalanan hidupnya serta memberi impak dalam hubungannya dengan manusia dan makhluk lain ciptaan Allah. Matlamat tarbiyyah boleh dicapai melalui lima aspek penting iaitu Tarbiyyah bi al-Mauizah (melalui nasihat), Tarbiyyah bi al-Qissah (melalui cerita), Tarbiyyah bi al-Ahdath (melalui peristiwa), Tarbiyyah bi al-Qudwah (melalui teladan) dan Tarbiyyah bi al-Uqubah (melalui denda). Semua dimensi tarbiyyah ini didokong oleh para ulama dan sarjana Islam terkemuka seperti Dr. Abdullah Nasih Ulwan dan Dr. Abdul Rahman Umairah dalam buku mereka seperti Tarbiyyah al-Aulad fi al-Islam dan Manhaj al-Quran fi Tarbiyyah al-Rijal.6

Perbincangan di atas menunjukkan bahawa dakwah dan kaunseling mempunyai hubungan yang amat rapat. Unsur-unsur kaunseling seperti tazkiah, wa’az dan diskusi sebenarnya adalah sebahagian daripada pendekatan dakwah. Justeru itu, kefahaman terhadap dakwah dan tarbiyyah boleh dijadikan asas dalam meneroka suatu bentuk pendekatan kaunseling Islam yang mantap. Penemuan baru dalam bidang kaunseling moden pula (sekiranya selaras dengan Islam) pasti memberi manfaat kepada kemajuan pendekatan dakwah itu sendiri. Ringkasnya, kaunseling dan dakwah adalah saling silih berganti (interchangeably) dalam menjayakan perkembangan dan kegemilangan agama Islam, walaupun mungkin terdapat perbezaan yang ketara dalam konsep dan pendekatan masing-masing.

Gerakan Islam dan Kaunseling
Secara tradisi, dakwah dan kaunseling telah diamalkan secara individu oleh para Khalifah Islam yang bersifat terbuka kepada teguran dan nasihat. Khalifah al-Rashidin umpamanya bukan sahaja bersedia dibetulkan dengan nasihat malah dengan beraninya sanggup berdepan dengan mata pedang sekiranya melanggar ketentuan agama Islam. Pendekatan ini sangat berkesan kerana umat diasuh dengan suatu pola pemikiran dan tindakan yang berorientasikan dakwah dan kaunseling secara terbuka, telus dan berani, walaupun tidak mengkhusus memahami dari perspektif moden yang diagung-agungkan oleh manusia hari ini. Dari sudut intitusi pula, ia boleh dihubungkan dengan konsep dan aktiviti hisbah yang dilaksanakan oleh kerajaan sebuah negara Islam. Konsep hisbah ini dihayati dan dikendalikan oleh para pemimpin pada kurun-kurun pertama kebangkitan Islam. Pendekatan yang sistematik terhadap kaunseling mula diberikan perhatian apabila wilayah Islam semakin bertambah luas. Oleh itu, Saidina Umar al-Khattab menubuhkan institusi Hisbah dan dianggap sebagai suatu profesion ketika itu. Baginda mengangkat muhtasib (penasihat atau kaunselor) yang berkebolehan membimbing manusia kepada kebaikan dalam segala bidang. Mereka menawarkan khidmat bimbingan kepada masyarakat khususnya dalam urusan keagamaan. Hisbah dijalankan oleh semua golongan seperti khalifah, amir-amir, guru-guru, imam, suami, jiran dan ibu bapa. Hisbah dilaksanakan di rumah-rumah, masjid, pasar, madrasah, jalan dan kebun. Khalifah-khalifah seterusnya menjadikan institusi Hisbah sebagai suatu institusi yang penting dan dihormati dalam sistem pemerintahan negara Islam.7

Selain dari institusi kerajaan seperti Hisbah, para ulama juga memainkan peranan penting dalam memastikan aspirasi Islam dapat dicapai menerusi kaedah nasihat-menasihati. Bahkan mereka sanggup mengorbankan kepentingan diri sendiri dalam menyatakan al-Haq atau kebenaran sehingga dipenjara dan dibunuh. Mereka adalah para mujaddid yang dibangkitkan bagi proses koreksi dan refomis yang hebat dalam sejarah Islam walaupun tidak memimpin gelombang kebangkitan gerakan Islam yang ulung. Nama-nama seperti Imam Hanbali dan Hanafi terus segar sebagai para mujaddid dan mujahid yang mendokong peranan sebagai seorang kaunselor kepada negara dan umat Islam pada zaman kegemilangan mereka. Hakikat ini tidak dapat difahami oleh pemikiran yang menobatkan kaunseling dari perspektif formal atau interpretasi yang berkaca-matakan nilai-nilai Barat yang sarat dalam kaunseling moden hari ini.

Kejatuhan kerajaan Islam di Turki pada 1924 menyebabkan timbulnya banyak gerakan Islam yang berusaha ke arah penubuhan sebuah negara Islam. Ikhwan al-Muslimun di Mesir dan Jamaat Islami di Pakistan yang dianggap pelopor kepada kebangkitan Islam moden turut terlibat secara aktif dalam dakwah dan tarbiyyah. Bahkan, Ikhwan dirujuk sebagai suatu model tarbiyyah yang berjaya mempengaruhi umat Islam menerusi kaedah-kaedah yang sistematik dalam aktviti seperti Usrah dan Daurah. Peranan gerakan Islam dalam dakwah dan tarbiyyah yang telah menjadi asosiasi rapat ini seterusnya dapat dilihat secara jelas apabila negara umat Islam mencapai kemerdekaan. Perjuangan gerakan Islam yang dahulunya bertujuan bagi membebaskan negara dari cengkaman penjajah kini beralih tumpuan kepada usaha dakwah atau tarbiyah pula. Banyak parti politik umat Islam dan organisasi baru yang ditubuhkan di atas semangat ini kerana mereka berasakan kemerdekaan yang dicapai masih lagi tidak menepati matlamat sebagai sebuah negara Islam. Dakwah dan tarbiyyah adalah merupakan proses yang berterusan bagi mengubah suasana dunia Islam hari ini ke arah menghayati Islam dalam erti kata yang sebenarnya.

Nota Hujung
1.    Dr. Hassan Langgulung,  ‘Applikasi Beberapa Kaedah Kaunseling Dalam Dakwah’, dalam Dr. Abdullah Muhammad Zin, Che Yusof Che Mamat dan Ideris Endot (ed.), Prinsip dan Kaedah Dakwah dalam Arus Pembangunan Malaysia, (Bangi: Penerbit UKM, 1998), hlm. 137-140.
2.    Ideris Endot, ‘Peranan Psikologi Masyarakat Islam dalam Dakwah Islamiah’ dalam Sidi Ghazalba dan Zainab Ismail, Dakwah Islamiah Malaysia Masa Kini, (Bangi: Penerbit UKM, 1993), 124-125.
3.    Wa’az berasal dari kalimah wa’aza dan wa’izu yang bererti to preach, appeal to, to warn and take advice. Lihat Hans Wehr, A Dictionary of Modern Written Arabic, Arabic English, (ed.) J. Milton Cowan, (London: MacDonald & Evans Ltd., 1974), hlm. 1082.
4.    Dr. Wan Hussein Azmi, Ilmu Dakwah, (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984), hlm. 34-37.
5.    Ibid.
6.    Abd. Ghafar Don, ‘Tarbiyyah Dalam Kaunseling Islam’, dalam Dakwah dan Kaunseling Islam di Malaysia, (Bangi: Penerbit UKM, 2006), hlm. 99-105.
7.    Kamal Abd. Manaf, Kaunseling Islam Perbandingan Antara Amalan dan Teori Kaunseling Barat, (Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors, 1995), hlm. 19-20.

Artikel ini hanya merupakan sebahagian daripada bab dalam buku karangan Prof.  Dr. Badlihisham Mohd Nasir, Dinamisme Dakwah Gerakan Islam: ABIM dan PAS. Dapatkan buku ini untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai dakwah gerakan-gerakan Islam di Malaysia khususnya ABIM dan PAS.

About these ads