IMPLIKASI TAMADUN SICILY KEPADA TAMADUN DUNIA

Pendahuluan

Pertembungan dua tamadun iaitu tamadun Islam dan tamadun Barat amat memberi kesan kepada seluruh umat Islam dan umat Kristian di Eropah.  Kemajuan tamadun Barat dan bangsa bangsa Eropah diperoleh daripada tamadun Islam yang mengalir secara perlahan-perlahan ke Eropah. Pengaliran tamadun Islam pada awalnya hanya sekadar ingin memperluaskan lagi tamadun Islam ke seluruh dunia. Namun, kelalaian dan kealpaan umat Islam sendiri telah menyebabkan tamadun bernilai umat Islam ini telah bertukar tangan kepada bangsa-bangsa penjajah yang amat rakus dan tiada perikemanusiaan kerana mereka bukan hanya mengambil faedah tamadun Islam tetapi turut menjadikan tamadun Islam sebagai hak mereka untuk selama-lamanya. Tamadun Islam telah mengalir ke sana melalui tiga laluan yang tidak disedari oleh umat Islam sendiri. Tiga laluan tersebut ialah pertama; melalui laluan penterjemahan kitab-kitab yang dilakukan ketika zaman Bani ‘Abbasiyah, kedua; melalui laluan Perang Salib dan ketiga; melalui laluan Andalusia dan Sicily. Dalam bab ini, ketiga-tiga laluan pengaliran tamadun Islam akan dibincangkan secara ringkas dari segi bagaimana terjadinya pengaliran ini. Akan tetapi, implikasi dan kesan tamadun Islam bagi tamadun Dunia Timur dan Barat hanya akan dibincangkan secara terperinci melalui laluan Sicily.

Implikasi Tamadun Islam di Sicily bagi Dunia Timur

Implikasi dan kesan tamadun Islam di Sicily kepada  Islam (dunia Timur) terdiri daripada tiga perkara penting yang menunjukkan kesan paling utama. Implikasi dan kesan tamadun Islam di Sicily amat besar nilainya kepada umat Islam di dunia Timur. Hal ini disebabkan Sicily merupakan korban pertama terhadap kehancuran Islam dan tamadunnya di bumi Eropah yang dilakukan oleh pihak Kristian yang sudah lama berdendam dengan Islam. Terkorbannya Sicily amat memilukan dan memeranjatkan seluruh umat Islam di dunia Timur kerana tidak menyangka kekuatan pemerintah Islam di salah sebuah tempat strategik untuk mengembangkan Islam telah tumbang dan berakhir dengan tragik sekali.

Kejatuhan dan kemusnahan Islam di Sicily menandakan tergugatnya kedudukan Islam di Eropah. Umat Islam sedikit pun tidak berpeluang membawa pulang tamadun Islam dari Sicily kerana tamadun ini telah dirampas oleh pihak Kristian. Hal ini disebabkan bangsa Norman yang memerintah Sicily selepas Islam telah memusnahkan tamadun Islam yang wujud di sana. Mereka hanya mahu hasilnya nanti akan menjadi hak mereka walaupun pada asalnya daripada tamadun Islam. Kekejaman dan rampasan tamadun Islam oleh bangsa ini adalah disebabkan mereka menyatakan bahawa pihak Islam telah menjajah bumi mereka. Maka, mereka berhak untuk merampas semula tanah air mereka (reconquesta) yang dijajah oleh pihak Islam. Pihak Islam telah mengalami kerugian di mana semua aspek tamadun Islam seperti bidang agama, politik, ilmu pengetahuan, ketenteraan, kesenian, ekonomi dan sosial telah dikuasai sepenuhnya oleh pihak Kristian.

Dalam bidang agama, umat Islam tidak dapat menyebarkan dakwah Islamiyah lagi di bumi Eropah kerana penindasan terhadap agama Islam dilakukan sewenang-wenangnya oleh pihak kristian. Sicily adalah penghubung terhampir dengan dunia Timur untuk ke kawasan Eropah yang lain.

Dalam bidang politik, Sicily diperintah oleh bangsa Norman dengan cara pemerintahan birokrasi (kuasa mutlak) yang kebanyakan jawatan kerajaan dijawat oleh orang Norman dan hanya sedikit sahaja orang Islam dikekalkan jawatan dalam pentadbiran. Segala urusan pentadbiran negara dan rakyat dipegang sepenuhnya oleh kuasa mutlak raja Norman. Dalam bidang kententeraan, sukar untuk umat Islam terutamanya Kerajaan Bani ‘Abbasiyah memberi bantuan ketenteraan ke atas Sicily bagi menghalau bangsa Norman ini kerana bangsa Norman dikenali sebagai bangsa perosak dan pemusnah. Malah, kekuatan ketenteraan bangsa Norman lebih kukuh. Maka, kerajaan Islam di dunia Timur tidak mampu untuk melindungi Islam dan tamadunnya di Sicily.

Dalam bidang ilmu pengetahuan pula, kebanyakan ilmu pengetahuan dimonopoli pihak Kristian terutamanya ilmu-ilmu umum seperti ilmu perubatan, fizik, kimia, astronomi, matematik dan geografi. Ilmu-ilmu agama pula, ketika pemerintahan Norman tidak dapat berkembang dengan baik lagi kerana pemerintah ketika itu bukan beragama Islam tetapi beragama Kristian dan tidak ada jaminan hidup yang baik oleh pemerintah. Ramai ilmuan yang menjadi pakar ilmu agama dan ilmu umum muncul memberikan sumbangan kepada perkembangan ilmu di sana dengan mencurahkan idea dan kepakaran kepada pembangunan Sicily walaupun nyata kepakaran dalam bidang ilmu oleh tokoh-tokoh Islam adalah untuk kepentingan pihak Kristian semata-mata.

Dalam bidang ekonomi, sektor pertanian dan per-industrian telah dikuasai oleh pihak kristian dan hanya sedikit sahaja dikuasai umat Islam. Kebanyakan hasil ekonomi ini disalurkan kepada pembangunan negara dan rakyat terutamanya yang beragama Kristian tetapi rakyat beragama Islam dan Yahudi tidak semuanya diberi layanan yang baik dari segi ekonomi.

Dalam sektor pertanian, umat Islam telah memperkenalkan pelbagai kaedah untuk pertanian seperti sistem hidraulik dan telah diguna pakai oleh pihak Kristian serta mereka telah memperelokkan sistem ini. Selain itu, tanaman seperti buah kurma, tebu, pokok kapas dan lelimau telah diperkenalkan.

Manakala dalam bidang kesenian, aspek seni bina dan seni kaligrafi merupakan kesenian Islam yang banyak mempengaruhi kesenian Norman. Seni bina pada zaman pemerintahan bangsa Norman dipengaruhi dengan unsur-unsur Arab dan Yunani yang berkaitan dengan hiasan dalaman rumah atau istana seperti mozek dan hiasan bumbung serta dinding. Mereka telah terpesona dengan keindahan, kehalusan dan kecantikan seni bina Islam yang terdapat di pulau itu di mana setiap seni bina mereka masih menampakkan kesan dan pengaruh seni bina Islam. Selain itu, seni kaligrafi turut terpahat di setiap bangunan yang mereka dirikan menggunakan huruf-huruf Arab berdasarkan tulisan khat seperti khat kufi yang mahsyur ketika itu. Kesenian Islam yang lain turut menyumbangkan kepada kemajuan Islam di bawah pemerintahan bangsa Norman. Sicily kini penuh dengan kesan kesenian Islam tetapi telah ditukar nama akan semua kesenian Islam ini atas nama kesenian yang dihasilkan oleh pihak Kristian.

Perdagangan antara dunia Timur dan Barat

Walaupun hampir semua aspek tamadun Islam dapat diketahui oleh bangsa Eropah. Namun, semua itu tidak menghalang aktiviti perdagangan ketika pemerintahan Islam dan para pedagang Islam terus berdagang di sana. Hal ini disebabkan hubungan perdagangan antara pedagang Timur dan Barat tidak melibatkan peperangan dan hanya melibatkan ekonomi antara pihak Islam dan Kristian. Pemerintah Islam tidak pernah menghalang mana-mana pedagang bukan Islam yang ingin berdagang di Sicily kerana kepesatan perdagangan di Sicily turut menguntungkan dunia Islam. Perhubungan dagangan antara Sicily dengan dunia Timur adalah penting kerana Sicily juga memerlukan bahan dagangan seperti rempah-ratus, kain sutera dan kapas serta keperluan-keperluan lain di mana di Sicily bahan-bahan itu tidak ditemui melainkan orang Islam sendiri yang membawanya ke Sicily. Perhubungan yang baik ini perlu berterusan bagi mengeksport lebih banyak hasil dagangan dari dunia Timur ke dunia Barat. Selain itu, ia adalah bertujuan untuk dunia Timur lebih hampir ke dunia Barat kerana dengan ini kegiatan dakwah Islamiyah dapatlah disebarkan secara langsung tanpa ada peperangan.

Selepas Sicily jatuh ke tangan bangsa Norman, pedang-pedang Islam yang lain masih boleh berlabuh dan berdagang di pelabuhan-pelabuhan Sicily seperti Palermo dan Messina. Keadaan yang baik antara pedagang Timur dan Barat tetap diteruskan supaya ekonomi dapat ditadbir dengan baik supaya tidak akan berlaku kemerosotan dalam ekonomi. Bahkan, ia bertujuan untuk mengelakkan peperangan antara Islam dan bukan Islam. Sikap ini dijaga sebaik mungkin oleh pihak pemerintah Kristian Sicily supaya kuasa ekonomi dan politik tetap di tangan mereka tanpa ada pemberontakan yang serius. Malah, Sicily turut menjalankan hubungan dagangan berterusan dengan dunia Timur. Hal ini dapat dibuktikan di mana ketika pemerin-tahan Islam dan ketika pemerintahan Kristian, Sicily tetap menjadi tempat perlabuhan kapal dagang serta kegiatan perdagangan semakin berkembang maju. Keadaan yang menggalakkan ini tidak merubah sedikit pun pandangan dunia Timur terhadap Sicily yang telah jatuh ke tangan Kristian selepas kejatuhan Islam dalam hal berkaitan perdagangan dengan dunia Barat.

Implikasi Tamadun Islam di Sicily bagi Dunia Barat

Implikasi dan kesan tamadun Islam di Sicily kepada dunia Barat amat membanggakan dan menguntungkan orang Eropah dan tamadun Barat. Implikasi dan kesan ini terdiri daripada empat perkara penting yang menunjukkan kesan paling utama. Peluang dan kesempatan yang berada di depan mata tidak disia-siakan oleh bangsa Eropah. Bahkan mereka telah menggunakan peluang tersebut sebaik mungkin untuk memajukan benua Eropah dan bangsa mereka.

Penggunaan Bahasa Arab yang meluas di Eropah

Bahasa Arab telah menjadi bahasa rasmi dan bahasa pengantar (lingua franca) dalam kalangan masyarakat Sicily yang amat penting ketika itu. Percampuran kaum antara bangsa asli Sicily, Arab, Negro, Barbar, Parsi, Yunani dan Yahudi tidak menghalang pertuturan rasmi dalam bahasa Arab pada keseluruhannya. Hal ini disebabkan pada pemerintahan Islam di Sicily telah mewajibkan setiap rakyatnya tidak kira bangsa Arab atau bukan Arab bertutur dalam bahasa Arab. Maka, masyarakat Arab dapat bertutur dalam bahasa Arab bahkan ada yang lebih fasih berbahasa Arab berbanding orang Arab kerana mereka bersungguh-sungguh untuk mendalami bahasa ini. Selain itu, peng-gunaan bahasa Arab amat penting ketika itu terutamanya dalam hal politik, sosial, perdagangan dan ilmu pengetahuan. Tanpa mengetahui dan bertutur bahasa Arab, bangsa Eropah sukar untuk memperoleh pelbagai kemajuan daripada Islam.

Ketika pemerintahan bangsa Norman bahasa Arab tidak lagi menjadi bahasa rasmi tetapi menjadi bahasa ilmiah dan bahasa sosial. Namun begitu, mereka menggunakan bahasa Sicily, Itali dan Latin sebagai bahasa harian dan bahasa Arab turut digunakan. Pemerintah bangsa Norman seperti Roger I dan Roger II turut menyuruh rakyatnya mahir dan fasih berbahasa Arab supaya senang untuk berurusan dalam hal ilmu pengetahuan khususnya dan hal-hal sosial umumnya. William I dan William II amat fasih bertutur dalam bahasa Arab. Malah Frederick II turut fasih berbahasa Arab kerana semenjak kecil beliau telah lahir dalam suasana kebudayaan Islam dan mempelajari bahasa Arab daripada ulama-ulama Islam yang masih tinggal di Sicily. Oleh yang demikian, penggunaan bahasa Arab amat penting ketika itu bukan sahaja pada bangsa Eropah di Sicily tetapi turut penting pada bangsa Eropah luar Sicily dalam hal berkaitan ilmu pengetahuan. Hal ini disebabkan ilmu pengetahuan ketika pemerintahan Kristian Sicily sedang pesat berkembang. Justeru itu, pemerintah Sicily terutamanya Frederick II yang amat mementingkan ilmu pengetahuan telah membina sebuah perpustakaan yang  penuh dengan pelbagai buku-buku dalam bahasa Arab dan Yunani. Beliau turut membangunkan Universiti Naple yang dibina pada tahun 1224 M dan di sinilah ilmu pengetahuan dari dunia Timur (Islam) dalam bahasa Arab dapat dipelajari.

Selepas kemunculan orientalis dalam kalangan orang Barat, bahasa Arab terkenal di luar Sicily iaitu di dunia Barat yang lain. Ia mula menjadi bahasa yang harus dipelajari khususnya dalam bidang ilmiah seperti ilmu sains, geografi, matematik, astronomi, perubatan dan falsafah. Kemudian, pelajaran bahasa Arab telah dimasukkan dalam kurikulum pelbagai perguruan tinggi Eropah seperti Bologna di Itali (1076 M), Chartres di Perancis (1117 M), Oxford di London (1167 M) dan Paris (1170 M). Pada perkembangan berikutnya, bangsa Eropah lebih prihatin dan berminat dengan bahasa Arab. Maka, pelajaran bahasa Arab digiatkan di peringkat universiti seperti di Itali pengajaran bahasa Arab telah diadakan di Universiti Rom (1303 M), Universiti Florencia (1321 M), Universiti Padua (1361 M) dan Universiti Gregoria (1553 M). Manakala, di Perancis pengajaran bahasa Arab telah diadakan di Universiti Toulouse (1217M), Universiti Montpellier (1221M) dan Universiti Bordeaux (1441M). Di Inggeris pula, pengajaran bahasa Arab telah diadakan di Universiti Cambridge (1209M) dan di bahagian Eropah yang lainnya pengajaran bahasa Arab dimulai selepas abad ke-15 M. Penubuhan universiti-universiti inilah yang menjadi pintu masuk ilmu-ilmu dari dunia Islam secara rasmi kepada masyarakat Eropah.

Penterjemahan kitab-kitab Arab

Peradaban Islam bukan hanya berpengaruh bagi bangsa Eropah yang berada di bawah kekuasaan Islam di Sicily. Akan tetapi, juga memberi kesan dan pengaruh terhadap bangsa Eropah di luar Sicily. Penterjemahan kitab-kitab Arab di Sicily sudah bermula semenjak pemerintahan Islam lagi. Hal ini disebabkan ramai pelajar-pelajar daripada luar Sicily seperti Itali, Perancis, Inggeris dan Jerman telah datang menuntut ilmu di sana. Pemerintah-pemerintah Islam ketika itu tidak menghalang mana-mana bangsa Eropah yang ingin menuntut ilmu kerana mahu ilmu pengetahuan berkembang dengan maju di Sicily. Ketika pemerintahan Kristian di Sicily, pelajar-pelajar Eropah dari luar Sicily semakin bertambah. Sesungguhnya, bangsa Norman terutamanya telah memainkan peranan penting terhadap ilmu pengetahuan untuk bangsa Eropah yang lain. Bangsa Norman merupakan perantaraan kebudayaan dan ilmu pengetahuan kepada Eropah. Mereka tidak hanya toleransi terhadap kaum Muslimin tetapi turut menyenangi kebudayaan Islam. Sememangnya, ilmu pengetahuan ketika pemerintahan mereka dapat berkembang maju kerana suasana yang menggalakkan. Maka, telah berlakulah kegiatan penterjemahan kitab-kitab Arab ke dalam pelbagai bahasa Eropah. Kegiatan penterjemahan ini berlaku disebabkan oleh penggunaan bahasa Arab yang meluas, tertubuhnya berbagai-bagai sekolah tinggi untuk mempelajari ilmu pengetahuan dan mereka berasa perlu ilmu-ilmu pengetahuan tersebut diketahui dan dikuasai. Pada abad ke-11 M, kitab-kitab Arab telah diterjemahkan ke dalam bahasa Latin oleh para pelajar yang berasal dari Sicily dan Itali. Pada abad ke-12 M, kegiatan penterjemahan ini telah sampai kemuncak kejayaannya di mana bangsa Eropah dan benua Eropah semakin memperlihatkan sinar kemajuan pada segenap penjurunya. Bidang ilmu yang menjadi sasaran penterjemahan ialah buku-buku perubatan, farmasi, matematik, astronomi, fizik dan kimia, geografi dan falsafah Yunani.

Eropah semakin maju dan membangun dengan pesat

Dunia Barat dan bangsanya semakin maju membangun disebabkan oleh Zaman Renaissance yang berlaku di Itali. Tamadun Islam di Sicily telah memberikan sumbangan yang tidak ternilai kepada Itali dan ke seluruh benua Eropah ketika itu. Eropah mengalami perubahan yang mendadak dalam semua bidang kehidupan. Kemudian, telah berlakulah revolusi Perancis dan revolusi Inggeris yang memperlihatkan kemajuan pemikiran bangsa Eropah ke arah hidup yang lebih baik dan sempurna. Revolusi yang tercetus adalah menjurus kepada aspek politik yang begitu tinggi tahapnya kerana ketika itu Eropah sedang menuju puncak yang lebih tinggi dalam menguasai seluruh politik negara dan rakyat. Hal ini supaya negara dan rakyat dapat disatukan dalam pentadbiran yang satu. Kewujudan revolusi ini adalah cetusan ilmu pengetahuan mengenai politik yang dihasilkan oleh Aristotle di mana ilmu ini diperoleh daripada proses penterjemahan kitab-kitab Arab ke dalam bahasa Latin dan Inggeris yang dilakukan oleh bangsa Eropah. Setelah itu, kesan ilmu falsafah Yunani yang dihasilkan oleh Aristotle dapat membangkitkan semangat juang yang tinggi oleh bangsa Eropah bagi mendapatkan sebuah pentadbiran kerajaan yang berdaya maju.

Dipetik daripada buku Bangkit dan Jatuhnya Islam di Sicily.  Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perkembangan di Sicily, silalah dapatkan buku ini.

2 thoughts on “IMPLIKASI TAMADUN SICILY KEPADA TAMADUN DUNIA

    • Sosial? Kini? Boleh dilihat dalam pemakanan, pemakanan ini terbahagi kepada semua jenis seperti tenusu, makanan segera, francais, makanan diproses dan lain-lain. Pakaian, memang tidak dapat dinafikan ramai umat Islam memakai ala Barat dan memakai pakaian yang diimport dari Barat. Perhubungan cara Barat, menggunakan laman web sosial Barat seperti facebook dan pelbagai lagi. Pertuturan menggunakan Bahasa Inggeris dianggap lebih ‘educated’ daripada bahasa tempatan, semuanya adalah momokan Barat dan bagaimana liciknya kuasa Barat membaratkan manusia Timur. Pendidikan juga berkiblatkan Barat apabila sistem pendidikan kita dan kebanyakan negara Timur (termasuk Islam) mensekularkan sistem pendidikan masing-masing mengikut acuan Barat terutama sekali mengikut negara Barat yang menjajah negara mereka.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s