Masa dan Peristiwa Kewujudan Syi’ah
Para penulis Islam berbeza pendapat tentang sejarah mula kewujudan golongan Syi’ah. Pendapat pertama, sebahagian ulama berpendapat Syi’ah lahir sebaik sahaja wafat Nabi Muhammad (saw) iaitu pada saat perebutan kuasa antara golongan Muhajirin dan Ansar di Balai Saqifah Bani Sa’idah yang berlaku pada tahun 11 H/632 M. Orang Ansar mencadangkan Sa’ad ibn Waqas sebagai khalifah. Manakala Saydina Abu Bakar menegaskan bahawa pemimpin orang Islam pada ketika itu hendaklah golongan Muhajirin dengan mengatakan bahawa orang Muhajirin sebagai pemimpin (umara’), manakala Ansar sebagai menteri (wuzara’) dan beliau mencadangkan sama ada Saydina ‘Umar atau Abu ‘Ubaydah. Tetapi kemudiannya mereka bersetuju untuk melantik Saydina Abu Bakar.63 Pada saat itu muncul suara dari Bani Hasyim dan beberapa orang Muhajirin yang mahu Saydina ‘Ali menjadi khalifah.
Ibn Athir meriwayatkan, apabila Rasulullah (saw) sedang nazak, Saydina ‘Ali keluar dari situ. Orang ramai terus bertanya kepadanya tentang keadaan baginda (saw). Saydina ‘Ali memberitahu keadaan baginda sedang sakit tenat. Kemudian Ibn Abbas memegang tangan Saydina ‘Ali dan menyuruh beliau bertanya kepada Rasulullah (saw) tentang bakal pemimpin yang akan menggantikan tempat baginda. Tetapi Saydina ‘Ali enggan memandangkan keadaan Rasulullah (saw) yang sakit itu.64
Diriwayatkan juga, pembaiahan Saydina Abu Bakar telah berlaku pada hari kewafatan Rasulullah (saw) yang berlang-sung di Saqifah Bani Sacidah. Orang yang pertama membaiah Abu Bakar ialah Saydina ‘Umar al-Khattab diikuti kemudiannya oleh orang ramai. Pertemuan pada waktu itu tidak dihadiri oleh Saydina ‘Ali, Bani Hasyim dan Ibn Zubayr dan Talhah.65 Mereka ini hanya membaiah Saydina Abu Bakar selepas enam bulan kemudian iaitu setelah kewafatan Saydatina Fatimah (rdh).66 Oleh itu, boleh dikatakan syi’at ‘Ali telah mula wujud kerana ada usaha untuk menyokong Saydina ‘Ali sebagai pengganti khalifah iaitu Bani Hasyim, Ibn ‘Abbas, Ibn Zubayr dan Talhah. Tetapi syi’at ‘Ali ini lenyap apabila Saydina ‘Ali sendiri membaiah Abu Bakar.
Pendapat kedua mengatakan Syi’ah lahir setelah pembunuhan Saydina ‘Uthman bin ‘Affan pada 35 H/656 M), para penyokong Saydina ‘Ali mahu beliau dibaiat dengan segera sebagai khalifah. Menurut Ibn ‘Athir, setelah Saydina ‘Uthman dibunuh, hanya ‘Ali lah satu-satunya calon yang layak untuk mengambil alih jawatan khalifah. Kebanyakan orang Madinah dan Kufah mahu membarikan baiah kepadanya yang berada di dalam masjid ketika itu. Saydina ‘Ali pada mulanya enggan tetapi orang Islam berkeras untuk melantik beliau. Saydina ‘Ali mengatakan bahawa beliau hanya layak memegang jawatan wazir daripada amir. Tetapi semua orang Islam tidak mahu keluar dari masjid itu selagi Saydina ‘Ali tidak dibaiah. Orang yang mula-mula membaiah ‘Ali ialah Talhah bin ‘Ubaydilah dan kemudian ‘Abdullah bin Zubayr.67 Orang yang menyokong Saydina ‘Ali ini dikatakan sebagai Syi’ah (syi’at ‘Ali).68
Pendapat ketiga ialah yang paling popular tentang sejarah awal kewujudan Syi’ah iaitu lahir setelah berlaku Peristiwa Tahkim pada 37 H/657M. Peristiwa Tahkim berlaku untuk mengelakkan peperangan di Siffin. Peristiwa ini berlaku atas sebab-sebab Mu’awiyah ibn Abi Sufyan tidak berpuas hati dengan Saydina ‘Ali yang tidak dapat berbuat apa-apa terhadap pembuhuhan Saydina ‘Uthman. Saydina ‘Ali tidak dapat bertindak kerana seluruh penduduk Iraq mengaku sebagai pembunuh ‘Uthman.69 Dalam peristiwa ini, pihak Mu’awiyah telah memohon untuk diadakan perdamaian dengan menjulang mashaf Al-Quran semasa dalam Peristiwa as-Siffin. Kebanyakan golongan al-qurra menggesa Saydina ‘Ali menerima cadangan damai itu. Terutama sekali satu puak dari Yaman yang diketuai oleh Al-As’ath bin Qais yang mahu Saydina ‘Ali membuat perjanjian damai.
Di Siffin, Al-Ashtar Malik dan pengikutnya pula mahu meneruskan peperangan menentang Mu’awiyah kerana mahu menewaskan Muawiyah dengan berharap dapat mengekalkan Saydina ‘Ali sebagai khalifah agar kedudukan mereka akan lebih terjamin di Iraq. Jika berlaku perdamaian kemungkinan kedudukan Saydina ‘Ali akan mulai lemah dan Mu’awiyah akan mengambil alih jawatan khalifah yang boleh menggugat kepentingan mereka di Iraq. Manakala Al-As’ath bin Qais dan pengikut-pengikutnya pula dan seluruh orang Yaman tidak mahu membantu Saydina ‘Ali jika berlaku peperangan dengan Muawiyah. Tetapi akhirnya jumlah suku yang mahu turut berperang dengan Saydina ‘Ali ialah 25 buah suku.70
Melihat kepada sokongan yang diterima oleh Saydina ‘Ali ini, menyebabkan Mucawiyah mengambil keputusan untuk berdamai. Kerana memikirkan kepentingan rakyatnya, Saydina ‘Ali setuju untuk berdamai. Maka diadakan satu majlis Tahkim. Dengan keputusan ini terdapat golongan al-qurra yang diketuai oleh Al-Ashtar tidak lagi berminat lagi untuk bersama-sama Saydina ‘Ali sama ada untuk mengadakan Majlis Tahkim atau berperang. Golongan ini telah pergi ke Harura’, sebuah kawasan yang tidak jauh dari Kufah untuk menetap di sana. Mereka digelar Khawarij (kerana keluar dari situasi tersebut) dan jumlah mereka sekitar 12,000 orang.71 Pengikut-pengikut Saydina ‘Ali yang masih setia bersama beliau digelar Syi’ah. Dalam peristiwa Tahkim ini Saydina ‘Ali mengutus Syurayh ibn Hani al-Harithi yang disertai juga ‘Abdullah ibn ‘Abbas dan Abu Musa Asy’ari. Mereka telah bertemu di Daumat al-Jandal.72 Pihak Mu’awiyah pula diwakili oleh ‘Amru ibn al-‘As yang kemudian dengan kebijaksanaannya menaikkan Mu’awiyah ibn Abi Sufyan daripada jawatan gabenor Syam kepada jawatan khalifah.73
Pendapat keempat, ada juga yang mengatakan golongan Syi’ah yang lahir dan berkembang sehingga ke hari ini ialah golongan Syi’ah yang wujud pada 61H/680M setelah pembunuhan Saydina Husayn bin ‘Ali di Karbala’.
Saydina Hassan bin ‘Ali telah dilantik menjadi khalifah oleh penduduk Kufah pada tahun 40 H setelah bapanya dibunuh. Orang yang paling awal membaiahnya ialah Qays bin Sa’ad al-Ansari.74 Namun kemudian Hassan menyerahkan jawatan tersebut kepada Mu’awiyah bin Abi Sufyan pada Rabiul Awal tahun 50 H dengan syarat pemilihan pucuk pimpinan kerajaan selepas itu hendaklah diserahkan kepada umat Islam. Tetapi semasa pemerintahan Mu’awiyah beliau telah melantik anaknya, Yazid sebagai putera mahkota. Apabila Mu’awiyah meninggal dunia, Yazid terus naik menjadi khalifah.
Semasa Yazid berkuasa, Saydina Husayn mendapat lamaran supaya datang ke Kufah. Meskipun telah dihalang oleh ‘Abdullah ibn ‘Umar dan ‘Abdullah ibn ‘Abbas,75 Saydina Husayn tetap pergi ke Kufah setelah mendapat surat yang mengatakan penduduk Kufah akan memberikan sokongan kepada beliau untuk menjadi khalifah yang menyebabkan pembunuhannya di Karbala’. Peristiwa inilah yang menyemarakkan semangat golongan penyokong Ahlul-Bayt untuk menentang Bani Umayyah. Dari masa inilah Syi’ah wujud.
Namun untuk mengetahui bilakah masanya Syi’ah wujud, dalam buku Ibn Athir, Al-Kamil fit-Tarikh, menyatakan bahawa semasa Saydina Husayn bin ‘Ali dalam perjalanan ke Mekah, beberapa orang Syi’ah telah berkumpul di rumah Sulayman bin Surad al-Khuza’i, untuk membincangkan masalah yang kemungkinan dihadapi oleh Hussayn. Turut sama dalam perbincangan itu ialah Musayb bin Najabah, Rifa’ah bin Shadad dan Hubayb bin Muthir. Mereka kemudiannya menulis surat kepada Husayn agar tidak meneruskan perjalanan ke Kufah.76 Ini membayangkan bahawa golongan Syi’ah pada masa itu telah pun wujud.
Manakala dalam Ensiklopedia Oxford yang juga merujuk kepada buku-buku seperti Tarikh at-Tabari, Tarikh Ya’kubi, Syicar Dar Islam (Tabataba’i, seorang pendukung Syi’ah), dan lain-lain lagi, mengatakan Syi’ah telah wujud semenjak pembunuhan Saydina ‘Uthman, cuma peristiwa-peristiwa yang selepasnya hanya berperanan untuk menjelaskan lagi bahawa golongan ini telah pun wujud. Namun pada peringkat awalnya, Syi’ah tidak begitu aktif.77 Menurut Tabari, sebenarnya tidak menunjukkan secara jelas kewujudan Syi’ah. Ada dicatatkan bahawa selepas berlakunya Peristiwa Siffin, penyokong-penyokong Saydina ‘Ali telah berikrar bahawa semua sahabat ‘Ali adalah sahabat mereka, manakala semua musuh ‘Ali adalah musuh mereka.78
Tabataba’i dalam Shi’ite Islam (terjemahan dari bahasa Parsi, Syi’ar Dar Islam) menyatakan bahawa Syi’ah sebenarnya telah wujud semasa zaman Rasulullah (saw) lagi. Ketika Rasulullah masih hidup, telah ada dalam kalangan sahabat yang Berasakan ‘Ali adalah bakal pemimpin iaitu Salman al-Farisi, Abu Dhar al-Ghifari dan Miqdad.79
Kesimpulannya, tarikh yang tetap bila Syi’ah itu wujud tidaklah dapat dipastikan, namun usaha-usaha untuk meng-akui kekhalifahan ‘Ali memang telah wujud di zaman Rasulullah (saw) lagi iaitu selepas khutbah di Ghadir Khum. Kemudian golongan ini lenyap sehinggalah kematian Saydina ‘Uthman. Cuma Syi’ah secara rasminya hanya wujud semasa Peristiwa Tahkim, manakala Peristiwa Karbala’ menyemarakkan lagi semangat Syi’ah untuk membina kefahaman dan ideologi yang tersendiri.
Nota Hujung
63 Ibn Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, Juz II, Beirut: Dar Sadar, 1965, hlm: 321.
64 Ibid., hlm: 321.
65 Ibid., hlm: 325. Menurut As-Suyuti, meskipun Talhah dan Zubayr membaiah ‘Ali tetapi mereka tidak mentaatinya.(Lihat As-Suyuti, Tarikh Khulafa’, hlm: 163.)
66 Ibn Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, Juz II, hlm: 331.
67 Ibid., Juz III, hlm: 191.
68 Golongan yang mendesak Saydina Ali menerima jawatan khalifah ini ialah golongan al-qurra iaitu pendatang baru di Iraq yang tidak menyukai pentadbiran Saydina ‘Uthman yang dianggap oleh mereka sebagai pilih kasih terhadap kaum kerabatnya yang terdiri daripada Bani Umayyah.
69 al-Minqari, Nasr ibn Muzahim, Waq’at Siffin, Kairo: A.S.M.Harun, 1365M, hlm: 96.
70 Ibn Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, Juz II, hlm: 232.
71 Ibid., hlm: 326.
72 Ibid., hlm: 329-30.
73 Ibid., hlm: 332.
74 Ibid., hlm: 402.
75 Ibn Athir, al-Kamil fi al-Tarikh, Juz IV, hlm: 37.
76 Ibid., Juz IV, hlm: 20.
77 John L. Esposito, Ensiklopedia Oxford, Dunia Islam Modern, Jil 5, terjemahan, Bandung: Penerbit Mizan, 2001, hlm: 304.
78 Tabari, Tarikh al-Rusul wa al-Muluk, jil 1, ed. M.J. Geoje, Leiden, 1879-1901, hlm: 3550.
79 Tabataba’i, Shi’ite Islam, hlm: 39 & nota kaki hlm: 68.