Category: BUDAYA


Keindahan pakaian kaum etnik dari Sarawak terserlah dengan ragam hias yang mempamerkan kemahiran tangan yang menghasilkannya. Ragam hias pada pakaian membentuk motif-motif etnik sama ada dari tenunan, jalian manik dan labuci. Perhiasan diri dari perak dan manik yang sarat melambangkan status dan kekayaan bagi pemakainya.

Di sini diketengahkan pakaian tradisional etnik utama di Sarawak.

Orang Iban adalah kaum yang paling utama di Sarawak. Pakaian Iban dipilih untuk dipakai bagi Ratu Pesta Menuai Sarawak. Bagi pakaian istiadat suku kaum Iban, lelaki akan memakai Baju Burung dan sirat serta tali pinggang lampit dan manik-manik atau jaket tenunan motif Iban dan sirat atau cawat dari kain tenun kasar dan puncanya dihiasi tenunan bercorak. Mereka juga mengenakan ikat kepala dari kain tenun dan tali pinggang perak. Kepala memakai setapok tunjang dan bulu kenyalang. Wanita memakai bidang berhias syiling dan loceng serta selampai dan marek empang. Perhiasan diri dari perak seperti ringgit gobeng, gelang kelunchong dan sugu tinggi. Wanita juga memakai skirt atau bidang tenun Pua. Bahagian atas memakai baju kecil atau kemban dan dilindungi dengan marek empang dari manik. Hiasan diri sarat barangan perak seperti tali pinggang, rawai dan sudu tinggi.

Wanita Orang Ulu banyak menggunakan manik dan labuci sebagai penyeri pakaian. Pakaian ini dibuat dari baldu berhias labuci motif aso dan naga. Subang telinga iseng dari tembaga bagi melanjutkan telinga yang menjadi kebanggaan bagi wanitanya. Lelaki memakai kulit kambing sunong dan cawat satin serta perhiasan kepala daripada bulu kenyalang. Wanita menggayakan ta’ah baldu merah berhiaskan labuci motif aso dan naga.

Pakaian lelaki Bidayuh baju dan seluar dari satin dihiasi pita merah dan putih. Bahagian luar memakai jipo Boyuh dari kulit kayu dan kalung gigi beruang. Wanita Bidayuh menggayakan baju jipo pendek dan skirt bidang fabrik satin rona hitam berhias selempang merah perhiasan pinggang daripada syiling perak. Perhiasan kepalanya ialah sipiah dari tiga warna hitam, merah dan putih berhias manik, labuci dan syiling perak.

Pakaian lelaki Melanau pula daripada satin berwarna gelap dipadankan dengan kain songket bunga tabur dan pakaian kepala sengkulon dari Jawa. Wanita Melanau menggayakan baju baldu hitam dengan sarung songket Brunei tenunan Sarawak, bertali pinggang pending besar, diserikan dokoh dan perhiasan kepala kepih sanggul.

Pasangan Melayu Sarawak pula, lelaki akan berbaju Melayu Cekak Musang dan bersamping songket. Wanita berbaju Kurung Teluk Belanga, kepala dihiasi selayah diserikan selempang sarung di bahu. Wanita Melayu Sarawak mengenakan Baju Kurung broked, sarung songket bunga tabur, selayah kerengkam dan selempang songket.

Nota:

Kebanyakan gambar ini diambil di Kampung Kebudayaan Sarawak, Kuching (Sarawak Cultural Village [SCV]). Beberapa pakaian kaum Melanau diambil semasa Pesta Kaul. Oleh itu ia tidak menggambarkan wajah sebenar etnik tersebut. Artis-artis ini hanya pekerja kebudayaan di SCV. Mereka akan bertukar-tukar pakaian pada masa lain. Kecuali pakaian Orang Ulu yang berwarna kuning dan hitam adalah Orang Ulu yang sebenar yang dijemput hadir ke SCV. Manakala orang Melanau di Pesta Kaul berkemungkinan adalah orang Melanau yang sebenar.

About these ads

Pakaian Tradisi Melayu

Disebabkan Malaysia mempunyai pelbagai kaum maka setiap kaum mempunyai pakaian tradisi masing-masing. Terdapat pakaian yang berkait rapat dengan dogma agama terutama sekali pakaian orang Melayu.

Orang Melayu terdapat di pelbagai negeri yang setiap negeri memaparkan pakaian tradisi yang berbeza. Namun secara amnya seluruh orang Melayu memakai baju kurung sebagai pakaian tradisi. Cuma reka bentuk atau potongan baju kurung agak berbeza-beza mengikut negeri. Selain itu baju kebaya dan kebarung (gabungan baju kurung dan kebaya) juga menjadi pilihan masyarakat Melayu Malaysia.

Baju Melayu kebiasaan

Baju Melayu kebiasaan

Pakaian tradisional lelaki Melayu adalah sama bagi setiap negeri iaitu baju melayu teluk belanga kecuali negeri Johor yang mempunyai baju melayu tanpa kolar. Manakala baju melayu akan dibiarkan di bahagian luar jika dikenakan samping berbeza dengan negeri-negeri lain yang mengikat samping di luar baju.

Baju kurung Johor untuk perempuan menjadi sinonim dengan baju kurung tradisional yang standard. Ia mengenakan kain yang disusun di sebelah kiri. Rata-rata wanita Melayu di Malaysia mengenakan baju kurung Johor, ini termasuk pakaian rasmi pelajar sekolah rendah dan menengah.

Melayu Johor

Baju kurung Kedah pula berpotongan pendek separas punggung dengan kain selisih.

Baju Melayu Kedah

Baju tradisional wanita Pulau Pinang pula adalah kebaya pendek yang dipadankan dengan kain batik atau songket selisih. Lelakinya pula mempunyai pengaruh pakaian golongan ‘Mamak’ yang banyak terdapat di Pulau Pinang, namun pakaian baju melayu dan samping yang dikenakan terdapat asimilasi budaya Melayu dan Mamak.

Melayu Pulau Pinang

Pakaian tradisonal Melayu Perak selain berbaju melayu teluk belanga, ia dipadankan dengan tengkolok potongan rendah. Wanitanya pula mengenakan pakaian baju kurung cekak musang dengan tali pinggang bengkung untuk mengikat samping. Manakala kain ditukar kepada seluar yang mirip pakaian tradisional masyarakat Aceh, Sumatera.

Melayu Perak

Pakaian tradisional Melayu bagi negeri Selangor pula mempunyai pengaruh Bugis di mana lelakinya akan mengenakan jaket di luar selain baju melayu yang dipakai di bahagian dalam lengkap bersamping. Manakala wanitanya akan mengenakan baju potongan Bugis dengan bertali pinggang yang dipadankan dengan kain selisih.

Melayu Selangor

Negeri Sembilan yang mendapat jolokan sebagai negeri Minang kerana perkaitan sejarahnya dengan Minangkabau di Sumatera, menerima pengaruh Minang bagi pakaian tradisionalnya. Biasanya wanita yang memakai pakaian tradisional Minang akan mengenakan tengkolok tanduk kerbau sebagai simbol budaya masyarakat Minang. Manakala pakaian tradisional lelaki mempunyai butang yang juga pengaruh daripada Minangkabau.

Melayu Negeri Sembilan (Minang)

Pakaian tradisional wanita Melayu Melaka pula selesa mengenakan baju kurung dengan mempunyai hiasan dada bercorak di bahagian bahu, manakala lelakinya mengenakan jaket di bahagian luar selain baju melayu.

Melayu Melaka

Di Melaka juga mempunyai masyarakat Portugis akibat tinggalan penjajah Portugis di Melaka pada kurun ke-16. Pakaian tradisional wanitanya adalah gaun yang berlengan besar dan lelakinya mengenakan baju sut sama seperti di Barat.

Portugis

Kelantan yang mendapat jolokan sebagai Negeri Cik Siti Wan Kembang mendapat pengaruh Siam terhadap pakaian tradisionalnya. Pakaian wanitanya mirip kepada pakaian wanita Siam dalam persembahan Makyong di mana mereka akan mengenakan mahkota dan tali pinggang besar (pending) di samping selendang yang besar. Pakaian lelakinya pula akan mengenakan jaket di luar.

Melayu Kelantan

Di Kelantan juga mempunyai ramai masyarakat Siam terutama sekali di daerah Tumpat. Masyarakat Siam ini yang berasal dari Thailand dan kebanyakannya beragama Buddha namun berasimilasi dengan budaya Melayu seperti dalam aspek makanan dan kehidupan seharian. Pakaian tradisional mereka mirip kepada masyarakat di Thailand.

Siam dan Melayu Siam

Pakaian tradisional orang Melayu Terengganu yang biasa dikenakan oleh masyarakat sekarang dengan baju kurung teluk belanga dan lelakinya baju melayu teluk belanga.

Melayu Terengganu

Bagi negeri Pahang pula, potongan baju kurung wanitanya berpesak dengan potongan kembang di bawah tanpa berkekek, dan dipadankan dengan kain selisih. Namun ada juga yang memadankannya dengan kain susun di tepi. Ia juga dikenali sebagai Baju Riau Pahang kerana pengaruh kerajaan Melayu Riau yang pernah datang ke situ. Lelakinya mengenakan baju melayu cekak musang.

Melayu Pahang

Bagi negeri Perlis pula, pakaian wanitanya terkenal dengan kebayanya, dan lelaki pula mengenakan baju melayu yang berjaket di luar.

Melayu Perlis

Pakaian Tradiri Cina

Sejarah kehadiran kaum Cina bermula dengan berkembangnya Melaka sebagi pusat perdagangan, diikuti Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Kehadiran mereka ini membawa bersama bukan sahaja barangan dagangan untuk tukaran, tetapi jua adat resam, budaya dan corak pakaian tradisional mereka yang kemudiannya disesuaikan dengan suasana tempatan.

Wanita berketurunan Cina akan memakai cheong sam. Ia biasanya dipakai pada upacara-upacara tertentu seperti majlis perkahwinan dan semasa Tahun Baru Cina. Tetapi kini, pakaian ini jarang dipakai oleh wanita Cina di Malaysia kerana mereka lebih gemar memakai pakaian fesyen moden ala Barat. Cheong sam dikatakan berasal dari baju tradisional lelaki Cina yang labuh sampai ke kaki. Perkataan ‘cheong sam’ dalam dialek kantonis bermaksud ‘baju labuh’. Cheong sam dipercayai mula diperkenalkan semenjak revolusi di Negara China pada tahun 1911. Baju ini asalnya labuh tetapi lama-kelamaan disingkatkan hingga ke paras lutut. Pada mulanya, kolar baju antara 3 hingga 4 cm sahaja tetapi kemudiannya ditinggikan sehingga menjadi 7 cm. Cheong sam dipakai ketat dan berbelah di kiri dan kanannya.

Samfoo membawa maksud ‘baju dan seluar’ dalam dialek Kantonis. Ia merupakan pakaian harian wanita keturunan Cina selain dari ‘cheong sam’. Ia digemari oleh wanita-wanita separuh umur dan yang bekerja di ladang, lombong atau di rumah. Samfoo diperbuat daripada kain nipis yang tidak bercorak atau berbunga halus.

Samfoo turut dipakai oleh lelaki berketurunan Cina tetapi mempunyai sedikit perbezaan dengan samfoo yang dipakai oleh wanita Cina. Pakaian ini terdiri daripada baju yang longgar dan terbelah di depan dan berkolar tinggi serta dipakai bersama seluar longgar seperti seluar baju Melayu. Pakaian ini biasanya diperbuat daripada kain lembut seperti kain sutera. Pakaian tradisional ini jarang sekali dipakai oleh lelaki berketurunan Cina di Malaysia.

Pakaian tradisional Cina

Cina

Pakaian Tradisi India

Kehadiran kaum India ke Tanah Melayu menyaksikan bermulanya gaya pemakaian dari benua India khususnya dalam kalangan Hindu-Sri Lanka-Tamil juga keturunan Punjabi-Sikh. Pakaian kaum India lebih dikenali dengan warna terang dan kaya dengan tenunan dan sulaman benang emas, perak, labuci juga batu-batu permata.

Pada hari perkahwinan lelaki India memakai dhoti dilengkapi dengan turban manakala wanitanya memakai sari yang digandingkan dengan choli ketat. Wanita remaja mengenakan skirt labuh ‘Ihenga’ juga dipadankan dengan baju pendek atau choli. Lelaki Punjabi menggayakan dhoti atau kurta dan wanitanya mengenakan salwar-khameez-dupatta iaitu seluar dengan baju labuh yang diperindah dengan sulaman benang emas dan labuci.

India

India

Walau bagaimanapun, gambar-gambar di atas tidak menggambarkan kaum yang memakainya kerana mereka adalah model, dan tidak menggambarkan pakaian semasa masyarakat Malaysia yang lebih memilih cara pakaian moden, ringkas dan kebaratan. Pakaian orang Islam juga pada masa kini lebih kepada menutup aurat dan bertudung. Pakaian-pakaian di atas biasanya ditemui semasa majlis kebudayaan atau perkahwinan.

Nota: Gambar-gambar ini dibeli di Jabatan Penerangan Malaysia, Kuala Lumpur, 2009