Tun Hussein Onn dilahirkan pada 12 Februari 1922 di Johor Bahru. Beliau adalah anak sulung Dato’ Onn bin Jaafar dan Datin Halimah binti Hussein yang mempunyai lapan orang anak. Beliau mendapat pendidikan awal di Singapura dan sekolah menengah di English College (Maktab Sultan Abu Bakar), Johor Bahru.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat Senior Cambridge tetapi tidak dapat menamatkan pengajiannya apabila Perang Dunia Kedua meletus. Beliau telah menyertai Pasukan Tentera Johor (Johor Military Forces) dan menjalani latihannya di Maktab Tentera Sandhurst di Dehra Dun, India pada awal tahun 1941, dan menerima tauliah pada tahun 1942. Selepas itu beliau menyertai Regiment Hyderabad Ke-19 di India.

Semasa Perang Dunia Kedua, beliau berkhidmat di Timur Tengah. Apabila perang berlanjutan di Asia, beliau dihantar ke India di Bahagian Perisik Tentera di Markas Tentera, New Delhi. Memandangkan pengalamannya yang luas, pihak British melantiknya menjadi jurulatih di Pusat Rekrut dan Latihan Polis Malaysia di Rawalpindi. Ketika itu beliau berpangkat Kapten. Perkhidmatan Tun Hussein sebagai Kapten tentera membawa beliau ke Mesir, Syria, Palestine, Iran dan Iraq ketika Perang Dunia Kedua.

Apabila Perang Dunia Kedua tamat pada tahun 1945, Tun Hussein kembali ke Tanah Melayu dan memulakan tugasnya sebagai Pemerintah Polis Depot, di Johor Bahru. Selepas enam bulan dalam perkhidmatan tentera di Malaya, beliau menjadi ahli Perkhidmatan Pentadbiran Melayu. Beliau dihantar ke beberapa tempat di Johor dan Selangor sebagai Penolong Pegawai Daerah.

Bapa Tun Hussein Onn, Dato’ Onn Jaafar adalah tokoh terkenal yang mewarnai dunia politik tanah air apabila menjadi Presiden UMNO yang pertama selain berusaha menubuhkan UMNO untuk menentang Malayan Union.

Tun Hussein Onn telah berkahwin dengan Toh Puan Suhaila Tan Sri Mohd Noah. Pasangan ini dikurniakan enam orang anak iaitu dua lelaki dan empat perempuan termasuk Dato’ Seri Hishamuddin yang kini Menteri Dalam Negeri. Toh Puan Suhaila Tan Sri Mohd Noah, yang merupakan ibu saudara kepada Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Ini menjadikan Najib dan Dato’ Seri Hishamuddin sepupu.

Tun Hussein kemudian menyertai bapanya dalam bidang politik apabila bapanya menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung. Ketika British mengemukakan perlembagaan Malayan Union, Dato’ Onn Jaafar, bapa Tun Hussein telah memainkan peranan penting menentang gagasan British tersebut dengan menubuhkan UMNO pada 1946.

Demi keinginan beliau untuk berjuang di samping bapanya, Tun Hussein telah meletakkan jawatannya sebagai Pegawai Daerah untuk turut serta dalam kegiatan politik UMNO. Dato’ Onn telah memberikannya tugas sebagai Ketua Pemuda UMNO yang dikenali sebagai Perikatan Pemuda UMNO yang ketika itu beliau baru berusia 28 tahun, dan seterusnya dalam tahun 1950, beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO dan bertugas sepenuh masa. Beliau juga telah dilantik menjadi Ahli Majlis Undangan Negeri Johor dan Majlis Undangan Persekutuan.

Semasa darurat beliau dilantik menjadi Pegawai Penjaga Pasukan Kawalan Kampung di Johor. Apabila Dato’ Onn mencadangkan UMNO dibuka keahlian kepada orang bukan Melayu, beliau telah dikritik menyebabkan beliau meninggalkan UMNO. Dato’ Onn menarik diri daripada UMNO yang menyebabkan Tun Hussein turut serta. Ayahnya menubuhkan Independent of Malaya Party (IMP) atau Parti Kemerdekaan Malaya pada tahun 1951 dan kemudiannya Parti Negara yang turut disertai oleh beliau. Malangnya parti itu tidak mendapat sambutan. Tun Hussein mengambil keputusan berhenti dari politik dan beliau telah pergi ke London untuk belajar undang-undang di Lincoln’s Inn, England dan telah lulus sebagai seorang peguam pada tahun 1958. Beliau membuka firma guamannya sendiri di Kuala Lumpur.

Pada tahun 1964, atas desakan Tun Abdul Razak yang ketika itu Yang Dipertua UMNO, Tun Hussein kembali menyertai UMNO. Walaupun Tun Hussein telah lama menghilangkan diri dari arena politik, tapi UMNO yang mempunyai kepercayaan atas kebolehan beliau dengan mencalonkannya sebagai calon Perikatan bagi kawasan Parlimen Johor Bahru Timur. Kepercayaan ini tidak meleset kerana beliau memenangi kerusi Parlimen ini dengan mudah pada Mei 1969. Beliau kemudian dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada 22 September 1970.

Pada 13 Ogos 1973 pula, beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri menggantikan tempat Tun Dr. Ismail Abdul Rahman yang telah meninggal dunia. Beliau juga menjawat jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Penyelarasan Perbadanan Awam.

Tun Hussein bersama barisan Kabinetnya ketika menjadi PM.


Pada 14 Januari 1976, Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga menggantikan Tun Abdul Razak yang juga telah meninggal dunia. Semasa pemilihan UMNO beliau telah dipilih menjadi Presiden UMNO dengan menang tanpa bertanding pada 1978.

Dalam soal luar negeri, seperti juga pemimpin-pemimpin sebelumnya, Tun Hussein Onn terus mengadakan perhubungan yang baik antara Malaysia dengan negara-negara luar, termasuklah negara-negara Barat dan anggota ASEAN.

Tun Hussein Onn amat menitikberatkan soal perpaduan dalam kerajaannya. Beliau telah menerima desakan dari ahli-ahli UMNO supaya menghapuskan elemen-elemen yang disyaki terlibat dalam kegiatan-kegiatan pro-Komunis.

Ketika menjadi Perdana Menteri, Tun Hussein telah meneruskan agenda pembangunan yang telah digariskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein khususnya dalam menggerakkan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Sebagai seorang bekas tentera, Tun Hussein mahir tentang hal ehwal keselamatan. Di bawah pentadbirannya, angkatan bersenjata Malaysia telah diperbesarkan dan dipermodenkan. Semasa pentadbirannya usaha membenteras pengganas komunis di hutan dan di bandar-bandar semasa tempoh darurat, telah diperhebatkan, malah golongan yang bersimpati dengan aliran komunis dipulihkan menerusi gerakan-gerakan pengitipan yang berjaya.

Tun Hussein akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang melayari Malaysia meniti arus pembangunan dengan konsisten tanpa banyak kontroversi. Dasar-dasar dan program-program yang diketegahkannya lebih kepada menyambung usaha yang dilakukan oleh Perdana Menteri sebelumnya seperti melaksanakan DEB.

Walaupun pada masa itu ekonomi negara terjejas oleh kemelesetan ekonomi dunia, Tun Hussein berjaya mengawal keadaan dan membantu Malaysia berkembang dari segi ekonomi dan sosial. Tun Hussein melancarkan Rancangan Malaysia yang ke-4 (RMK4) pada bulan April 1981. Pada 20 April 1981, beliau melancarkan pula Skim Amanah Saham Nasional (ASN) di bawah Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang merupakan satu dana amanah bumiputera yang membantu peningkatan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara.

Dalam sejarah, Tun Hussein akan sentiasa dikenang sebagai ‘Penyambung Warisan yang Terbilang’. Tun Hussein juga dikenali sebagai Bapa Perpaduan kerana berjaya memupuk semangat perpaduan berbilang kaum yang lebih erat dalam masyarakat Malaysia. Beliau mewarisi kepimpinan UMNO yang pernah di-sandang oleh ayahandanya, mewarisi program pembangunan yang dijana oleh sahabatnya dan melaksanakannya dengan penuh setia.

Tun Hussein menyerahkan tugasnya kepada Tun Dr. Mahathir.

Tun Hussein meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 15 Mei 1981 atas sebab kesihatan dan diambil alih oleh Tun Dr. Mahathir bin Mohamad pada 18 Julai 1981.

Selepas persaraannya sebagai Perdana Menteri, Tun Hussein meneruskan sumbangannya kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan. Beliau memainkan peranan utama dalam pertubuhan Hospital Mata Tun Hussein Onn. Tun Hussein juga menjadi Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan penasihat kepada Petronas.

Allayarham Tun Hussein Onn menghembuskan nafas terakhir pada hari Selasa, 29 Mei 1990, sewaktu berumur 68 tahun di Pusat Perubatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung, dan disemadikan pada hari Jumaat di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Rujukan

Fauziah Shaffie & Ruslan Zainuddin. 2000. Sejarah Malaysia. Penerbit Fajar Bakti, Shah Alam.

Haji Buyong Adil. 1985. Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajahan Abad 15-19. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur.

Ishak Saat. 2009. Pendidikan Negara Bangsa. Karisma Publications, Shah Alam.

Jabatan Penerangan Malaysia, Kuala Lumpur.

Lofti Ismail. 1975. Sejarah Malaysia 1400-1963. Utusan Publications, Kuala Lumpur.

Ramlah Adam et al. 2006. Sejarah Tingkatan 5. Kementerian Pelajaran Malaysia & Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

http://www.primeministersofmalaysia.net/2.php, 27 Mei 2010

http://sejarahmalaysia.pnm.my/portalBI/detail.php?section=sm02&spesifik_id=96&ttl_id=5, 28 Mei 2010

About these ads