Hari Pertama

Kami sampai di lapangan terbang pada pukul 2.40 petang. Kami bergegas mengambil teksi dan menuju ke Hotel Temenggung seperti yang telah ditempah. Setelah periksa masuk, kami terus meminta pekerja hotel memanggil teksi untuk ke Gelanggang Seni yang terletak kira-kira 3 km dari hotel tersebut. Nama pemandu teksi adalah Haji Ahmad, nombor telefonnya diambil. Kalau masa masih banyak, mungkin kami boleh jalan kaki sahaja. Ini kerana pertunjukan Rebana Ubi akan berlangsung pada pukul 3.30 ptg. Sesampai di gelanggang, jam menunjukkan pukul 3.25 ptg. Para pemukul rebana masih bersiap-siap. Maka masa yang masih berbaki sempatlah kami membasahkan tekak di kafe yang serba sederhana dalam kawasan gelanggang.

Kedatangan kami dari jauh tidak sia-sia, dengan mengundang orang asing turut bermain rebana, kami anggap ia menghiburkan juga, walaupun tujuan sebenar saya cuma mengambil gambar untuk siri buku terbaru saya Siri Budaya Warisan Malaysia. Selepas pertunjukan Rebana Ubi, diadakan pula pertunjukan gasing putar. Kemahiran golongan separuh usia ini bermain gasing amat mengujakan. Tetapi kami berharap golongan muda akan mewarisi kemahiran mereka. Mungkin pada masa itu generasi muda sibuk bekerja. Selepas azan Asar berkumandang, dan membeli sedikit buah tangan di gerai gelanggang, kami beredar pulang ke hotel dengan menaiki teksi.

Persembahan rebana ubi

Pada malamnya, sebelum ke Gelanggang Seni, kami menjamu selera di gerai makan sebelah pasar Siti Khadijah. Aduhai! Makanannya oklah, tapi menunggu lamanya, kami pula tak sabar-sabar untuk ke gelanggang lagi. Makanan agak murah dengan ikan siakap kukus besar, semuanya cuma RM40 untuk dua orang dengan tiga side dishes lain.

Dikir Barat

Malam ini diadakan pertunjukan Dikir Barat. Memang mengujakan. Selama ini tak pernah menyaksikan Dikir Barat secara langsung. Hanya selalu tonton di tv atau Dikir Barat main-main dalam majlis-majlis ringan. Persembahan melagakan dua kumpulan, satu kumpulan nampak masih amatur, manakala satu lagi mungkin biasa menjadi juara Dikir Barat di mana-mana pertandingan. Memang seronok dan menghiburkan walaupun banyak dialek Kelantan tidak kami fahami, apatah lagi pelancong asing yang turut hadir yang pasti 90-100% tak faham. Cuma sedihnya persembahan dicacatkan dengan nyanyian gadis sunti yang berpakaian menjolok mata dan menyanyi lagu-lagu moden termasuk lagu dangdut. Ia menyebabkan hati saya ralat. Terselit jua unsur maksiat dalam persembahan ini. Apo nak dikato! Kalau tidak, mungkin sempurna. Apalah salahnya nyanyi lagu-lagu tradisional yang sekarang jarang didengari, barulah sesuai dengan Dikir Barat. Saya pasti Kelantan banyak himpunan lagu-lagu rakyatnya. Janganlah hendaknya Dikir Barat dicemari unsur-unsur lain yang merosakkan keasliannya. Dan hendaknya penyanyi tersebuat tak perlulah perempuan yang tidak menutup aurat. Walau bagaimanapun, saya tabik pada belia-belia Kelantan, pada awalnya semasa kami memasuki kawasan gelanggang, nampak banyak mat-mat motor, adik saya berbisik, “ni macam mat rempit yo”. Tapi sebenarnya merekalah pedikir Barat yang bertindak sebagai awak awak. Wah! Sekurang-kurangnya mereka membuat sesuatu yang berfaedah dan boleh mengelakkan budaya negatif jika banyak masa terluang. Ia merupakan sebuah pengorbanan yang besar kerana setiap malam minggu mereka ada persembahan. Adalah diharapkan budaya warisan bangsa Melayu jati ini akan diteruskan dari generasi ke generasi dalam ‘track’ yang betul.

Hari Kedua

Hari ini hari minggu. Tiada aktiviti di Gelanggang Seni. Namun bandar raya Kota Bharu tetap sibuk kerana hari ini hari pertama mereka dalam minggu itu untuk bekerja. Kami mengambil peluang untuk ke Palekbang, dalam jajahan Tumpat untuk bertemu pembuat dan pemain Wayang Kulit.

Pak Soh menunjukkan cara mewarna arca.

Meskipun terpaksa menunggu, pertemuan dengan Pak Soh (Yusuff Mamat) berbaloi. Dia dengan kebiasaannya akan menerangkan langkah demi langkah membuat Wayang Kulit. Di bangsalnya juga terdapat beberapa peralatan muzik tradisional yang amat berguna kepada saya untuk diambil gambarnya seperti gendang, beduk, kesi, canang dan gedombak. Pak Soh juga mengajak kami menyaksikan permainan Main Puteri dan Makyong di pulau seberang. Wah! Pucuk dicita ulam mendatang. Kami pun berjanji untuk sampai ke rumahnya kira-kira pukul 5 petang seperti yang diarahkan. Pak Soh sebenarnya pensyarah seni di UiTM Shah Alam, tempat saya pernah mengajar tahun lepas. Dia berulang alik setiap minggu untuk mengajar dan melayani tetamu di sini juga. Ramah dan mudah mesra. Begitu juga dengan isterinya.

Sebahagian pemandangan dari Jeti Kok Majid.

Pada petang seperti dijanjikan, kami menaiki teksi ke rumah Pak Soh. Kemudian kami semua menuju ke Jeti Kok Majid. Malangnya kerana menunggu seorang daripada anggota pemuzik Main Puteri (orang Kelantan menyebutnya sebagai Main Peteri), maka bersapaulah kami selama kira-kira empat jam di jeti tersebut. Resah dan gelisah sebab tak sangka jadi begitu, oleh itu kami tidak bersedia. Kalau tahu terpaksa menunggu begitu lama, mungkin saya akan bawa komputer riba. Disebabkan rutin kerja yang sentiasa sibuk, dan boleh dikatakan tiada masa terluang untuk dibuang begitu sahaja, petang itu memang meresahkan. Cuma berharap agar penantian itu berbaloi. Sampai di jeti pukul 5.30 ptg, pukul 9 lebih baru kami dapat menaiki bot (muto(motor), kata orang Kelantan) menuju pulau.

Sampai di rumah tuan Main Puteri, kami dihidangkan dengan makanan. Ia semuanya sudah tersedia. Seperti telah biasa diadakan majlis begitu. Begitu juga menurut Pak Soh. Kalau ada orang berubat, maka situasi begitu adalah biasa. Walaupun dah lama tak makan nasi waktu malam, saya hentam sajalah sebab dah kelaparan.

Sebelum pukul 10 malam, pemuzik Main Peteri terus turun menyiapkan peralatan bermain. Khemah telah disediakan dengan ‘hidangan’ untuk tujuan itu. Sebelum ini, saya mengetahui tentang Main Puteri dari internet tetapi belum sempat membacanya secara detail.  Apa yang saya tahu upacara ini adalah kaedah perbuatan tradisional yang diselitkan dengan unsur hiburan. Apa yang berlaku di hadapan mata saya amat memeranjatkan saya yang dhaif dan naïf ini. Adakah suatu tempat yang dikatakan Serambi Mekah, masyarakatnya (pulau itu) nampaknya seperti ‘alim’ belaka, boleh ada upacara sebegitu? Apa nak dikata lagi kalau ada asap kemenyan, makanan persembahan dan pengeras? Boleh mengurut dada.

Antara bahan makanan yang disediakan untuk persembahan.

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang apa yang berlaku semasa Main Puteri berlangsung. Ia mungkin mengaibkan orang tertentu. Cukuplah saya katakan ia selesai pada pukul 2.00 pagi. Saya tak sampai hati nak menyuruh adik teksi yang menghantar kami petang tadi menjemput kami semula pada waktu sebegitu lewat di Jeti Kok Majid. Pada awalnya Pak Soh meminta kami menumpang kereta pemuzik Main Puteri untuk pulang ke Kota Bharu yang lebih kurang 30 minit perjalanan dari Jeti Kok Majid. Tetapi memandangkan waktu habis

Makanan digantung untuk siapa?

program itu begitu lewat, saya menyatakan kepada beliau yang saya tidak berani menumpang orang yang tidak dikenali pada waktu begitu lewat. Pak Soh mengajak kami tidur di rumahnya. Isterinya telah dimaklumkan. Esok katanya naik bot sahaja ke Kota Bharu yang tambang cuma RM1. Lega hati saya kerana tidak perlu mengambil risiko menumpang orang tak dikenali pada 2.30 pagi.  Ini kerana dari pulau ke Jeti Kok Majid mengambil masa lebih 20 minit dalam bot. Main Puteri tak habis lagi malam pertama, ia akan disambung dengan upacara lain termasuk Makyong pada malam kedua dan ketiga. Tapi kami mengambil keputusan tak mahu pergi lagi dan pulang lewat pagi. Sebab menurut seorang penduduk pulau yang hadir duduk di sebelah saya, pada malam ketiga akan selesai pada pukul 4.00 pagi.

Makanan penutup.. sotong masak manis, hmm.. tak boleh masuk! Apa pun.. terima kasih tuan rumah.

Waduh! Cukuplah satu malam sahaja, walaupun kecewa yang tujuan asal mahu melihat persembahan Makyong. Walau bagaimanapun upacara itu berakhir dua hari sahaja, hari kedua berakhir pukul 8.00 pagi. Mak ai… mereka berhenti rehat tak agaknya! Maklumat ini saya peroleh daripada Pak Soh yang saya temui pada malam persembahan Wayang Kulit di Gelanggang Seni (pada hari kelima).

Hari Ketiga

Isteri Pak Soh telah menyediakan sarapan nasi bungkus dan air teh pekat. Kami bangun lewat, maklumlah pukul 3.00 pagi baru sampai di rumahnya, kemudian kami masih lagi chit chat atas katil mengulas tentang apa yang kami saksikan di pulau. Kami masih tidak dapat menerima apa yang berlaku. Mungkin hampir pukul 4.00 pagi baru terlelap. Selepas sarapan dan singgah lagi di bangsal Pak Soh sekejap, Pak Soh menghantar kami ke Jeti Kampung Laut untuk ke Kota Bharu. Sampai di jeti seberang, kami terus berjalan kaki ke hotel yang kira-kira jaraknya 1 km. Sambung tidur.

Gendang silat

Petang kami keluar makan tengah hari sebelum ke Gelanggang Seni. Kali ini kami berjalan kaki sahaja ke Gelanggang Seni. Meskipun berpeluh, tapi sekurang-kurangnya dapat membakar kalori yang baru diambil tadi. Hari ini ada persembahan Silat Tari, membuat wau dan bermain congkak. Pukul 4.30 ptg kami balik ke hotel semula dengan berjalan kaki juga.

Malam kami berjanji dengan Pak Haji Ahmad menghantar kami ke Wakaf Che Yeh. Saja nak tengok-tengok dan membeli sedikit apa yang perlu. Ini kerana telah beberapa kali datang ke Kota Bharu tapi belum pernah ke situ. Dalam perjalanan, saya sempat menanyakan beliau mengenai Main Peteri. Menurutnya, Main Puteri adalah jalan terakhir untuk mengubati seseorang. Biasanya pesakit akan dibawa berjumpa doktor dan jika tidak sembuh dalam jangka masa yang lama barulah Main Puteri diadakan. Katanya, jirannya pernah sakit dan kemudian diubati secara Main Puteri, alhamdulillah dia sembuh selepas tiga hari upacara tersebut. Tapi dia memang bersetuju dengan kami bahawa upacara itu mengandungi unsur syirik dan khurafat, oleh itu telah jarang kedapatan kini. Cuma hanya beberapa tempat sahaja masih mengadakan Main Peteri.

Selesai melawat gerai-gerai di Wakaf Che Yeh, kami sms Pak Haji Ahmad yang menunggu di masjid berdekatan untuk menghantar kami pulang.

Hari Keempat

Makan nasi tumpang untuk sarapan

Hari ini tiada aktiviti di Gelanggang Seni. Kami bercadang nak ke PCB (Pantai Cahaya Bulan). Selepas jalan-jalan seketika di kawasan sekitar hotel termasuk Pasar Besar Siti Khadijah, kami balik ke hotel. Pukul 3 ptg, Pak Haji Ahmad mengambil kami di hotel. Dalam perjalanan ke PCB, kami berhenti sekejap di sebuah bangsal orang membuat wau. Pelbagai jenis wau dipamerkan. Malangnya saya lupa bertanyakan nama pak cik yang buat wau tu. Teruk betul. Dia begitu bersemangat walaupun pada perkiraan saya umurnya mungkin hampir 70 tahun. Dia sedang membuat sentuhan terakhir wau bulan yang ditempah pelanggan. Harganya RM400. Dia mengambil masa seminggu untuk menyiapkannya. Selain itu kami dapati terdapat wau kucing, wau kangkang dan beberapa jenis lagi telah digantung.

Sentuhan terakhir

Di PCB, kami menjamu selera di sebuah gerai. Sejak kali terakhir saya menjejakkan kaki di situ lima tahun dahulu, tiada apa yang berubah, cuma terdapat sebuah tugu siput baharu sahaja. Gerai-gerai tetap usang dan masih menyajikan makanan yang sama. Semuanya ada makanan laut bergoreng dan bebola bersalut tepung. Kebetulan kami dapat gerai yang menyajikan makanan tersebut yang telah tidak segar.

Nampak sedap tapi… hmmmm..

Mungkin digoreng semula beberapa kali. Tepungnya keras dan isinya macam sudah lama. Disebabkan belum makan tengah hari lagi, kami makan jugalah sampai habis. Bilalah mereka ni nak berubah. Sekurang-kurangnya buatlah sesuatu yang lain sikit, macam buat pisang goreng ke, cempedak ke, keledek ke atau sesuatu yang enak dimakan waktu santai petang-petang.

PCB

Balik dari PCB kami menaiki bas yang kebetulan lalu di situ. Tambangnya Cuma RM1.70 seorang.

Pukul 6.00 petang kami bersiap-siap nak keluar dari hotel untuk makan malam dan seterusnya berjalan kaki ke stadium. Malam ini ada perlawanan bola sepak antara pasukan negeri Kelantan dan Selangor. Kesempatan ini kebetulan tiada aktiviti waktu malam, kami mengambil peluang untuk pergi menonton. Sampai di stadium kira-kira 7.15 mlm. Disebabkan kami musafir kami memang bercadang sedari awal untuk jamak taakhir. Di tempat letak kereta, didapati imam sedang memberi ceramah peringatan betapa apa pun aktiviti kita buat, solat janganlah kita lupakan hatta mahu menonton bola sepak sekalipun. Supaya ia tidak menjadi aktiviti yang tidak diredhai. Biasalah, entah berapa peratus sahaja yang mendengar. Dalam lebih kurang 10 000 orang di luar stadium pada masa itu, anggaran saya tak sampai 500 orang berada di atas tikar yang dihamparkan secara percuma. Setelah mendapat tiket, kami beratur masuk, serentak dengan azan berkumandang. Sedihnya, kira-kira setengah stadium telah dipenuhi, jadi boleh dianggarkan setengah stadium juga tidak melakukan solat maghrib. Dan tidak mungkin ribuan orang itu musafir macam kami, atau semua wanita yang ada adalah ‘keuzuran’. Di dalam stadium saya anggarkan tidak sampai 200 orang yang bersolat di bangku-bangku tempat duduk. Kalau di surau, berapa sangatlah yang boleh muat. Ini kerana stadium penuh pada malam itu yang menurut jurucakap seramai lebih 20 000 orang. Bukan mengutuk atau mengata, harap-harap peminat pasukan bola Kelantan akan berubah dan menepati citra Kelantan sendiri sebagai Serambi Mekah.

Sebelum perlawanan

Semangat peminat-peminat bola di sini memang dahsyat. Mana-manapun mereka berada, mereka tetap bersemangat, apatah lagi di tempat sendiri. Bunyi hingar-bingar tiada henti dari awal hingga akhir perlawanan. Namun Kelantan hanya menang tipis dengan 1-0 sahaja.

Untuk mengelak kesesakan, apatah lagi pada malam ini YM Sultan Muhammad V mencemar duli turut menyaksikan perlawanan, kami keluar 10 minit lebih awal. Kami jalan kaki pulang ke hotel.

Hari Kelima

Kue tiaw ladna.. yummy

Kami keluar pukul 10 pagi, bersarapan di restoran sebelah hotel dan berjalan-jalan di Istana Jahar, Padang Pahlawan dan Bank Kerapu. Cuaca yang amat panas menyebabkan saya berasa cepat letih dan kembali ke hotel. Sejak kami datang, belum hujan lagi di Kota Bharu. Cadangan untuk ke Nilam Puri saya batalkan sahaja. Selepas solat Zuhur dan makan tengah hari, kami memanggil teksi untuk ke Gelanggang Seni. Hari ini ada persembahan Kertok, Gendang Silat dan Gasing Pangkah. Selesai persembahan kami pulang ke hotel semula, seperti biasa berjalan kaki juga, tetapi sesat sedikit.

Si cilik pemain gasing
Persembahan kertok

Malam, selepas solat Maghrib, kami ke gerai makan, acap kalinya makan di kawasan tersebut. Makanan biasalah sama macam di Lembah Kelang, sebab kat sana pun orang Kelantan yang masak. Tapi di sini agak murah sedikit, selesai makan kami berjalan kaki ke Gelanggang Seni. Malam ini ada persembahan Wayang Kulit. Saya memang teruja kerana seperti persembahan sebelum ini, saya belum pernah melihat Wayang Kulit secara langsung.

Dari belakang tabir

Wayang Kulit dibuat daripada kulit lembu dan kulit kambing. Kulit lembu untuk arca yang lebih besar.  Disebabkan kulit lembu lebih keras maka ia dapat mengelakkan arca yang dihasilkan lentur. Arca yang telah siap dilukis, tebuk dan warnakan, akan diikat dengan buluh nipis yang bertindak sebagai tangkai pemegang. Semasa memainkan wayang, Tok Dalang akan memegang buluh tersebut untuk menggerakkan arca. Kerap kali tangan arca juga akan diikat dengan buluh halus dan ditarik ke atas ke bawah untuk menggerak-gerakkannya.

Menurut Pak Soh, persembahan Wayang Kulit yang dibuat olehnya masih berkisar epik Ramayana dan Mahabrata atau cerita-cerita klasik yang berkaitan. Tetapi telah ada Tok Dalang yang memainkan cerita-cerita moden. Unsur-unsur jenaka wajib disisipkan dalam cerita Wayang Kulit. Apa yang paling pasti ia mesti dalam loghat Kelantan. Menurut Pak Soh juga, meskipun sering membuat pertunjukan di luar negara, beliau tetap menggunakan loghat Kelantan. Jika loghat ini tidak digunakan ia akan hilang keasliannya.

Wayang Kulit menggunakan alat-alat muzik seperti gedombak ibu dan anak, gendang ibu dan anak, tetawak, serunai, canang dua pasang, kesi, dan geduk ibu dan anak.

Kerana bosan, tak faham apa yang diperkatakan, kami balik awal, kira-kira 10.30 mlm, sedangkan persembahan dijadualkan berakhir pukul 11.00 mlm. Huh! Tak sporting langsung. Adik saya juga berasa bosan dan mengajak pulang. Mungkin kami masih belum dapat menyelami keindahan kesenian Wayang Kulit. Tak boleh salahkan kami juga, cakap-cakap di luar pintu pagar juga mengatakan malam itu Wayang Kulit kurang sedap, mungkin Tok Dalang tidak berpengalaman seperti Pak Soh. Kami tidak mengerti. Ramai tetamu telah meninggalkan gelanggang seawal pukul 10.00 malam lagi.

Hari Keenam

Pagi-pagi lagi kami dah bersiap. Biasanya selepas solat, kami tidur semula selelap dua. Tapi hari ini kami mesti berkemas. Barang-barang bersepah serata bilik. Biasalah selalu masuk hotel main campak, apa yang dibeli tidak disusun di dalam beg lagi. Pukul 8.30 pagi kami keluar sarapan di restoran sebelah hotel. Pukul 9.30 pagi, teksi yang dipanggil pun tiba. Kami ke Nilam Puri dahulu sebelum ke lapangan terbang.

Masjid Kampung Laut

Ini kali kedua saya datang ke Masjid Kampung Laut, di Nilam Puri. Adik teksi tu pun tak pernah dengar pasal sejarah masjid tu. Dia muda lagi, baru 20 tahun. Lima tahun dulu ada saya datang dan mengambil gambar, tapi menggunakan kamera kompak sahaja. Gambar tidak begitu jelas, lebih-lebih lagi cuaca gelap ketika itu. Mula-mulanya adik teksi tu ingat masjid tersebut terletak di Kampung Laut, Palekbang tempat kami mengunjungi rumah Pak Soh dulu.

Masjid Kampung Laut sebenarnya didirikan di Kampung Laut, di persisiran Sungai Kelantan yang asasnya pada abad ke-18 M. Ia dialihkan di Nilam Puri pada 1967 kerana sering berlaku banjir. Ia merupakan masjid tertua di negeri Kelantan. Masjid itu masih utuh dan mempunyai seni bina klasik terutama di dinding dan cara menyambung dinding di mana tidak menggunakan paku. Walau bagaimanapun selepas pemindahan beberapa bahagian terpaksa dipaku untuk mengelakkan ia runtuh kerana keuzuran. Seni binanya adalah mirip masjid Demak dan Champa.

Kesimpulan

Si comel ni pemuzik Dikir Barat

Kami berasa berbaloi selama enam hari tinggal di Kota Bharu dan menyaksikan sendiri aktiviti-aktiviti budaya Kelantan di Gelanggang Seni. Kesungguhan masyarakat Kelantan melestarikan budaya bangsa memang dipuji. Terutama sekali setiap kali acara tertentu dijalankan, ia melibatkan penglibatan belia dan para pelajar kecuali gasing putar. Penglibatan dalam budaya tradisi ini lebih baik daripada mereka melakukan aktiviti yang tidak sihat. Walau bagaimanapun apa yang dikesalkan terdapat acara-acara tertentu seperti sambalewa. Pentas persembahan tidak dihias sepatutnya. Lantai gelanggang silat amat usang, dan kapetnya telah koyak sana sini. Mungkin persembahan diadakan secara percuma maka tiada peruntukan untuk memperbaiki semua itu. Kadang-kadang persembahan dicacatkan dengan orang yang ‘menyibuk’ di pentas persembahan. Lebih buruk lagi ada pemain muzik yang merokok semasa bermain tanpa henti. Asap rokok berkepul sana sini terutama ketika Wayang Kulit. Tidak ketinggalan juga ketika Main Puteri diadakan. Tidak dapat dipastikan apakah mereka kehabisan idea atau terlupa nada jika tidak merokok. Ia mungkin memburukkan citra Melayu Islam dalam kalangan pelancong asing. Tudung kami lekat bau asap rokok ketika pulang. Alahai! Saya tetap berterima kasih kepada masyarakat Kelantan yang saya temui, 99% pada penilaian saya adalah baik hati, dari pekerja hotel, pemandu teksi, dan siapa sahaja yang saya berbual selama enam hari di Kelantan (kecuali pelayan (kakitangan atau tokeh tak tahulah) di gerai PCB).

About these ads