Perkembangan Syi’ah Dewasa Ini
Atas sebab meluas dan kuatnya pengaruh Syi’ah yang bermula pada zaman Rasulullah (saw) atau zaman Khulafa’ al-Rashidin tersebut, Syi’ah terus bertapak di hati beberapa kelompok umat Islam pada hari ini. Syi’ah merupakan satu kelompok pecahan dari umat Islam yang merangkumi lebih kurang 10% dari seluruh umat Islam di dunia. Golongan Syi’ah ini berpecah kepada beberapa kumpulan. Tetapi dalam buku, hanya disebut tiga kumpulan sahaja, yang terbesar ialah Syi’ah Imam Dua Belas (Ja’fariyah). Kumpulan ini merupakan golongan Syi’ah yang terbesar di Iran dan merangkumi hampir 60% daripada penduduk Iraq. Golongan ini juga menjadi kumpulan minoriti di beberapa buah negara seperti Pakistan, Afghanistan, Lebanon dan Syria.80
Kumpulan yang kedua ialah golongan Zaydiyah yang berkembang di Yaman81 dan hampir 40% daripada penduduk negara tersebut adalah pengikut Syi’ah Zaydiyah. Kelompok yang ketiga ialah golongan Isma’iliyah. Kumpulan ini mempunyai pengikut dianggarkan seramai dua juta orang. Kumpulan ini sekarang berpusat di India dan bertaburan di sekitar Asia Tengah, Iran, Syria dan Timur Afrika. 82
Syi’ah amat sinonim di Iran, seolah-olah negara tersebut dibentuk untuk melaksanakan doktrin Syi’ah. Iran sebenarnya berasal dari Parsi. Orang Iran menyebut negaranya dengan nama Iran (bangsa mulia) tetapi orang luar sudah lama menggunakan sebutan Persia yang merujuk kepada Pars, kini Fars adalah bahagian selatan negara itu. Sebutan Persia digunakan hingga 1935 sewaktu pemerintah di Tehran secara rasmi meminta kepada masyarakat dunia untuk menggunakan nama Iran.83 Sekitar tahun 2000 SM bangsa Arya yang juga merupakan ras Indo-Eropah itu telah mulai menetap di Iran, yakni di wilayah selatan Iran. Mereka berasal dari suku Pars. Kemudian pada tahun 1000 SM datang pula suku Media yang juga berasal dari bangsa Arya dan menetap di wilayah utara Iran. Pada tahun 700 SM, suku Media berhasil menguasai wilayah-wilayah yang luas, termasuk wilayah yang dikuasai suku Pars. Kemudian mereka mendirikan sebuah kerajaan yang luas. Namun kemudian pada tahun 553 SM kerajaan tersebut dapat dijatuhkan oleh Cyrus Agung (pendiri Dinasti Akhamenida), yang kemudian berhasil mendirikan Kerajaan Persia yang besar. Imperium ini mencapai puncaknya pada masa Darius I (521-485 SM.). Wilayah kekuasaannya merentang dari Sungai Indus hingga ke bahagian selatan Rusia dan terus sampai ke Yunani, Turki, Cyprus, Mesir dan Libya. Dinasti Akhamenida itu jatuh pada tahun 331 SM, kerana diserbu oleh Alexander Agung atau Iskandar Agung (356-323 SM.). Setelah itu Empayar Persia berturut-turut dikuasai oleh Dinasti Seleukida, Parthia dan Sasanid (226-641M).
Pada tahun 637M melalui Perang Qadisiyyah, Imperium Persia jatuh ke tangan kaum muslimin yang waktu itu dipimpin oleh Khalifah ‘Umar bin Khattab (634-644M). Kemudian pada tahun 641 setelah melalui peperangan Nahavand, seluruh Imperium Persia yang waktu itu dipimpin oleh Raja Yazdajird jatuh ke tangan kaum muslimin. Sejak itu Persia yang semula menganut ajaran agama Zoroaster beralih ke agama Islam. Akhirnya kebudayaan Islam pun berkembang di sana.
Pada tahun 820M, seluruh wilayah Persia berada di bawah kekuasaan khalifah di Baghdad. Tetapi sejak tahun 820M, muncullah dinasti-dinasti kecil di wilayah Persia yang silih berganti menguasai wilayah-wilayah Persia. Dinasti-dinasti itu antara lain adalah Dinasti Samanid (892-999M), Gaznawi (999-1037M); dan Saljuq (1037-1157M). Khalifah al-Ma’mun (8l3-833M) memberi kekuasaan kepada Tahir bin Husayn mendirikan Dinasti Tahiri (820-872M) di Khurasan.
Pada tahun 1501M setelah sekitar tiga abad dikuasai oleh bangsa Mongol, muncul sebuah dinasti baru iaitu Dinasti atau Kerajaan Safawi (Safawi) yang menganut ajaran Syicah Ithna ‘Asy’ariyah sebagai agama rasmi negara. Bahkan Republik Islam Iran yang sedang berkuasa dewasa ini menganut ajaran Syicah yang sama sebagai agama rasmi negara. Sejak saat itu hingga sekarang, seluruh dinasti yang pernah berkuasa di Iran adalah Dinasti Safawi (1501-1732), Zand (1759-1794), Qajar (1794-1925) dan Pahlevi (1925-1979).
Sejak 11 Februari 1979, melalui revolusi Islam yang dipimpin oleh ulama terkemuka Iran, Ayatullah Khomeini (1320 H/1900 M-1409 H/1989 M), sistem kerajaan yang telah ribuan tahun berkuasa di Iran dihapus. Kemudian berdiri Republik Islam Iran hingga sekarang.
Ziarah beberapa penganut Syi’ah ke Najaf di selatan Iraq telah menjadikan Najaf sebagai pusat ilmu dunia Syi’ah. Dari sini lahir banyak gagasan yang berperanan dalam Revolusi Konstitusi Persia 1905-12. Dari Najaf pulalah, dibentuk kesatuan untuk menentang penjajahan Inggeris dan pemimpin agama Syi’ah Lebanon dididik dan di sinilah Ayatullah Khomeini tinggal selama 14 tahun hingga berkuasa di Iran pada 1979.84
Sekitar 3500 SM di wilayah Iraq telah berdiri beberapa kerajaan besar yang membangun peradaban dunia paling awal, seperti Sumeria, Akkad, Assyria, dan Babylonia. Peradaban dunia paling awal berkembang di daerah Iraq sekarang khususnya di lembah Sungai Tigris. Tahun 539 SM wilayah ini dikuasai Kerajaan Persia. Tahun 331 SM, Iskandar Zulkarnain(Alexander Agung) mengusir bangsa Persia dan pemerintahan Yunani berkuasa di wilayah ini. Orang Yunani menyebutnya Mesopotamia. Pada tahun 115 SM, wilayah itu menjadi bahagian dari kerajaan Rome selama 500 tahun. Kemudian sebahagian daerahnya dikuasai Persia; daerah lain tetap dikuasai Rome hingga datangnya Islam. Wilayah Iraq ditaklukkan tentara Arab Islam tahun 633-637M, dengan membawa bahasa Arab dan ajaran Islam ke wilayah itu.
Penyebaran ajaran Islam dipusatkan di kota kembar Basrah dan Kufah yang dibangun pada masa Khalifah ‘Umar. Pada akhir masa pemerintahan Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan, di kota Basrah dan Kufah timbul pemberontakan yang berakhir dengan pembunuhan Khalifah ‘Uthman. Pada masa Khalifah ‘Ali bin Abi Talib, pusat pemerintahannya dipindahkan ke Kufah. Pada masa Dinasti Umayyah, Basrah dan Kufah menjadi pusat gerakan Bani Hasyimiyah, ‘Abbasiyah, Syi’ah dan Khawarij.
Setelah Dinasti Umayyah jatuh dan digantikan oleh Dinasti Abbasiyah, wilayah Iraq berada di bawah kekuasaan pemerintahan dinasti ini tahun 133-656 H./750-1258 M. Pusat pemerintahan di Baghdad, kota yang dibangun oleh Abu Ja’far al-Mansur khalifah kedua, tahun 145 H./762 M. Selama pemerintahan Dinasti Abbasiyah, Iraq khususnya Baghdad, menjadi pusat kegiatan politik, ekonomi, perdagangan, peradaban dan ilmu pengetahuan di dunia Islam timur. Puncak kejayaan dinasti ini dicapai pada masa pemerintahan Khalifah Harun ar-Rasyid (786-809) dan Khalifah al-Makmun (813-833). Ketika dalam zaman pemerintahan ‘Abbasiyah ini, Syi’ah tidak lagi ketara. Pengaruh Syi’ah di Iraq sangat kuat hingga kini menyebabkan Iraq adalah sebuah negara yang besar mengamalkan fahaman dan doktrin Syi’ah.
Di Kuwait, wujud laman web yang berkaitan dengan Ahlul-Bayt iaitu http://www.karbala.org. Pengisiannya hanya sekitar kaum keluarga Saydina ‘Ali. Laman web ini juga ada menjual cakera padat kisah-kisah Saydina ‘Ali dan anak cucunya. Antara menu-menu yang terdapat ialah ‘Shia index’, ‘Shia Dalil’, ‘Shia News’ dan hari-hari penting dalam Syi’ah. Antara tokoh-tokoh yang dipaparkan ialah Sayyid Sadeq al-Shirazi, S. A. S. al-Shirazi, Sh Al-Muhajer dan S. Hadi Mudaresi. Tokoh-tokoh ini mempunyai khutbah masing-masing yang merangkumi pelbagai tajuk berkaitan Syi’ah yang boleh didengar secara talian terus. Khutbah adalah dalam bahasa Arab.85
Di Maghribi, kerajaan Syi’ah pernah berkuasa lebih kurang satu abad lamanya iaitu bermula dengan Dinasti Idrisiyah hinggalah Isma’iliyah pada 1171M. Morocco atau Mahgribi mula ditakluk Islam oleh Musa bin Nusair pada masa al-Walid I bin Abdul Malik (705-715), khalifah keenam Dinasti Umayyah. Tetapi catatan lain menyebutkan bahawa agama Islam pertama kali dibawa ke Morocco oleh orang Arab yang menyerbu wilayah itu pada tahun 683M.
Tariq bin Ziyad yang diangkat Musa bin Nusayr untuk memerintah Morocco setelah ditaklukkan, kemudian menyeberangi selat antara Morocco dan Eropah, dan mendarat di suatu tempat (gunung) yang kemudian dikenal sebagai Jabal Tariq (Gibraltar). Setelah Dinasti Umayyah jatuh ke tangan Dinasti ‘Abbasiyah, Morocco menjadi daerah kekuasaan Bani ‘Abbas. Kemudian di negeri ini muncul dinasti-dinasti kecil.
Pada tahun 172 H/789 M, Idris I bin ‘Abdullah, seorang daripada keturunan ‘Ali (krh) dapat membentuk Kerajaan Idrisiyah, yang kemudian bertahan hingga tahun 364 H/974 M. Dinasti ini merupakan dinasti Syi’ah yang pertama, sehingga ia menjadi satu ancaman kepada Khalifah Harun ar-Rasyid dari Dinasti ‘Abbasiyah di Baghdad yang bercorak Sunni. Setelah Idris I dibunuh pada 177H, Idris II menaiki taktha yang dianggap sebagai pendiri sebenarnya Dinasti Idrisiyah. Pada masanya dinasti ini banyak mencapai kemajuan, terutama dalam bidang kebudayaan Islam. Tahun 213 H Idris II meninggal. Semua penggantinya lemah kecuali Yahya bin Muhammad dan Yahya IV. Di tangan Yahya IV Dinasti Idrisiyah mencapai masa keemasannya.
Pada tahun 364 H/974 M, Dinasti Fatimiyah yang berhaluan Syicah Isma’iliyah merebut kekuasaan dari Yahya IV. Keberadaan masyarakat Morocco yang berhaluan Syiah meski bukan Syi’ah Isma’iliyah, memudahkan jalan bagi Abdullah asy-Syi’i untuk mendirikan dinasti tersebut, dinasti yang menisbahkan namanya kepada cucu Nabi SAW. Dinasti ini berkuasa sampai dengan 1171M. Selama kekuasaannya terdapat sebanyak 14 orang imam yang memimpin negara ini, antaranya imam pertama Ubaidullah al-Mahdi (909-934) dan imam terakhir al-Adid (1160-1l7l).
Selanjutnya Morocco dikuasai oleh Dinasti al-Murabitun dengan ibu kotanya Marrakus. Kekuasaannya meliputi seluruh Gurun Sahara, Afrika barat laut dan Sepanyol. Sekalipun demikian dinasti ini tetap mengakui kekhalifahan ‘Abbasiyah di Baghdad dan mendapat pengesahan dengan gelar Amir al-Muslimin.86
Di India, golongan Syi’ah adalah terdiri daripada 10% penduduk Islam negara itu. Daripada jumlah itu 90% pula daripadanya berfahaman Ithna ‘Asyariyah manakala selebihnya ialah Isma’iliyah. Syi’ah dibawa ke India ialah pada abad ke 8 M oleh Ja’far as-Sadiq. Antara pemimpin Syi’ah di sana ialah Mulla Muhammad Ali yang membentuk masyarakat Bohra di barat India,87 Malik Sarwar (Khawaja Jahan) yang mengasas Dinasti Sharqi di Uttar Pradesh88 dan Agha Khan yang berpusat di Bombay.89
Di Malaysia terdapat tiga kumpulan Syi’ah yang berkembang semenjak beberapa tahun yang lalu iaitu Syi’ah Taiyibi Bohra (Dawood Bohra). Kumpulan ini berasal dari India dan di Malaysia ia dikenali dengan golongan yang memiliki Kedai Bombay Kumpulan yang berpusat di daerah Kelang ini mempunyai tanah perkuburan dan masjidnya sendiri dan pengikutnya dianggarkan seramai 200 hingga 400 orang. Golongan kedua ialah kelompok Isma’iliah Agha Khan. Kumpulan yang dikenali dengan nama Kedai Peerbhai ini bergerak di sekitar Lembah Kelang. Jumlah pengikut tidak diketahui tetapi bilangannya lebih kecil dari kelompok Bohra. Kelompok yang ketiga ialah golongan Ja’fariyah atau Imamiyah Ithna ‘Asyariyah. Kumpulan Syi’ah ini dipercayai mula bertapak di Malaysia selepas kejayaan Revolusi Iran pada tahun 1979. Pengaruh ajaran dan fahaman kumpulan ini menular ke negara ini melalui bahan-bahan bacaan dan orang perseorangan sama ada yang berkunjung ke Iran atau yang datang dari Iran. Fahaman Syi’ah ini bertambah meruncing apabila beberapa orang pensyarah universiti tempatan telah memainkan peranan untuk menyebarkan fahaman Syi’ah Ja’fariyah secara serius kepada para pelajar di Institut Pengajian Tinggi. Beberapa buah kitab utama Syi’ah telah dijadikan bahan rujukan dan sebahagiannya telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia, antaranya:
1. Kasyf al-Asrar, karangan Ayatullah al-Khomeini
2. Al-Hukumah al-Islamiyah, karangan Ayatullah al-Khomeini
3. Al-Sabah Min al-Salaf, karangan Ayatullah al Murtadza az- Zubaidi
4. Al- Usul Min al-Kaft, karangan al-Sheikh Muhammad bin Yaacob al-Kulaini
5. Al-Muraja’at, karangan al-Sheikh Abdul Husin Syarafuddin al-Musawi
6. Peshawar Nights, karangan al-Sayyid Muhammad Rais al-Wahidin
7. Mafatih al-Jittan, karangan Sheikh Abbas al-Qummi
8. Mengapa Aku Memilih Ahlul Bait a.s?, karangan Syeikh Muhammad Mar’i al-Amin al-Antaki – diterjemah oleh Prof. Madya Dr. Lutpi Ibrahim (thn. 1993)
9. Al-Sahabah, karangan Haidar
10. Ahlu al-Bait, karangan Dr. Mahfuz Mohamed
Pengaruh fahaman Syi’ah ini kian menular ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, antaranya Kelantan, Johor, Perak, Wilayah Persekutuan dan Selangor. Di Malaysia, pengikut kumpulan ini dianggarkan antara 300 hingga 500 orang. Antara gejala-gejala Syi’ah yang timbul akibat dari fahaman dan ajaran Syi’ah ini ialah adanya usaha menghantar pelajar-pelajar melanjutkan pelajaran ke Iran, wujudnya kes kahwin Mut’ah, meluasnya penyebaran buku-buku Syi’ah, wujudnya sokongan dari golongan tertentu kepada pengaruh Syi’ah terutama golongan ahli politik, dan wujudnya kesamaran dan keraguan orang ramai terhadap ajaran dan pegangan Islam yang sebenar, contohnya dalam aspek perkahwinan, pengkebumian dan sebagainya.90
Manakala Jabatan Mufti Negeri Sembilan menjadikan peranan membendung pengaruh Syi’ah di Malaysia sebagai satu objektif dan fungsi jabatan tersebut ditubuhkan. Antara lain ia menyebut adalah ditetapkan bahawa umat Islam di Negeri Sembilan hendaklah mengikut undang-undang syariat yang berasaskan akidah Ahlul-Sunnah wal-Jamaah dari segi akidah, syariat dan akhlak, berpegang selain daripada Ahlul-Sunnah wal-Jamaah adalah dilarang, dan sebarang penerbitan, penyiaran dan penyebaran selain daripada mazhab itu tidak dibenarkan.91
Selain daripada itu, MABIMS (Menteri-menteri Agama Brunei, Indonesia, Malaysia dan Singapura) juga menyekat pengaruh Syi’ah di negara anggotanya. Menurutnya, gerakan dan perkembangan Syi’ah di setiap negara anggota MABIMS akan diambil perhatian dan sentiasa dibuat pemantauan dan pengawalan ke atasnya. Antara langkah-langkah yang diambil seperti yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia ialah menahan beberapa buah buku dan bahan terbitan yang berunsurkan Syi’ah yang dibawa masuk dari luar negeri, memfatwakan tentang pengharaman ke atas gerakan ajaran Syi’ah dan menapis kemasukan tenaga pengajar.92
Di Indonesia, pengaruh Syi’ah lebih ketara. Wujud juga beberapa laman jaring yang aktif di internet, antaranya al-mawaddah. hypermart.net yang menjadikan khutbah Rasulullah di Ghadir Khum sebagai halaman muka depan, juga mengetengahkan buku karangan Sulaim bin Qais yang mendukung Syi’ah selain membicarakan hukum dan doktrin Ayatullah Khomeini. Melalui laman jaring ini juga sesiapa pendokong Ahlul-Bayt boleh memperoleh buku-buku mengenai Syi’ah secara percuma dengan membebanturunkan (download) tajuk-tajuk yang dikehendaki yang kebanyakan karya orang Syi’ah di Timur Tengah yang telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia. Laman jaring ini juga berperanan untuk menyebarkan jika terdapat buku-buku baru mengenai Syi’ah. Contohnya ialah buku terjemahan Sistem Pemerintahan Islam, karya Ayatullah Khomeini yang dibincangkan pada Pesta Buku Indonesia yang ke-22 pada 18 hingga 22 September 2002 dan pelancarannya diadakan secara besar-besaran.94
Selain itu terdapat sebuah pertubuhan yang dinamakan sebagai Yayasan Fatimah di Jakarta. Laman jaring yayasan ini menjadikan ayat Al-Quran, Surah al-Ahzab, ayat 33 yang menyebut tentang Ahlul-Bayt sebagai tajuk utama di muka hadapan laman. Berfungsi hampir sama dengan al-mawaddah, laman jaring ini juga mengetengahkan permasalahan dan isu-isu yang wujud dalam Syi’ah. Pada masa ini laman jaring ini mengutarakan hari-hari yang utama dalam bulan Rejab iaitu 8 September hari kelahiran Imam Muhammad Baqir as – 57H, 9 September hari kelahiran Imam Ali al Hadi an Naqi as – 212H, 10 September hari syahid Imam ‘Ali al Hadi an Naqi as – 254H, 14 September hari kelahiran ‘Abbas bin Abi Talib ra dan sebagainya.95
Oleh itu Syi’ah di Indonesia lebih bersifat terbuka berbanding di Malaysia yang pastinya sebarang usaha untuk menyebarkan fahaman Syi’ah akan diambil tindakan tegas oleh kerajaan Malaysia yang jelas bermazhab Ahlul-Sunnah wal-Jamaah. Ringkasnya Syi’ah terus bertakhta dan mendapat tempat di hati beberapa pencinta Ahlul-Bayt meskipun terdapat usaha dari golongan Sunni untuk menghapuskannya atau menyekat ajarannya. Sejauhmanakah Syi’ah ini benar-benar sesat mengikut pandangan ulama Sunni adalah bergantung kepada amalan dan fahaman serta mazhab Syi’ah yang dianuti oleh pendokong Syi’ah tersebut. Misalnya golongan Zaydiyah yang dikatakan paling hampir kepada Sunni adalah tidak mengkafirkan sahabat-sahabat Rasulullah (saw) yang lain seperti Khalifah Abu Bakar, ‘Umar dan ‘Uthman tetapi mereka lebih memuliakan Saydina ‘Ali.96
Kesimpulan
Syi’ah adalah sebuah mazhab yang mempunyai fahaman dan kepercayaan yang berbeza sekali dengan Ahlul-Sunnah wal-Jamaah. Pemikiran-pemikiran mereka yang khusus ialah terhadap konsep imamah yang merangkumi lima perkara, iaitu imamah sebagai istilah untuk menggantikan perkataan khalifah, adalah dilantik dengan jelas seperti mencontohi Rasulullah yang melantik Saydina ‘Ali sebagai penggantinya; seorang imam dianggap maksum iaitu terpelihara sejak kecil daripada melakukan dosa; harus mengakui ketetapan Rasulullah yang melantik Saydina ‘Ali sebagai pembantunya; setiap imam hendaklah ditunjukkan oleh imam sebelumnya, dan yang terakhir sekali Syi’ah bersepakat hak imamah hanya kepada anak cucu Saydina ‘Ali sahaja.97
Persoalannya benarkah Saydina ‘Ali telah diwasiatkan oleh Rasulullah (saw) sebagai penggantinya seperti dakwaan golongan Syi’ah yang memetik khutbah Rasulullah (saw) di Ghadir Khum. Untuk menjawab persoalan ini, Saydina ‘Ali ada ditanya oleh Qays ibn ‘Ibad tentang kebenaran wasiat tersebut. Maka Saydina ‘Ali menjawab, “Perkara itu tidak pernah saya peroleh. Demi Allah, jika saya orang yang pertama kali menyatakan kebenaran terhadap perkara yang dibawa oleh Rasulullah, maka tidaklah mungkin saya menjadi orang yang pertama menolaknya. Jika saya memiliki wasiat Rasulullah, maka saya tidak akan membiarkan orang Bani Tamim bin Murrah dan ‘Umar berdiri atas minbar Rasulullah. Rasulullah tidak mati terbunuh atau secara mendadak, baginda sakit beberapa lama, Rasulullah menyuruh Abu Bakar mengimamkan solat, sedangkan baginda tahu saya ada ketika itu. Tiada seorangpun yang berselisih pendapat tentang kebolehan Abu Bakar pada masa itu. Saya juga taat kepada Abu Bakar.”98
Rasulullah pernah bersabda kepada Saydina ‘Ali, “Keta-huilah, sesungguhnya ada dua golongan yang akan hancur kerana kelakuan mereka terhadapmu; iaitu golongan yang berlebih-lebihan dalam mencintaimu hingga mereka meletakkanmu dalam kedudukan yang tidak benar dan golongan yang membencimu dengan keterlaluan hingga merendah-rendahkanmu.”100 Oleh itu Hadis ini menunjukkan kemunculan Syi’ah memang telah diduga oleh Rasulullah sebagai satu mukjizatnya yang mengetahui perkara yang akan berlaku. Ringkasnya adalah memang wajar bagi kita untuk mengagungkan Saydina ‘Ali kerana peribadi beliau dan sumbangan beliau terhadap perkembangan amat besar sekali. Namun, beliau hendaklah diletakkan di tempat yang sewajarnya, tidak terlalu dilebih-lebihkan dan tidak pula dikurangkan penghormatan kita kepadanya.
Nota Hujung
80 Cyrill Glasse, The Concise Encylopedia of Islam, hlm: 364-5.
81 Terletak di selatan Semenanjung Tanah Arab.
82 Cyrill Glasse, The Concise Encylopedia of Islam, hlm: 364-5
83 John L. Esposito, Ensiklopedia Oxford, Dunia Islam Modern, Jil 2, hlm:329.
84 Ibid., hlm: 327.
85 http://www.karbala.org.
86 Lihat http://www.pesantrenonline.com
87 Nadeem Hasnain & Sheikh Abrar Husain, Shias dan Shia Islam in India, New Delhi: Harnam Publications, 1988, hlm: 38.
88 Ibid., hlm: 42.
89 Ibid., hlm: 51.
90 Lihat laman jaring JAKIM di alamat http://www.islam.gov.my/artikel/syiah1.html
91 http://www.mains.gov.my
92 http://www.muslim.gov.bn/mabims
94 http://www.al-mawaddah.hypermart.net
95 http://www.fatimah.org.
96 Van Hoeve, Ensiklopedi Islam, hlm: 7.
97 Abul A’la al-Maududi, al-Khilafah wal-Mulk, terjemahan, Bandung: Pustaka Mizan, 1984, hlm: 272-3.
98 As-Suyuti, Tarikh al-Khulafa’, hlm: 166.
99 Ibid., hlm: 162.
Karangan Maruwiah Ahmat, Syi’ah dan Kewujudannya untuk kertas kerja sarjana Fakulti Pengajian Islam, UKM, 2002, tidak diterbitkan.
Buka blog htt://koalisi12.wordpress.com. Anda akan menemukan bantahan Syi’ah terhadap tuduhan penyelewengan