Pengenalan

Ketika membahas tentang pengaruh India dalam kebudayaan dan tamadun di Asia Tenggara, kita mengetahui bagaimana kesannya begitu besar sehingga merangkumi berbagai-bagai kehidupan, meskipun ia bersifat elitisme. Mengenai pengaruh Islam pula, dari suatu segi ia masih meneruskan budaya tradisi seumpama dalam aspek-aspek politik, sosial, ekonomi dan sebagainya. Tetapi dari segi yang lain ia membawa perubahan yang besar, sehingga mempengaruhi rakyat jelata umumnya. Dalam bidang pendidikan serta bahasa dan sastera, pengaruh Islam telah mengubah sifat elitisme warisan Hindu kepada sifat kerakyatan, yakni dari budaya istana (court culture) yang eksklusif kepada budaya yang meresap kepada semua peringkat masyarakat, sungguhpun istana masih merupakan pusat kegiatan.

 

Politik dan Perundangan

Dari segi budaya politiknya, perubahan yang ketara hasil daripada pengaruh Islam ialah penggunaan nama Sultan atau Malik pada raja-raja Melayu. Juga ialah pada bentuk kerjasama ulama dengan umara (pemerintah). Malah ada ulama yang menjadi Raja seperti di Acheh dan Jawa. Bagaimanapun konsep Dewaraja dari warisan Hindu-Buddha yang meletakkan golongan raja di atas manusia biasa (yakni sebagai inkarnasi Dewa) itu tetap tidak tergugat. Cumanya ia disesuaikan dengan ajaran Islam yang mengatakan bahawa Raja-Raja itu adalah ‘bayangan Allah di muka bumi’ (zillullah fil-‘alam) seumpama pada gelaran raja Pattani Sultan Ismail Zillullah fil-Alam. Asalnya hadis ini ditujukan pada raja-raja yang adil serta melaksanakan hukum-hukum Allah s.w.t., tetapi ia telah diselewengkan pengertiannya sehingga terhadap raja-raja yang zalim pun dianggap sebagai bayangan atau wakil Allah s.w.t. yang wajib ditaati setiap perintahnya.

Pengesahan keagungan raja tidak hanya melalui hadis yang disalahgunakan, bahkan juga dengan menghubungkan nasab keturunan mereka dengan tokoh-tokoh besar Islam. Kalau dulunya mereka dianggap sebagai inkarnasi atau penitisan para dewa, kini asal-usul mereka dikaitkan dengan Iskandar Zulkarnain atau Nabi Khidir seperti di Melaka, serta dengan Nabi Adam atau Nabi Syith seperti di Jawa. Dan kemudiannya akibat dari pengaruh Syiah dan tasawuf tentang konsep imam dan wali sebagai ‘Qutb Alam’, lalu didakwa pula raja-raja sebagai Paku Buwono, yakni Paku Alam ini, atau Amangkurat, yakni yang memangku dunia (rat) ini.

Selain kedudukan raja sebagai superhuman, sistem feudalisme warisan Hindu-Buddha juga mementingkan keturunannya sahaja dalam pemilihan bakal seorang raja. Baik di Pasai, di Melaka, atau di Acheh dan di Jawa, sistem monarki tetap menjadi kriteria utama dalam pemilihan seorang raja baru atau seorang pembesar istana. Memang ada kalanya seorang raja itu bukannya berasal dari keturunan raja sebelumnya, tetapi ia jarang berlaku, dan kalaupun berlaku, biasanya ia mendapat kuasanya melalui rampasan kuasa atau pembunuhan terhadap raja yang sedang memerintah. Jadi sama juga seperti sistem monarki, kekuasaan melalui tindakan coup de tat ini tidaklah melalui persetujuan rakyat.

Kedatangan Islam juga tidak banyak mengubah sistem politik feudal yang sedia ada. Jika didasarkan kepada ajaran Islam, ketaatan hanyalah dalam soal-soal yang makruf sahaja, bukannya yang bersifat maksiat atau bertentangan dengan hukum Allah s.w.t. Tetapi sistem feudal tidak menggalakkan sikap kritikal dalam menerima sesuatu arahan, kerana raja adalah penitisan dewa-dewa atau keturunan orang-orang mulia yang tidak akan membuat sebarang kesilapan. Titahnya adalah hukum yang mesti ditaati, walhal dalam Islam seorang raja adalah juga berperanan sebagai khalifah yang bertugas melaksanakan hukum-hukum Allah s.w.t. Sekiranya hukum yang hendak dilaksanakan itu tidak terdapat dalam Al-Quran dan Sunnah, maka terdapat pula prinsip ijtihad bersama melalui syura di mana seseorang pemimpin perlu bermesyuarat dengan wakil-wakil rakyat yang disebut sebagai Ahlu halli wal-aqdi. Malangnya ajaran-ajaran asas Islam seperti ini tidak diamalkan oleh kerajaan-kerajaan Islam di Nusantara secara sepenuhnya. Oleh kerana itu agak sukar untuk mengatakan sistem politik Islam mempunyai pengaruh di Nusantara.

Berasaskan sistem politik yang mengiktiraf perbezaan darjat tersebut maka wujud undang-undang dan adat istiadat yang bertujuan untuk menjaga taraf dan kepentingan golongan bangsawan.

Dari segi undang-undangnya kita dapati betapa taraf sosial sese-orang mempengaruhi bentuk hukuman yang akan diterimanya. Semakin tinggi kedudukannya semakin besarlah kemungkinan terlepas dari hukuman, sedangkan bagi rakyat jelata hukumannya lebih berat. Misalnya tindakan Sultan Mahmud Syah yang menganiaya orang, malahan keluarga pembesarnya sendiri, perbuatannya itu tidak dikenakan hukuman oleh kerana raja berada ‘di atas undang-undang’ atau kebal di sisi undang-undang..

Demikian juga keistimewaan yang dimiliki oleh golongan pembesar istana seumpama Bendahara atau Temenggung yang membolehkan mereka turut terlepas dari hukuman. Pernah berlaku Bendahara enggan merajakan Sultan Zainal Abidin di Pasai, dan Sultan Mahmud sekadar murka serta tidak menegur selama tiga hari. Tetapi jika yang enggan itu ialah rakyat biasa sudah pasti hukuman yang lebih berat akan menimpanya. Bahkan sama seperti undang-undang Hindu di mana hukumannya adalah berasaskan kastanya, dalam Undang-undang Melaka Fasal 8 menegaskan bahawa hukuman terhadap kesalahan menetak dan menampar orang adalah ringan bagi orang merdeka yang bersalah berbanding dengan golongan hamba yang bersalah.

Sosial dan Ekonomi

Dari segi teorinya sistem sosial dalam Islam menolak sebarang perbezaan darjat dan kedudukan, kecuali atas dasar ilmu dan taqwa. Tetapi dalam praktiknya sistem sosial selepas kedatangan Islam juga tidak banyak berubah kerana masih berasaskan semangat kesedaran kelas (class consciousness). Jika pada masa sebelumnya susun lapis menyarakat terbahagi kepada dua golongan, iaitu golongan pemerintah dan yang diperintah, maka selepasnya juga kedudukan seperti ini terpelihara dengan baiknya. Dengan merujuk kepada kerajaan Melaka, hierarki sosial masyarakatnya dapat dibuat dalam bentuk piramid kerana golongan yang teratas sangat sedikit bilangannya, sedangkan golongan paling bawah sangat ramai bilangannya.

Dengan wujudnya hierarki sosial yang berbentuk superior-inferior seperti ini melahirkan social barrier antara golongan atasan dengan golongan bawahan, apalagi golongan atasan tinggal di kawasan supra-village sphere yang terasing dari golongan bawahan. Dengan adanya social barrier inilah yang menjadikan mobiliti sosial ke atas terlalu sukar, oleh kerana yang dipentingkan ialah keturunan atau kebangsawanan seseorang.

A = Golongan pemerintah

B = Golongan yang diperintah

Ertinya golongan bawahan mempunyai peluang yang sangat tipis dan sukar untuk memperbaiki taraf sosialnya. Meskipun pernah berlaku mobiliti menegak kepada tokoh seumpama Hang Tuah yang dapat meninggikan tarafnya yang rendah ke peringkat tinggi, tetapi ini adalah suatu pengecualian memandangkan jasa-jasanya yang amat banyak dan kesetiaannya yang bulat terhadap sultan. Pencapaian Hang Tuah tidak dapat menjadi teladan bagi orang lain untuk menjadi sepertinya, oleh kerana jawatan Laksamana yang dipegangnya itu akhirnya dimonopoli oleh keturunan atau keluarganya.

Dari segi adat istiadatnya apa yang nyata ia diatur semata-mata untuk memisahkan dan menjarakkan lagi jurang di antara kedua-dua kelas tersebut. Sebab itu terdapatlah larangan-larangan tertentu terhadap rakyat, seperti larangan memakai warna kuning, membuat anjung atau serambi bertiang gantung, keris dan gelang kaki yang diperbuat dari emas meskipun ia seorang kaya. Adat istiadat ini pun sebenarnya suatu undang-undang juga, oleh kerana sesiapa yang melanggarnya dengan memakai benda-benda warna kuning misalnya, akan dihukum bunuh.

Dari segi bahasa juga kita dapati wujudnya dasar perbezaan darjat ini, di mana terdapat perkataan-perkataan seperti patik, duli, beta, santap, beradu, bersiram, mangkat dan sebagainya. Sebenarnya, istilah ‘patik’ itu bermaksud anak anjing. Sedangkan, istilah ‘duli’ pula bererti debu yang berada di bawah tapak kaki untuk diletakkan di atas batu jemala patik!

Keadaan yang sama juga berlaku pada kerajaan Brunei dengan wujudnya sistem perhambaan sebagai suatu institusi sosial yang rasmi. Memang sistem hamba abdi telahpun wujud di Brunei sebelum abad ke-17 lagi, tetapi baru memainkan peranan penting selepas kemangkatan Sultan Bulkiah.

Ada tiga jenis hamba abdi di Brunei, iaitu anak emas, ulun ulih beli dan hamba berhutang. Mengenai anak emas, ia merupakan hamba yang menjadi orang suruhan dalam rumahtangga, di mana dirinya dan keturunannya menjadi hak milik dan pusaka tuan rumahnya. Tugasnya tidak setakat menguruskan rumah tangga tetapi juga menjalankan perdagangan di tempat-tempat merbahaya. Tidak seperti hamba-hamba lain, dia mempunyai sedikit keistimewaan serta hak sendiri, boleh memberi cadangan atau membantah pendapat tuan rumahnya. Jadi sungguhpun ia bertaraf hamba, namun ia tidak dipandang hina oleh masyarakat.

Mengenai ulun ulih beli pula ialah hamba abdi yang diperoleh melalui pembelian dengan wang, yang boleh dijualkan pula kepada orang lain. Dia tidak mempunyai hak atau suara dalam kehidupannya, kerana itu hidupnya sentiasa sengsara dan ketakutan.

Adapun hamba berhutang merupakan orang bebas yang dijadikan hamba abdi lantaran tidak mampu membayar hutangnya kepada si piutang. Bahkan ada golongan bangsawan yang jatuh menjadi golongan yang rendah, atau ditawan dan dijadikan hamba abdi. Mereka yang lemah menjadi mangsa kepada golongan yang lebih kuat. Kebanyakan hamba abdi ini wujud di tepi laut dan di lembah-lembah sungai, dan sumber untuk mendapatkannya ialah dari kawasan pedalaman. Mereka hidup dalam ketakutan dan  kebimbangan.

Tidak syak lagi sistem sosial seumpama ini adalah bertentangan dengan Islam. Ia bercanggah bukan sahaja dari segi zahirnya bahkan pada akar umbinya sekali kerana ia ditegakkan atas semangat kesedaran kelas. Percanggahan dalam Islam adalah nyata, kerana sistem sosial Islam berasaskan konsep bahawa ‘Allah memuliakan setiap anak Adam’ (al-Isra: 70). Islam juga mengiktiraf perbezaan seseorang umatnya, tetapi kerana ketakwaan atau amal solehnya (al-Hujurat: 13).

Dalam bidang sosial, kedatangan Islam tidak banyak membawa perubahan, demikian juga dalam bidang ekonomi. Ekonomi masyarakat Nusantara masih bersifat agraria dengan menjalankan kegiatan pertanian, perikanan, penternakan dan yang seumpamanya yang masih lagi bergantung kepada pemberian alam.

Memang dengan kedatangan Islam kegiatan perdagangan menjadi lebih rancak dan aktif daripada sebelumnya. Di sana sini tumbuh pasar-pasar dan kota-kota yang bersifat internasional, di mana terdapat pedagang-pedagang asing dari China, India, Arab, Farsi, Turki dan sebagainya. Kalau dulunya sistem jual-beli dijalankan melalui barter trade dan juga melalui mata wang, tetapi dengan pertambahan pedagang-pedagang asing sudah tentu ia lebih banyak dijalankan melalui sistem mata wang.

Meskipun demikian tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa sistem ekonomi Islam ada diamalkan. Jika dirujuk kepada sistem ekonomi Islam, terdapat Bait al-Mal atau perbendaharaan negara yang dikutip dari punca-punca zakat yang diwajibkan atau dari sedekah yang disunatkan serta daripada punca-punca lain seperti jizyah, ghanimah, al-fai’ dan sebagainya. Semuanya itu harus digunakan untuk kepentingan rakyat yang memerlukannya, terutama dari golongan miskin dan fakir.

Tetapi apa yang berlaku bukan sahaja punca-punca kewangan negara tidak dikutip secara sah menurut hukum Islam, malah ia tidak digunakan untuk kepentingan pihak yang benar-benar memerlukannya. Sebab itulah sejarah menunjukkan wujudnya jurang kekayaan dan kemewahan yang luas di antara golongan pemerintah dengan yang diperintah. Semuanya ini adalah kenyataan sejarah belaka tentang tidak berjalannya sistem ekonomi Islam di Nusantara, walaupun kegiatan perdagangan berkembang pesat.

 

Kesenian dan Hiburan

Pengaruh Islam dalam kesenian di Nusantara dapat diperhatikan pada makam atau batu nisan, masjid dan perhiasan-perhiasan padanya, khususnya penulisan seni khat atau kaligrafi. Mengenai batu nisan, sebenarnya ia merupakan karya seni Islam yang awal sekali masuk ke Nusantara. Antaranya ialah batu nisan Syeikh Abdul Qadir Hussain Syah Alam yang bertarikh 903 M. yang dijumpai di Langgar, Kedah, batu nisan seorang Arab yang dijumpai di Pekan, Pahang yang bertarikh 1082 M, batu nisan Sultan Malik al-Salih di Pasai yang bertarikh 1297 M, batu nisan yang ditemui di Kuala Brang, Terengganu yang bertarikh 1303 M, makam Maulana Malik Ibrahim di Gresik, Jawa yang bertarikh 1417 M, dan batu nisan seorang puteri di Pasai yang bertarikh 1428 M.

Kesenian batu nisan dan makam ini dapat dilihat pada bentuk dan juga hiasannya. Pada bentuknya kalau diteliti batu nisan Maulana Malik Ibrahim itu mempunyai bentuk seperti badan kapal terbalik yang mengesankan pengaruh Farsi. Dari segi perhiasannya terdapat tulisan yang dipetik dari ayat-ayat suci Al-Quran yang membuktikan kemahiran pengukirnya dalam seni khat Arab. Setengahnya ada pula tulisan-tulisan syair Farsi, atau pola hiasan daun-daunan yang juga menyamai gaya buatan Farsi.

Selepas makam, masjid merupakan karya seni Islam yang ter-penting di Nusantara. Dari segi bentuk dan coraknya memang ia masih dipengaruhi oleh kesenian Hindu, apalagi setengahnya dihiaskan dengan ukiran-ukiran seperti bunga teratai, daun-daunan, bukit-bukit karang, pemandangan dan garis-garis geometri. Bagaimanapun pada keselu-ruhannya ia merupakan simbol yang mempunyai maksud-maksud tertentu bagi penganut Islam, dengan mihrab atau mimbar, malah dipenuhi dengan seni kaligrafi Islam yang dipetik dari ayat-ayat Al-Quran tersebut.

Seperti dinyatakan dulu, satu daripada aspek kesenian ialah hiburan yang termasuk kegiatan-kegiatan drama, tarian dan muzik. Pada zaman Bani Abbasiah misalnya, para seniman dalam bidang-bidang ini mendapat tempat yang terhormat di sisi pemerintah, hingga ia mencapai kemajuan yang pesat. Dari segi muzik, terdapat pengarang-pengarang teori muzik seperti al-Kindi dan al-Farabi, malah terdapat sekolah muzik yang didirikan oleh Safiuddin Mukmin. Dalam bidang nyanyian pula penyanyi-penyanyi yang terkenal, yang antaranya ialah biduanita yang ternama Bazel dan Zatul Khal di istana Harun al-Rasyid, Neam di istana al-Makmun, Basbad di istana al-Mahdi, Fitna di istana Jaafar al-Barmaki dan sebagainya. Dalam bidang tarian pula, pengarang kitab senitari yang pertama ialah al-Farabi sendiri.

Sama seperti kerajaan Abbasiah, kerajaan Acheh juga turut me-mainkan peranan penting dalam perkembangan hiburan. Di kota Banda Acheh Darussalam terdiri sebuah taman kebudayaan yang dinamakan Taman Ghairah yang di tengah-tengahnya mengalir sungai kecil yang bernama Darul Isyki (loka asmara). Tentang betapa indahnya Taman Ghairah dan Darul Isyki ini telah dilukiskan sebaik-baiknya dengan penuh sanjungan dalam kitab Bustan al-Salatin oleh Nuruddin al-Raniri.

Perkara yang patut direnungkan di sini ialah bahawa sungguhpun Acheh dikenali sebagai pusat agama yang dihormati, namun ia juga mengamalkan nilai double-standard kerana mempunyai Taman Kesenian yang mengghairahkan yang selalu menghidangkan pelbagai tarian dan nyanyian pada waktu-waktu tertentu, terutama ketika menyambut tetamu luar. Misalnya, sewaktu General Beaulieu, iaitu utusan khas raja Perancis mengadap Sultan Iskandar Muda maka tampillah 15 orang gadis masing-masing dengan gendang kecil, berkeliling menari dan berdendang mengikut irama gendang. Kemudiannya tampil pula dua orang gadis rupawan dengan hiasan rambutnya disungkup semacam topi, serta seluruh pakaiannya bertenun benang emas.

Jika di Acheh yang terkenal dengan kuatnya dalam beragama itupun masih ghairah dalam kegiatan hiburannya maka apatah lagi di Jawa yang sebelumnya memang terkenal dalam kegiatan pewayangan itu. Malah para Wali Songo itupun setengahnya seumpama Sunan Giri dan Sunan Bonang dikatakan cuba menyesuaikan permainan wayang ini dengan ajaran Islam. Umpamanya cerita Hikayat Pandawa Lima itu dianggap sebagai simbol Rukun Islam yang lima. Permainan wayang kulit yang asalnya bersifat ritual itu, semakin berkembang dengan pesatnya dengan munculnya Kerajaan Pajang, diikuti oleh Mataram II, Kartasura, Surakarta dan Jogjakarta.

Dari Jawa permainan wayang kulit menjadi terkenal pula di Kelantan. Tetapi di samping itu Kelantan juga mempunyai bentuk-bentuk hiburan lain seperti Mak Yong yang juga melibatkan kegiatan drama, tarian dan nyanyian, dengan cerita-cerita tentang dewa-dewi. Juga terdapat Dikir Barat, permainan layang-layang, gasing, rebana, ketuk, selampit sabung ayam dan lain-lain.

Di Kedah juga permainan wayang kulit turut berkembang. Tetapi seperti di Kelantan, di Kedah juga terdapat permainan muzik lain seumpama Mek Mulung dan Gendang Keling. Antara alat-alat muzik yang digunakan dalam permainan ini ialah seperti gendang geduk, gong dan mong, serunai dan kerecek.

 

Bahasa dan Sastera

Kedatangan Islam membawa perubahan yang besar terhadap nasib Bahasa Melayu, dengan meletakkannya sebagai lingua franca di Nusantara. Sebelum kedatangan Islam, terdapat dua bahasa tempatan yang dominan, iaitu bahasa Jawa Kuno dan Bahasa Melayu Kuno. Tetapi bahasa ilmu yang digunakan adalah bahasa asing, iaitu Sanskrit. Oleh kerana Bahasa Sanskit itu sendiri merupakan bahasa elit baik di India mahupun di Nusantara, maka karya-karya atau tokoh-tokoh yang menggunakan bahasa tersebut begitu terbatas pengaruhnya, cuma setakat lingkungan kraton sahaja. Tetapi dengan kedatangan Islam ia bukan sahaja berjaya menggulingkan bahasa sarjana sebelumnya, iaitu Sanskrit, dengan menggantikannya dengan bahasa Melayu, bahkan berjaya pula mengangkat taraf Bahasa Melayu itu sebagai bahasa pengantar di kawasan Nusantara yang mempunyai antara 150 hingga 200 bahasa daerah. Oleh yang demikian peranan Islam secara tidak langsung adalah seperti menyatupadukan dan mengeratkan penduduk-penduduk kawasan ini yang sejak lama dipisahkan oleh perbezaan bahasa mereka.

Serentak dengan pemasyhuran bahasa Melayu sebagai bahasa sarjana dan bahasa pengantar itu ialah pengenalan abjad Arab-Jawi. Sebelum itu bahasa Melayu sudah mempunyai tulisan Palava, tetapi ia tidaklah praktis. Setelah menggunakan abjad Arab kemudiannya menjadikan bahasa Malayu mendapat kedudukan sebagai bahasa sastera yang popular, hingga sastera yang berasal dari warisan Hindu juga ditulis dengan tulisan Arab atau Jawi kemudiannya.

Pada umumnya sastera Melayu selepas kedatangan Islam dapat dibahagikan kepada dua kelompok besar, iaitu:

1.   Sastera non-Islam

2.   Sastera Islam

Mengenai yang pertama, ia merupakan karya-karya yang berasal dari zaman pra-Islam, tetapi baru ditulis dalam tulisan Jawi selepas kedatangan pengaruh Islam. Antaranya ialah sastera rakyat baik yang berbentuk puisi mahupun prosa, dan juga hikayat-hikayat yang berasaskan epik-epik RamayanadanMahabharata

Sastera Islam dapat dibahagikan kepada dua jenis, iaitu:

1.   Prosa

(a)  Hikayat Nabi Muhammad s.a.w. Dalam bahagian ini terdapat cerita-cerita tentang kelahirannya seperti Hikayat Nur Muham-mad, atau cerita tentang mukjizatnya sepertiHikayat Bulan Berbelah, Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Israk dan Mikraj, cerita tentang ajaran Islam seperti Hikayat Raja Handaq, Hikayat Raja Lahaddan juga cerita tentang Nabi wafat.

(b)  Hikayat para nabi dan rasul. Dalam kumpulan ini ada karya yang menceritakan kisah nabi-nabi secara keseluruhannya seperti Qisas al-Anbiya, atau hikayat-hikayat nabi yang ditulis secara berasingan.

(c)  Hikayat para sahabat Nabi. Dalam bahagian ini terdapat cerita-cerita tentang Abu Bakar al-Siddiq, Umar al-Khattab, Ali bin Abi Talib, cerita perkahwinan Ali dengan Fatimah, serta tentang putera-putera mereka Hassan dan Hussain.

(d)  Hikayat para pahlawan Islam. Antara tokoh-tokohnya dalam bahagian ini ialah Iskandar Zulkarnain, Amir Hamzah, Muhammad Ali Hanafiah dan sebagainya.

(e)  Hikayat ahli-ahli sufi dan orang yang soleh. Antara mereka ialah Luqman al-Hakim, Ibrahim bin Adham, Abu Yazid al-Bistami, Rabiah al-Adawiyah dan lain-lain lagi.

2.   Puisi

(a)  Karya-karya Hamzah Fansuri, seperti Syair Perahu, Syair Burung Pingai, Syair Dagang dan sebagainya.

(b)  Karya Abdul Rauf Fansuri, iaitu Syair Makrifat.

(c)  Karya-karya Tuk Shihabuddin bin Zainal Abidin (1729-1797) seperti Syair Asyikin, Syair Ghafilah, Syair Sifat 20 dan sebaginya.

(d)  Dan syair-syair lain seperti Syair Nur Muhammad, Syair Nabi Ayub, Syair Nabi Yusuf, Syair Qiamat, Syair Neraka, Syair Rukun Haji, Syair Rukun Ibadat, Syair Rukun Nikah dan sebagainya.

Pendidikan dan Ilmu Pengetahuan

Jika dalam soal bahasa kedatangan Islam membawa pengaruh besar, maka pengaruh yang terbesar akibat kedatangan Islam di Nusantara ialah dari segi pendidikan dan ilmu pengetahuan. Pendidikan Islam ini meliputi aspek institusi-institusi pendidikan dan strukturnya, guru-guru dan murid-muridnya dan terutamanya tentang ilmu pengetahuan yang diajarkan.

Di Melaka, biasanya aktiviti pendidikan berlangsung di istana yang sekali gus berfungsi sebagai perpustakaan atau tempat penyalinan dan terjemahan. Di samping itu tempat-tempat lain yang digunakan sebagai tempat pengajian ialah seperti rumah-rumah maulana atau ulama, masjid, madrasah dan surau.

Mengenai guru-guru agama, kebanyakan mereka terdiri dari bangsa Arab. Dan dalam hierarki sosial di Melaka kedudukan mereka adalah setaraf dengan golongan pembesar di istana. Tentang murid-muridnya pula memang sedia difahami yang mereka dari kaum bangsawan dan raja, tetapi tidak kurang pula dari kalangan rakyat jelata umumnya. Selain golongan tempatan terdapat juga murid-murid asing yang belajar di Melaka, seperti dari Jawa misalnya.

Mengenai pendidikan Islam di Acheh, sejarahnya bermula sejak zaman kerajaan Perlak lagi, yang mencapai kemuncaknya pada zaman kerajaan Acheh pada abad ke-17 dan 18. Bermula dengan pendidikan dasar di masjid dan madrasah (meunasah), lalu meneruskan pelajaran menengah di rangkang, dan akhirnya menamatkan pengajian tinggi di Balee dan di Dayah. Bagaimanapun masjid juga berperanan sebagai pusat pengajian tinggi, yang antaranya ialah seperti Masjid Bait al-Rahim, Masjid Bait al-Rahman dan Masjid Bait al-Musyahadah.

Mengenai para guru dan ulama, kebanyakan mereka adalah orang-orang asing seperti dari Tanah Arab, Parsi, Turki, India dan sebagainya. Bagaimanapun Acheh juga mempunyai barisan ulamanya sendiri yang tidak kurang handalnya. Di Acheh kedudukan ulama sangat tinggi, hingga ada kalanya dia dapat bertindak sebagai wakil sultan sementara waktu sebelum dipilih seorang sultan baru. Tentang murid-muridnya pula, pendidikan Islam di Acheh benar-benar bersifat kerakyatan di mana kebanyakan mereka terdiri dari kalangan rakyat jelata. Mereka sama ada berasal dari orang-orang tempatan sahaja ataupun dari orang-orang luar Acheh, seperti dari Melaka, Pattani dan sebagainya.

Selepas zaman kegemilangan Acheh itu pendidikan Islam tersebar melalui pusat-pusat pengajian yang lain seperti di Jawa, Banjar, Riau, Pattani, Terengganu, Kelantan dan lain-lainnya.

Dalam aspek ilmu pengetahuan, sudah pasti keutamaan diberikan kepada ilmu syar’iyah atau naqliyah yang merangkumi tiga sendi ajaran Islam, iaitu Ilmu Tauhid, Ilmu Fiqh dan Ilmu Tasawuf. Pertama sekali dalam bidang Ilmu Tauhid, seawal-awal kitab yang telah ditemui ialah Kitab Tauhid oleh Ahmad bin Aminuddin dari Kedah. Kitab yeng bertarikh 1032 H./1622 M ini membahaskan tentang ajaran ‘Sifat 20’. Di Acheh pula, antara tokoh yang terkenal ialah Nuruddin al-Raniri yang bersal dari Gujerat, India. Dalam bidang tauhid beliau pernah menerjemahkan kitab Syarh al-Aqaid al-Nasafiyah oleh al-Taftazani, serta mengarang kitab Hidayat al-Iman. Kemudiannya terdapat tokoh tempatan, iaitu Abdul Rauf Fansuri yang mula mempopularkan ajaran ‘Sifat 20’ dalam karya puisinya, Syair Makrifat, dan juga dalam kitab tasawufnya, Umdat al- Muhtajin. Selepas itu muncullah ulama lain yang mengembangkan lagi ajaran ‘Sifat 20’ ini seperti Muhammad Zain Faqih Jalaluddin dalam kitabnya Bidayat al-Hidayah, dan juga ulama sezaman dari Palembang seperti Abdus Samad al-Falimbani dengan kitabnya Zuhrat al-Murid, serta Tuk Shihabuddin Palembang dengan kitabnya Aqidah al-Bayan.

Dalam bidang fiqh pula, di Melaka pernah digunakan kitab Minhaj al-Talibin oleh al-Nawawi sebagai rujukan. Di Acheh, kitab fiqh pertama yang pernah ditulis ialah Sirat al-Mustaqim oleh Nuruddin al-Raniri, dan selepas itu muncul pula kitab Mir’at al-Tullab oleh Abdul Rauf al-Fansuri dan Safinat al-Hukkam oleh Jalaluddin al-Tursani.

Sezaman dengan kerajaan Acheh ini, terdapat juga ulama Terengganu, iaitu Abdul Malik bin Abdullah yang telah mengarang dua buah kitab fiqh, Risalah Kaifiyyah Niyyah dan Risalah Naql. Di Banjar pula terdapat nama tokoh besarnya Muhammad Arsyad al-Banjari yang menulis kitab fiqh yang sangat terkenal, Sabil al-Muhtadin. Dari Pattani terkenal pula tokohnya yang bernama Dawud bin Abdullah al-Fatani yang terkenal dengan karya besar fiqhnya iaitu Furu’ al-Masail.

Suatu hakikat yang perlu diperhatikan dalam pemikiran fiqh yang ditulis adalah bertolak dari kitab Minhaj al-Talibinoleh Imam al-Nawawi dan kitab-kitab lain yang merupakan syarah atau hasyiah terhadapnya.

Akhirnya dalam bidang tasawuf, perkembangannya sangat pesat sekali ekoran dari kegiatan dakwah tokoh-tokoh sufi di Nusantara sejak abad ke-13 itu. Seawal-awal kitab tasawuf yang pernah dijumpai di Nusantara ialah Bahr al-Lahut oleh Syeikh Abdullah Arif, seorang mubaligh sufi yang menyebarkan Islam ke Sumatera pada tahun 1165 M. Di Melaka, selain kitab Ihya Ulumiddin oleh al-Ghazali, juga digunakan kitab Insan al-Kamil oleh Abdul Karim al-Jili dan kitab al-Durr al-Manzun oleh Abu Ishak al-Syirazi sebagai rujukan dalam ilmu tasawuf.

Perkembangan tasawuf mencapai kemuncaknya pada zaman Acheh. Bertolak dari aliran tasawuf falsafah Ibn Arabi, Hamzah Fansuri menulis kitab-kitab prosa dan puisi, seperti Syarah al-Asyiqin, Asrar al-Ariffindan al-Muntahi. Dan bertolak dari kitabTuhfah al-Mursalah oleh Muhammad ibn Fadhlullah al-Burhanpuri yang membahas tentang ilmu ‘Martabat Tujuh’ (Maratib al-Sab’ah), lalu Shamsuddin al-Sumatra’i menulis beberapa kitab tasawuf yang membicarakan tentangnya, seperti Nur al-Haqaiq misalnya. Kemudiannya Nuruddin al-Raniri mengikuti jejak langkah mereka dengan kitab-kitabnya Ain al-Alam, Hill al-Zilldan juga Ma’rifah al-Saniyah,  meskipun sejarah mencatatkan berlakunya konflik intelektual dengan mereka. Demikian juga ajaran ‘Martabat Tujuh’ itu berkembang melalui kitab Muzhar al-Ajlaoleh Jalaluddin al-Tursani.

Di samping tasawuf falsafah yang disalurkan melalui kitab-kitab tersebut, juga berkembang tasawuf akhlak dan tasawuf tarikat. Antara tarikat-tarikat awal yang berkembang di Acheh ialah Rifa’yyah, Samaniyah, dan Syatariyyah.

Ilmu tasawuf yang tersiar dan berkembang di Acheh, terus mengalami kemajuan di negeri-negeri lain meskipun kerajaan Acheh sudah mulai lemah mulai abad ke-18. Di Banten terkenallah seorang ulama tarikat dari Makasar, iaitu Syeikh Yusuf Tajul Khalwati, di Terengganu atau Kelantan terkenal pula barisan ulama dari Pattani yang antaranya ialah Syeikh Dawud bin Abdullah al-Fatani, sedang di Palembang dan Kedah terdapat seorang ulama yang berasal dari Palembang iaitu Syeikh Abdus Samad al-Falimbani.

Mengenai perkembangan ilmu syar’iyyah di Filipina, kebanyakan rujukannya adalah bersal dari Semenanjung Tanah Melayu dan juga Indonesia. Antaranya ialah  Minhaj al-Talibin, Tafsir al-Baidawi, Daqaiq al-Akhbar dan juga Qisas al-Anbiya. Malah di sana juga berkembang ajaran tasawuf ‘Martabat Tujuh’ tersebut.

Melalui perkembangan ilmu syar’iyyah atau naqliyyah dalam bahasa Melayu dan bertulisan Jawi itu, maka berubahlah konsep pendidikan elitisme kepada corak kerakyatan. Begitu rapatnya hubungan ulama dengan rakyat terbukti jelas ketika berlakunya Perang Acheh-Belanda (1873-1904) di mana para ulama bukan sahaja dianggap sebagai orang berilmu tinggi bahkan sebagai pemimpin rakyat dan panglima perang bagi masyarakat Acheh. Satu daripada cara hubungan yang lazim digunakan oleh mereka ialah melalui syair-syair hikayat yang dialunkan di madrasah-madrasah, terutamanya Hikayat Prang Sabi oleh Teungku Cik Muhammad Pante Kulu yang membangkitkan semangat berjuang dan rela berkorban. Jadi kalau pada zaman Hindu-Budhha dahulu golongan agama adalah merupakan golongan elit yang terasing daripada rakyat, kini pada zaman Islam para ulama dan ilmu itu sendiri sudah menjadi hak bersama dan tersebar di merata-rata.

Di samping perkembangan Ilmu Syar’iyah atau Naqliyah (Ilmu Tauhid, Ilmu Fiqh, dan Ilmu Tasawuf) yang semuanya tergolong sebagai karya-karya turath Islami atau warisan tradisi Islam, sebenarnya terdapat pula karya-karya dari genre atau golongan kepustakaan Ilmu tradisional yang tidak berasaskan turath Islami, tetapi berasaskan tradisi pra-Islam. Jelasnya di samping berlaku perubahan besar dengan kedatangan Islam, berlaku juga persambungan tradisi ilmu-ilmu dari warisan pra-Islam. Antara bidang-bidang ilmu tradisional ialah seperti berikut:

1.   Ilmu bintang (astrologi)

2.   Ilmu firasat

3.   Ilmu perbomohan

4.   Ilmu perkahwinan

5.   Ilmu perwayangan

6.   Ilmu pertukangan

7.   Ilmu birahi

8.   Ilmu tanaman

9.   Ilmu senjata

10. Ilmu bahasa

PENILAIAN

Berdasarkan bab yang lalu, nyatalah bahawa kedatangan Islam ke Asia Tenggara memang membawa perubahan (taghyir), tetapi tidak berubahnya beberapa aspek kehidupan adalah lebih nyata lagi. Jika dari segi aqidah, pegangan masyarakat Islam di Nusantara lebih bercorak talbis atau mencampuradukkan antara yang hak dengan yang batil, maka dari segi syariat atau kebudayaannya umat Islam hanya menerima beberapa bahagian (ba’dhun) sahaja dari hukum Islam, yakni menerima setengah prinsip Islam tetapi menolak setengah prinsip yang lain. Sungguhpun syariat Islam bersifat syumul atau menyeluruh dan lengkap, tetapi mereka hanya tertarik kepada beberapa serpihan (juz’i) ajaran Islam sahaja, tidak semuanya sekali (kaffah). Terhadap pendirian seperti ini Al-Quran mengatakan: “Apakah kamu beriman kepada sebahagian (ba’dhun) al-kitab dan engkar kepada sebahagian yang lain? Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada Hari Kiamat mereka dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Allah tidak lengah dari apa yang kamu perbuat” (al-Baqarah: 85).

Dalam penilaian tentang pengaruh Islam, dua orang tokoh Islam yang terkemuka, iaitu Prof. Dr. Hamka (mantan Ketua Majlis Ulama Indonesia dan Imam Masjid Agung al-Azhar) dan Dr. M. Natsir (mantan Perdana Menteri Indonesia dan Ketua Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia), menjelaskan bahawa corak gerakan dakwah Islamiah di Nusantara yang terlalu menekankan sikap damai dan menyesuaikan diri telah menimbulkan sinkretisme. Untuk perbahasan yang lanjut tentang gejala sinkretisme di Asia Tenggara, sila rujuk makalah F.P. Briggs, The Syncretism of Religion in Southeast Asia, JAOS, LXXI (1951).

 

Pendapat Hamka

 “Sebelum Islam kita sudah mempunyai berbagai-bagai kepercayaan, dan kepercayaan itu lebih jelas bersifat musyrik, belum mendapat tuntunan tauhid. Setelah agama Islam, tidaklah mudah menghabiskan pengaruh kepercayaan lama itu dengan sekali gus…”

“Terutama di Jawa…, masuknya agama Islam dengan damai itu tidaklah akan memperlekas proses penggantian agama. Sehingga walaupun Islam telah masuk, bekas ajaran agama yang dahulu belumlah hilang, malahan timbullah sinkretisme, iaitu usaha mencari kecocokan dan penyesuaian. Dengan demikian pergantian agama tidaklah banyak berkesan” (Lihat bukunya, Perkembangan Kebatinan di Indonesia, hal. 15).

 

Pendapat M. Natsir

 “Hikmah kebijaksanaan dalam mengadakan kontak pemikiran pertama, dan membawa orang yang dihadapi kepada titik pertemuan (kalimat al-sawa’) yang akan jadi tempat bertolak – tidaklah bisa disamakan (lantaran memang berbeza) dengan apa yang disebut “menyesuaikan diri”. Yakni menyesuaikan diri dengan apa yang kebetulan sedang disenangi orang, sehingga isi atau zat dakwah sendiri berubah lantarannya. Atau menyesuaikan diri menyembunyikan sebahagian apa yang harus disampaikan, yakni, yang disebut kitman yang tegas dilarang (al-Baqarah: 159)”.

“Yang semacam itu bukan hikmah, bukan kebijaksanaan. Ini adalah menurutkan kemahuan orang, yang oleh Al-Quran diperingatkan dengan tegas (al-Baqarah: 120). Cara semacam ini, sebenarnya timbul dari keinginan yang tersembunyi, hendak mengelakkan konfrontasi, sama ada disedari atau tidak.”

“Walaupun bagaimana, taktik semacam ini paling banyak dapat menghasilkan semacam agama gado-gado, sinkretisme, kombinasi pelbagai kepercayaan dan pemikiran bercampur-aduk, tidak jantan dan tidak betina. Dalam istilah Al-Quran, talbis al-haq bil-batil, percampur-adukan yang hak dengan yang batil.”

“Ada bermacam-macam cara yang bisa menimbulkan talbis. Adakalanya para pendokong dakwah Islam yang menemui satu atau lebih macam kepercayaan dalam suatu masyarakat, bersama-sama dengan para penganut kepercayaan lain itu saling konfrontasi sama sekali malah juga dalam soal pokok yang esensil yang Arkanul-Iman dan Arkanul Islam – satu dan lainnya atas nama ‘toleransi’.

“Hasilnya antara lain, seperti yang dikenal di negeri kita ini, sebagai agama Kejawen. Hindu tidak, Buddha tidak, Islam pun bukan. Tetapi dari ketiga-tiganya bercampur-aduklah serba sedikit dalam jiwa seseorang penganutnya, sedangkan unsur yang satu saling meneutralisir unsur yang lain. Di samping itu antara penganutnya ada yang mengaku Islam atau beragama Kristian”  (Lihat bukunya,Fiqhud-Da’wah, hal 178-182).

Rumusan

Dakwah Islam sebenarnya bersifat ‘mengubah; (taghyir), bukan berkompromi atau menyesuaikan diri dengan sasaran dakwah (mad’u). Memang dalam aapek-aspek yang berubah-ubah (mutaghayyir) hukumnya berdasarkan nas-nas yang zhanni atau tidak jelas, kita boleh bertolak ansur atau menyesuaikan siri dengan amalan-amalan tempatan. Tetapi dalam aspek-aspek yang tetap (thabat) yang berdasarkan nas-nas yang qat’i atau jelas dan tegas (seumpama soal-soal aqidah, akhlak dan hudu), tidaklah boleh bertolak ansur dengannya.

Fenomena budaya sinkretisme (syncretic culture) berlaku apabila umat Islam tidak emmahami ajaran yang qat’iyyah yang tidak ada kompromi dalam melaksanakannya, dan ajaran yang zhanniyah yang masih boleh bertolak ansur dalam melaksanakannya. Terutama dari segi aqidah, gejala sinkretisme di mana berlakunya percampuran ajaran tauhid dengan kepercayaan tenpatan yang berunsur syirik inilah yang disebutkan oleh Hamka dan M. Natsir sebagai masih wujud di Nusantara, walaupun sudah menerima pengaruh Islam. Ini bermakna dakwah Islamiyah di Nusantara belum benar-benar berjaya menghakis warisan tradisi yang bercanggah dengan aqidah (tauhid), syariat dan akhlak Islam.

Oleh: Dr. Abdul Rahman Hj. Abdullah.

Untuk huraian lanjut mengenai perkembangan kebudayaan Islam di Asia Tenggara, dapatkan buku Sejarah dan Kebudayaan Islam di Asia Tenggara.

About these ads