DATO’ ONN JAAFAR

Dato’ Onn Jaafar  ialah pengasas dan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor pada 1 Oktober 1946 tetapi tiga tahun kemudian, meletakkan jawatan untuk menumpukan perhatiannya kepada UMNO.

Dato’ Onn Jaafar dilahirkan pada tahun 1895 di Bukit Gambir, Johor Bahru. Bapanya Dato’ Jaafar Haji Muhammad (1838–1919) merupakan Menteri Besar Johor yang pertama sementara ibunya pula, Hanim Rogayah berasal dari Scarcia, Turki. Dato’ Onn telah mendapat keistimewaan sejak kecil apabila beliau dipelihara oleh Sultan Ibrahim bin Sultan Abu Bakar sebagai anak angkatnya dan bergaul dengan kerabat raja Johor. Beliau adalah berketurunan Bendahara Paduka Raja Johor dan Bendahara Kerajaan Melaka. Oleh itu Dato’ Onn mendapat keistimewaan sebagai kerabat raja.

Ketika menjadi Menteri Besar, Datuk Jaafar pernah memangku tugas Sultan Johor untuk menjalankan pentadbiran negeri, ketika baginda keluar negeri. Pada tahun 1904, beliau pernah dilantik oleh Sultan sebagai Pemangku Raja. Semasa beliau menjadi Menteri Besar dari tahun 1882 hingga 1919, semua pegawai British yang berkhidmat di Johor diwajibkan memakai pakaian rasmi kerajaan Johor. Bendera Union Jack, iaitu bendera kerajaan British, tidak boleh dikibarkan lebih tinggi daripada bendera negeri Johor. Di samping itu, semua surat-menyurat mestilah ditulis dalam Bahasa Melayu.
Bagi mengenang jasa dan bakti beliau kepada kemajuan negeri Johor, Sultan telah menganugerahkannya Darjah Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ). Beliau juga dikurniakan Darjah Ketiga Bintang St. Michael dan St. George oleh Queen Victoria England.

Dato’ Onn berkahwin dengan Datin Halimah Hussein Anak Dato’ Onn adalah Tun Hussein Onn yang kemudian menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga, manakala cucunya Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein merupakan ahli jawatankuasa tertinggi UMNO dan kini sedang menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri.

Dato’ Onn mendapat pendidikan awal di sekolah Melayu di Johor Bahru sebelum Sultan Ibrahim telah menghantar dan membiayai pengajian beliau di Alderburgh Logdge, England. Beliau bersekolah bersama-sama putera-putera Sultan selama enam tahun. Beliau merupakan pelajar terbaik dalam bahasa Inggeris dan Perancis.

Sekembalinya ke tanah air, beliau telah dihantar pula oleh bapanya ke Kolej Melayu Kuala Kangsar untuk mendalami pengajian Bahasa Melayu. Selepas menamatkan pengajian di sini, umur Dato’ Onn pada masa itu ialah 16 tahun, beliau telah bekerja sebagai kerani di Jabatan Setiausaha Negeri Johor.   Beliau pernah berkahwin tiga kali sebelum berkahwin dengan Datin Halimah Hussein. Perkahwinannya kali keempat ini kekal sehingga ke akhir hayatnya.

Dato’ Onn pernah bekerja sebagai wartawan pada tahun 1930 ketika berumur 35 tahun, dan pada tahun 1934, menjadi pengarang Lembaga Malaya dan Harian Lembaga. Di samping itu, beliau juga pernah menjadi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor. Semasa zaman Pendudukan Jepun, Dato Onn menjadi Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor.
Sejurus kemudian, beliau mula terlibat dalam bidang politik dan perjuangan bangsa Melayu. Antara penglibatan beliau adalah ketika memegang jawatan sebagai pengarang Warta Ahad dan juga semasa menjadi ahli Majlis Mesyuarat Negeri Johor, di mana beliau telah membuat dua sumbangan yang besar kepada rakyat Johor, iaitu, menubuhkan Biasiswa Sultan Ibrahim dan memberi tiket penerbangan percuma kepada pegawai-pegawai kerajaan negeri Johor yang beragama Islam untuk mengerjakan haji.

Dato’  Onn juga pernah bertugas sebagai Pegawai Daerah dalam pentadbiran penjajah British, tetapi kemudian berhenti kerana membantah dasar-dasar jajahan. Pada 1 Oktober 1946, Datuk Onn dilantik menjadi Menteri Besar Johor.

Pada tahun 1946, British telah menubuhkan Kesatuan Malaya (Malayan Union) tetapi telah ditentang hebat oleh bangsa Melayu kerana Malayan Union diperlihatkan sebagai ancaman terhadap hak istimewa orang Melayu dan kedudukan sultan-sultan Melayu. Dato’ Onn telah bertindak dengan mengadakan Kongres Melayu Sa-Malaya bagi meyatukan orang Melayu untuk menentang Kesatuan Malaya. Wakil-wakil dari 41 Persatuan Melayu telah menghadiri Kongres tersebut yang diadakan dari 1 hingga 3 haribulan Mac tahun 1946. Antara keputusan yang telah dicapai di dalam Kongres tersebut ialah memulaukan Kesatuan Malaya, berkabung selama tujuh hari dan memakai lilitan putih pada songkok oleh setiap ahli. Kemudian, pada 4 Mac 1946, Dato’ Onn bersama-sama beberapa pemimpin Melayu telah bersidang untuk membantah penubuhan Malayan Union yang kemudian membawa kepada penubuhan UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau United Malay National Organization) untuk menyatukan bangsa Melayu dalam menentang Kesatuan Malaya secara habis-habisan.

Beliau telah dilantik sebagai Presiden UMNO yang pertama setelah pertubuhan itu ditubuhkan secara rasminya pada 11 Mei 1946.

Di bawah kepimpinannya, UMNO berjaya memaksa kerajaan British untuk membubarkan Malayan Union dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Persekutuan Tanah Melayu 1948 mengekalkan kedudukan Raja-raja Melayu dan memperketatkan syarat-syarat kerakyatan, serta memberi hak istimewa Melayu.

Sejurus kemudian, beliau telah membuat satu cadangan untuk membuka keahlian UMNO kepada bangsa Malaya yang lain bagi menyelesaikan isu perkauman dalam politik. Cadangan beliau itu ditolak, dan berikutan perselisihan faham dengan ahli UMNO yang lain mengenai isu perkauman ini, Dato’ Onn telah keluar daripada pertubuhan yang diasaskannya itu. Dato’ On ingin menjadikan UMNO sebagai pertubuhan politik yang tiada perkauman dan terbuka kepada semua kaum, tetapi tidak dipersetujui oleh pemimpin UMNO malah ditentang habis-habisan.
Oleh sebab cadangan itu ditentang, Dato’ Onn secara sukarela meletakkan jawatan sebagai presiden UMNO apabila persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam diadakan pada 25 dan 26 Ogos 1951 dan meletakkan jawatan secara rasmi pada  27 Ogos 1951. Perletakan jawatan Dato’ Onn ini merupakan satu kehilangan besar kepada kepimpinan UMNO pada saat itu kerana orang Melayu masih berada di tahap ketinggalan dalam semua bidang.

Rujukan

Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur.

Ensiklopedia Dunia Melayu. ‘Dato’ Onn Jaafar’, Jilid. 12. 1995. Anzagain, Kuala Lumpur.

Fauziah Shaffie & Ruslan Zainuddin. 2000. Sejarah Malaysia. Penerbit Fajar Bakti, Shah Alam.

Haji Buyong Adil. 1985. Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajahan Abad 15-19. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur.

Ishak Saat. 2009. Pendidikan Negara Bangsa. Karisma Publications, Shah Alam.

Jabatan Penerangan Malaysia, Kuala Lumpur.

Lofti Ismail. 1975. Sejarah Malaysia 1400-1963. Utusan Publications, Kuala Lumpur.

Ramlah Adam et al. 2006. Sejarah Tingkatan 5. Kementerian Pelajaran Malaysia & Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s