SIAPA MANI PURINDAN?

Dalam Sejarah Melayu al-kisah cetera yang kedua belas ada mencatatkan suatu nama, Mani Purindan. Sepanjang cetera yang mengisahkan tentang individu tersebut, namanya sentiasa diiringi dengan gelaran hormat ‘baginda’ dan disebut sebagai baginda Mani Purindan.

Berikut diturunkan petikan dari Sejarah Melayu yang mengisahkan tentang individu yang disebutkan tadi:

“Kata sahibul’l-hikayat, maka tersebut-lah perkataan ada sa-buah negeri di-benua Keling, Pahili nama-nya, Nizamu’l-Muluk Akbar Shah nama raja-nya. Ada pun raja itu Islam, di-dalam agama Nabi Muhammad. Maka baginda beranak tiga orang, dua orang laki2, sa-orang perempuan, dan yang tua bernama Mani Purindan, dan yang tengah Raja Akbar Muluk Paduka Shah nama-nya, dan yang bungsu perempuan. Maka ayahanda baginda Raja Nizamu’l-Muluk Akbar Shah pun hilang-lah. Maka ananda baginda Raja Akbar Muluk Paduka Shah-lah ganti kerajaan ayahanda baginda. Maka baginda berbahagi pusaka tiga bersaudara saperti di dalam hukum Allah ta’ala, demikian-lah di-perbuat-nya. Datang-lah pada papan chuki emas, buah-nya permata, sa-belah permata merah, sa-belah permata hijau. Maka kata baginda Mani Purindan pada adek-nya Raja Akbar Muluk Paduka Shah, ‘Chuki ini berikan-lah pada saudara kita yang perempuan kerana bukan layak kita memakai dia.’ ……..

Itulah sahaja yang dikisahkan dalam Sejarah Melayu tentang Mani Purindan. Petikan di atas adalah kisah penuh mengenai Mani Purindan seperti tercatat di muka surat 80 hingga 82 (Sulalatus Salatin, hlm. 80-82 juga); tetapi separuh halaman sahaja di muka surat 80 dan satu perenggan atau seperempat halaman sahaja di muka surat 82. Bermakna, kisah tersebut cuma meliputi lebih kurang dua muka surat sahaja.

Kisah sepanjang dua muka surat tentang Mani Purindan itu memang terlalu pendek. Pada hal perjalanan hidupnya sejak di Pahili hingga berakhir di Melaka sudah tentu amat panjang. Malahan episod-episod yang menyentuh tentang diri beliau serta keturunannya yang berkaitan dengan kerajaan Melayu Melaka tentu banyak jika hendak dikaji dan diperkatakan. Namun demikian tiada terdapat sumber bertulis lain yang mengisahkan tentang dirinya itu. Dengan yang demikian setakat itulah sahaja kisah yang menyangkut diri beliau sebagaimana yang terdapat dalam Sejarah Melayu.

Mani Purindan dalam Sejarah Melayu

Dalam Sulalatus Salatin yang diselenggarakan oleh A. Samad Ahmad,2 terdapat beberapa maklumat tambahan yang tidak terdapat dalam Sejarah Melayu. Selain itu terdapat juga beberapa kelainan dalam sebutan nama-nama individu dalam kedua-dua teks tersebut. Begitu juga dengan beberapa potong ayat yang tidak sama antara teks kedua-dua versi Sejarah Melayu itu.

Walau bagaimanapun kelainan maklumat dalam teks-teks yang berkenaan bukanlah perbezaan besar. Sebaliknya maklumat-maklumat yang berkenaan serba sedikit saling memperlengkap pengetahuan tentang individu yang dinamakan Mani Purindan. Malahan variasi sebutan nama-nama individu juga bukanlah kelainan yang sangat ketara tetapi sekadar sedikit, kemungkinan telah berlaku pada masa para penyelenggara sedang mentransliterasikan teks-teks Sejarah Melayu yang berlainan versi. Demikian juga dengan kelainan ayat-ayat dalam teks Sejarah Melayu dan Sulalatus Salatin, barangkali teks-teks tersebut adalah juga berlainan versi yang disalin oleh penyalin-penyalin yang berbeza.

Kelainan-kelainan yang dimaksudkan ialah:
1. “… Ada pun raja itu Islam dalam agama Nabi Muhammad Rasulullah salla `llahu `alai wa-sallam…”3
2. “… Raja Akbar Muluk Kud Syah…”4
3. “… dan yang tengah Raja Akbar Muluk Kud Syah nama-nya,…”5
4. “… yang perempuan, Damia Seri Wandi namanya….”6
5. “… Baginda Mani Purindan pun hendak naik mencapai segala anak kayu yang tumbang itu, semuanya merebahkan dirinya. Maka baginda berpaut pada pohon gandasuli, lalu naik ke darat berjalan dengan letihnya dan lapar serta dahaganya. Maka didengarnya bunyi burung tekukur itu terbang, diikutnya pula; apabila baginda Mani Purindan berhenti, tekukur itu pun ikut berhenti. Diceriterakan yang empunya ceritera, ada dua hari dua malam baginda Mani Purindan mengikut tekukur itu, apabila ia berhenti tekukur itu pun berhenti, dengan demikian maka teruslah ke bendang orang….”7
6. “… Sebab itulah dipersumpahkan oleh baginda Mani Purindan – segala anak cucunya tiada boleh makan ikan alu-alu; tiada boleh bermain burung tekukur dan memakai bunga gandasuli…”8

Begitulah maklumat mengenai Mani Purindan yang terdapat dalam Sejarah Melayu dan Sulalatus Salatin. Dengan maklumat yang ada itulah akan dikaji mengenai Mani Purindan, terutama sekali tentang kehadirannya di Melaka.

Menurut Sejarah Melayu-Sulalatus Salatin, Mani Purindan adalah seorang putera raja. Ayahnya bernama Raja Nizamu’l-Muluk Akbar Syah yang memerintah ‘sa-buah negeri di-benua Keling, Pahili nama-nya.’ Beliau merupakan anak yang sulung daripada tiga bersaudara. Adiknya yang lelaki bernama Raja Akbar Muluk Paduka (Kud) Syah, manakala adiknya yang bungsu seorang perempuan bernama Damia Sri Wandi.

Apabila Raja Nizamu’l-Muluk Akbar Syah mangkat, anaknya yang tengah Raja Akbar Muluk Paduka Syah telah diangkat menjadi raja. Lazimnya putera tertua yang menaiki takhta kerajaan bagi menggantikan raja yang mangkat tetapi di Pahili, putera kedua pula yang diangkat menjadi Raja. Fenomena seperti itu bukanlah sesuatu yang pelik kerana ia turut berlaku kepada kerajaan-kerajaan lain. Sekalipun begitu Mani Purindan tidak pula ‘memberontak’ ataupun berhasrat untuk merampas takhta kerajaan agar beliau dapat menjadi Raja.

Dalam kes ini, sekalipun Mani Purindan adalah seorang anak raja dan malahan yang tertua sekali, tetapi beliau telah diketepikan dan nampaknya beliau seolah-olah tidak mempunyai hak dalam kerajaan. Timbul beberapa persoalan yang boleh dibuat andaian berkaitan dengan peristiwa tersebut.

Mani Purindan bukanlah anak gahara. Beliau mungkin dilahirkan oleh permaisuri yang bukan berstatus Raja Perempuan. Kebarangkalian ini tidak mustahil kerana bapanya Raja Nizamu’l-Muluk Akbar Syah adalah seorang Muslim yang dibenarkan berpoligami. Baginda mungkin telah berkahwin buat pertama kali dengan seorang wanita orang kebanyakan yang tidak layak diangkat menjadi Raja Perempuan atau Permaisuri Besar. Isteri yang demikian dianggap sebagai gundik9 diraja dan anak yang dilahirkannya adalah anak gundik.

Berlainan pula dengan adik-adik Mani Purindan yang dilahirkan oleh wanita yang berketurunan raja ataupun Permaisuri. Anak lelaki yang dilahirkan oleh Raja Perempuan atau Permaisuri Besar dianggap sebagai anak gahara manakala anak perempuan pula layak diangkat menjadi permaisuri (sama ada Raja Perempuan atau Permaisuri Besar) seandainya beliau berkahwin dengan seorang Raja pemerintah sesebuah negeri. Dalam senario yang demikian wajarlah Raja Akbar Muluk Paduka Syah menaiki takhta kerajaan kerana beliau dianggap sebagai anak gahara atau putera mahkota, berbanding Mani Purindan yang bertaraf anak gundik.

Seseorang anak gundik tetap diiktiraf sebagai anak raja. Raja Nizam-u’l-Muluk Akbar Syah adalah seorang Muslim, dan dengan yang demikian anak gundiknya wajar dinamakan dengan gelaran raja berdasarkan kepada nasab bapa. Walau bagaimanapun tidak pula dapat dipastikan tentang hal ini kerana nama Mani Purindan yang sebenar tidak diketahui. Adalah diyakini bahawa Mani Purindan hanyalah nama timang-timangan atau nama gelaran sahaja.

Menurut pendapat umum dalam kalangan masyarakat bahagian utara benua Hindi (seperti wilayah Rajasthan atau Delhi), nama Mani Purindan mungkin diambil dari perkataan ‘manipuri’10, sejenis makanan kegemaran di wilayah berkenaan dan juga wilayah-wilayah sebelah selatan. Perkataan tersebut terdapat dalam bahasa Tamil yang telah diserap daripada bahasa Sanskrit.

Disebabkan Mani Purindan mungkin bukan nama yang sebenar tetapi hanyalah gelaran ataupun nama timang-timangan, oleh yang demikian namanya itu tidak mungkin dapat dijadikan asas untuk mengenal pasti identiti beliau yang sebenar. Dalam Sejarah Melayu, Tun Seri Lanang sekadar mencatatkan sebagai ‘baginda Mani Purindan’ dan tiada sekalipun disebut, misalnya ‘Raja Mani Purindan’. Walau bagaimanapun, beliau dikatakan berasal dari Pahili yang terletak di wilayah Rajasthan di Utara tanah Hindi. Dengan itu, Mani Purindan diandaikan berketurunan ‘Hindi’ yang di bawah pengaruh Parsi, Turki dan Arab, dan bukannya Tamil (dari wilayah selatan).

Maka bolehlah disimpulkan hakikat bahawa Mani Purindan adalah anak raja Pahili berdarah Hindi-Parsi tetapi bukan anak gahara. Lantaran itu beliau tidak mempunyai hak untuk menaiki takhta kerajaan.

Demi membawa hati yang merajuk itu Mani Purindan berhasrat untuk merantau ke tempat yang jauh. Destinasi yang dipilihnya ialah Melaka “… kerana pada zaman ini raja Melaka itu raja besar; patut-lah aku sembah. …”11 Beliau memilih untuk merantau dan menetap di sebuah negeri besar, tegasnya Melaka yang dianggap sebagai sebuah negeri yang maju dan tersohor (piawaian pada awal kurun ke-15). Beliau sanggup memberikan taat setia kepada Raja Melaka yang dianggap raja besar berbanding Pahili dengan raja yang tidak menyenanginya.

Nota Hujung

1. Tun Seri Lanang, Sejarah Melayu, (suntingan W.G. Sheallabear), Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1967, hlm. 80-82.
2. A. Samad Ahmad, (penyelenggara), Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), Edisi Pelajar, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 2003.
3. A. Samad Ahmad, Sulalatus Salatin, hlm. 80.
4. Ibid.
5. Ibid..
6. Ibid.
7. Ibid., hlm. 81.
8. Ibid.
9. Ada dua jenis gundik (rujuk Kamus Dewan hlm. 384). i. isteri Raja pemerintah dari keturunan orang kebanyakan. ii. perempuan simpanan, isteri gelap.
10. Maklumat mengenai perkara ini diperoleh hasil daripada perbualan penulis dengan seorang Pengurus Restoran Haja Khaliq (Khoja Khaliq). Beliau berketurunan daripada wilayah Rajasthan, dan menyatakan bahawa nama-nama seperti Khoja dan Nizamul berasal daripada Parsi. Berbeza dengan nama Mani Purindan yang dipercayai terbit daripada perkataan ‘manipuri’ yang berasal dari bahasa Sanskrit tetapi biasa digunakan oleh orang di wilayah utara benua Hindi.
11. Tun Seri Lanang, Sejarah Melayu, hlm. 81.

Keterangan lanjut mengenai Mani Purindan terdapat dalam buku Mani Purindan dalam Sejarah Melayu, Ismail Azman Omar, Karisma, 2008.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s