BOLA DAN SEJARAWAN ISLAM: EMOSIKAH AKU? -18 PL

Piala Dunia 2010 sudah berakhir. Penantian para kaki bola juga berakhir. Tuan rumah yang telah mengadakan persiapan sekurang-kurangnya sejak empat tahun dahulu juga sudah boleh bernafas lega. Jutaan ringgit telah dihabiskan, dan mungkin bilion pula dapat dikutip semula. Waktu tidur kaki bola di Asia kembali kepada normal di mana sebelum ini sedikit (mungkin banyak) terganggu.

Bola sepak mempunyai kegilaannya sendiri yang sukar disekat. Bola sepak asalnya dari China yang mula diperkenalkan dalam kerajaan Dinasti Tsin (255-206 SM) dalam versi yang berbeza yang dikenali sebagai Tsu’ Chu. Ia kemudiannya diperkenalkan dalam bentuk yang sekarang ini di England sejak 1170 M. Kaki bola seluruh dunia sanggup berhabisan kerana bola sepak. Peminat bola sepak lebih dominan berbanding sukan-sukan lain di dunia. Menurut pakar psikologi, manusia memang suka kepada benda yang berbentuk bulat. Bayi dan kanak-kanak akan suka bermain dengan sesuatu yang mudah bergolek berbanding benda berbentuk lain. Malah, jika menghadapi tekanan kita disarankan memegang bola, guli atau seumpamanya untuk menghilangkan tekanan tersebut. Dengan tabiat manusia ini, tidak hairan sukan bola sepak digemari di seluruh dunia.

Sebagai keturunan kaki bola, aku juga terkena impaknya. Sanggup bangun untuk menyaksikan sesuatu perlawanan yang kadang-kadang membawa ke waktu subuh, sedangkan sukarnya kalau nak bangun solat tahajjud atau hajat meskipun sekitar 15-20 minit. Pada saat untuk menentukan mahu bangun atau tidak bagi menyaksikan perlawanan akhir, terdetik rasa bersalah dalam hati. Jarang sekali bangun solat selepas waktu tengah malam, demi bola sanggup pula untuk berjaga sehingga ke subuh. Walau bagaimanapun jam kukunci juga. Bangun juga untuk melihat perlawanan tersebut meskipun tidak kuat untuk menyokong mana-mana pihak. Hanya boleh kukatakan sekadar untuk mengambil tahu. Ketika perlawanan berlangsung, cuba-cuba untuk pejamkan mata, namun disebabkan terdapat suntikan semangat untuk menewaskan ‘sotong’, hati tetap berdebar-debar dan akhirnya perlawanan sampai ke sudah kusaksikan.

Adakah aku menyokong Belanda? Tidak juga, cuma mengharapkan ‘sotong’ kalah maka aku mengharapkan Belanda menang. Namun tahun ini bukan rezeki mereka lagi. Kenapa pula dengan Sepanyol? Kenapa tidak boleh menyokong Sepanyol?

Aku mula menonton bola sepak Piala Dunia pada kempen Espana ’82, pada tahun itulah kami baru ada tv. Aku baru berada di tingkatan dua. Pada masa itu, entah apa sebabnya aku penyokong kuat pasukan Itali tanpa kukenal negara tersebut, di mana letaknya, apa sejarahnya. Pada tahun itu, Itali juara. Semangat untuk menyokong Itali bersemarak lagi pada kempen-kempen piala dunia seterusnya. Nama-nama seperti Roberto Baggio, Rossi, Schillaci, Vialli, Vieri dan entah berapa ramai lagi nama pemain Itali lagi diketahui. Apabila Argentina bertemu dengan Jerman (1986), aku akan menyokong Jerman, pun entah kenapa. Pemain seperti Karl-Heinz Rummenigge, Franz Beckenbauer dan lain-lain, sebut pun tak tahu tetapi kenal orangnya. Mungkin atas niat mahu melihat juara baru selepas Argentina menjuarai Piala Dunia sebelumnya. Pada 1990, pada masa itu aku berada di tahun 2 universiti, hanya ada dua orang sahaja pelajar perempuan menyaksikan perlawanan antara Jerman Barat dengan Argentina. Aku seorang daripadanya. Tanpa segan silu aku selamba sahaja. Bukan kenal pun. Ini kerana bilik tv wanita di asrama telah dikuasai oleh pelajar lelaki semasa perlawanan akhir tersebut. Aku sokong Jerman juga. Apabila Perancis mula menunjukkan taringnya pada 1998, aku turut menyokong Perancis tanpa sebab tertentu. Semata-mata kerana bola. Manalah aku tahu pada masa itu tentang sejarah Constantinople, penjajahan kerajaan Rom, sukarnya para sahabat menentang kuasa Rom dan Parsi, dan banyaknya masalah yang diberikan oleh kerajaan Rom pada zaman awal kebangkitan Islam. Manalah aku tahu, liciknya perancangan Ratu Isabella, bencinya baginda pada Islam. Dan manalah aku tahu tentang kejahatan Belanda dan Portugal di bumi kita sendiri, dan mereka tidak pernah kesal dan memohon maaf atas kejahatan-kejahatan yang telah mereka lakukan ke atas bumi Nusantara, dan lebih-lebih lagi dunia Islam sendiri. Kebetulan aku tidak belajar Sejarah pada tingkatan 4-5 serta tingkatan 6. Belajar Sejarah di tahap tingkatan 1-3 tidak mampu menusuk perasaan. Hanya harap lulus peperiksaan.

Kini, aku tidak lagi mampu menyokong Itali, tidak boleh lagi memihak Jerman atau Perancis, jika ada sedikit pun kerana tiada pilihan, seperti menyokong Belanda hanya semata-mata mahu ‘menewaskan sotong’. Meskipun minat bola, rasa kesal dan sensitif yang ada dalam diri tidak mampu kukorbankan begitu sahaja dengan melupakan kejahatan, pengkhianatan dan perampokan yang dilakukan oleh negara-negara tersebut. Setelah mengkaji sejarah, meskipun baru sedikit, banyak perkara dipelajari dan perlu diingati. Sejarah bukan suatu kisah masa lampau yang harus dilupakan begitu sahaja. Jika sejarah tidak penting, bagaimana ia menjadi satu aspek penting dalam hampir 99% mana-mana institusi di dunia ini. Setiap perkara akan diteliti aspek sejarahnya. Maka bagaimana kita boleh melupakan sejarah yang begitu penting yang telah merubah iklim politik dunia yang kemudian menyentuh bidang kehidupan yang lain termasuk ekonomi, sosial, hatta sukan sekalipun.

Di Itali, zaman empayar Rom amat dikenali sebagai kejam dan ganas. Pelbagai keganasan dilakukan untuk menghukum pesalah atau demi keseronokan. Lihat sendiri sukan gladiator yang didakwa muncul pada zaman tamadun Rom. Ia boleh dikatakan bertamadun jika mampu membina Colosseum, namun sebagai bertamadun untuk gladiator, sukar diterima. Ketika zaman pertengahan, Islam mula berkembang hingga ke Itali dan Sicily ketika empayar Rom mula lemah. Kerajaan Kristian kemudiannya telah menghalau dan melenyapkan umat Islam di Itali serentak dengan Reconquista. Umat Islam yang kebanyakan tiba di Itali pada awal abad ke-9 hampir lenyap, sehingga tinggal sisa sahaja di Sicily. Pada abad ke-19, barulah umat Islam terutama dari selatan bermigran kembali ke Itali. Berbeza dengan Islam, jika mendiami sesuatu kawasan, kerajaan Islam akan mengajak mereka menerima Islam dengan cara baik, atau tinggal sebagai zimmi. Orang kafir tidak akan dihalau selagi mematuhi undang-undang negara.

Menyokong Belanda! Bagaimana harus kulupakan kejahatan mereka menghina Islam dalam soal karikatur Nabi Muhammad, filem-filem anti-Islam yang masih diteruskan dan kes Natrah, meskipun boleh memaafkan mereka kerana penjajahan mereka dahulu, walaupun mereka tidak pernah meminta maaf, malah terus menjajah dan menjarah dalam bentuk baru. Sehinggakan apabila ada usaha untuk memboikot barang keluaran Belanda, ia sama sekali tidak mampu kita lakukan, seolah-olah kita akan mati kebuluran atau sekadar hangat-hangat tahi ayam. Jerman pula secara terang-terangan memusuhi Islam. Umat Islam di Jerman pernah dilihat sebagai membangkitkan xenophobia dan racisme sehinggakan jumlahnya menyusut selepas Perang Dunia Kedua. Pemakaian tudung dilarang di seluruh sekolah dan universiti meskipun tiada undang-undang khusus berkenaannya. Namun kerana usaha pertubuhan Islam di sana, perkara tersebut dapat diselesaikan. Selepas 11 September 2001, keadaan masyarakat Islam lebih buruk kerana terpaksa menerima tuduhan sebagai pengganas meskipun tiada bukti kukuh. Racisme kepada Muslim terus berlangsung, lihat sahaja pada kes Marwa el-Sherbini yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya di mahkamah Jerman. Lucunya kempen bola sepak Piala Dunia kali ini mempamerkan motto ‘NO RACISM’, sedangkan hakikatnya racisme yang wujud pada bangsa-bangsa Eropah dan Amerika lah yang sukar dipadam, terutama sekali racisme bercorak keagamaan. Itulah mungkin agaknya kempen itu untuk mereka.

Perancis, kerana merekalah kerajaan Islam lenyap di Sepanyol selain kerana masalah umat Islam sendiri dan kerjasama dengan kerajaan Sepanyol. Kerajaan Sepanyol dan Perancis dengan liciknya menjarah sedikit demi sedikit bumi Islam hingga akhirnya keseluruhan bumi Andalusia menjadi milik Kristian. Mereka tidak pernah kesal dengan melakukan kezaliman membunuh sesiapa sahaja termasuk kanak-kanak yang belum kenal dosa, malah ia dianggap satu kejayaan Renconquista yang harus diraikan dan diraikan hingga kini. Mampukah aku melupakan begitu sahaja, hingga kini pun jika mereka punyai peluang, Islam tetap akan dihina meskipun tanpa asas. Lihatlah apa yang berlaku kepada Zinedine Zidane, tidak semena-mena dikatakan pengganas.

Negara-negara lain yang menjadi hero bola sepak selain Amerika Latin juga ada sejarahnya dan kesinambungannya dengan kita. Portugal dan England juga adalah bekas penjajah, cuma mungkin England lebih baik bagi kita kerana mereka memberikan kemerdekaan dan masih bernaung di bawah Komanwel, selain membantu membentuk undang-undang sivil di sini. Amerika (AS), tidak perlu diperkatakan lagi. Banyaknya kehidupan kita sekarang ini bergantung daripada produk mereka dan produk sekutunya. Politik dunia dikawal olehnya. Malah musuh Islam, Israel juga mendapat sokongan daripadanya. Lebih malang lagi pelbagai produk Israel tanpa kita sedari kita gunakan dari masa ke masa. Contohnya, hampir keseluruhan sistem perbankan kita mengikut sistem perbankan Yahudi yang disokong oleh AS. Oleh itu sesiapa yang terlibat membuat pinjaman dengan bank, termasuk aku sendiri, menyokong Yahudi dan menggunakan produknya. Apakan daya kita, tiada pilihan. Pengalaman sendiri, meskipun dikatakan menggunakan sistem Islam, ribanya menggunung. Pinjam RM40k, bayar balik RM100k, entah mana Islamnya tak tahulah. Orang susah akan terus terhimpit. Begitulah berjayanya Yahudi dengan kapitalismenya yang disokong AS. Itu belum masuk lagi sistem pemasaran multi-level yang makin menular sekarang ini sehingga sukar untuk disekat.

Jadi demi bola, patutkah aku lupakan semua pengajaran yang telah kupelajari, abaikan sahaja untuk seketika. Atau buat-buat lupa. Jika begitu keadaannya, adakah aku dianggap mengkhianati agama sendiri atau sekadar ‘semangat kesukanan’, biarlah mereka buat apa pun, yang penting aku dapat tengok bola? Atau jalan lebih baik jika beremosi begini, tak payahlah tengok bola. Buatlah kerja lain. Ingin sekali aku mengetahui fikiran sejarawan-sejarawan Islam. Apa pandangan mereka agaknya? Dan fikiran dan pandangan ulama Islam lainnya. Apakah alasan Zahid (AF2) yang amat menyokong Belanda agaknya? Aku juga rasa lucu ada yang sanggup keluar ratusan hingga ribuan ringgit menghias kereta dengan nama-nama kelab EPL tertentu kerana bola.

Jika kita andaikan kita hantu bola atau kaki bola, atau sangat meminati sukan, lain pula suasananya bila Liga Malaysia atau tempatan dilangsungkan. Kita punya alasan sendiri, mutu bola sepak kita jauh ketinggalan. Bersikap adilkah kita? Benarkah ada semangat kesukanan dalam diri? Semasa Piala Dunia 2010 berlangsung, tiga sukan diadakan di Malaysia. Mampukah kita buktikan kita adalah peminat bola/kaki bola atau kita ada semangat kesukanan sehinggakan kita boleh berhabis masa dan ringgit untuk pasukan luar negara, tetapi sebaliknya gagal memberi tumpuan kepada sukan-sukan yang diadakan di sini. Bolehkah kita korbankan masa meninjau-ninjau SUKMA 2010 dan Jelajah 1 Malaysia, dan Badminton Terbuka Malaysia 2010. Oh, tidak! Itulah jawapannya mungkin. Untuk mengetahui juara antara Lee Chong Wei atau Wong Choong Hann, tengoklah akhbar. Aku tabik juga pada peminat bola semasa Selangor melawan Kelantan di Shah Alam (1-1) pada malam-malam kemuncak perlawanan akhir Piala Dunia. Meskipun jumlah penonton tidak memenuhi sebahagian stadium pun.

Apa yang diharapkan dengan kemunculan ‘sotong’ dan ‘burung’ dalam kempen Piala Dunia ini, tiada umat Islam yang mengambil kesempatan berjudi yang boleh memburukkan kegemilangan sukan ini. Khurafat dan syirik juga diharapkan dijauhi. Wallahuaklam.

Advertisement

2 thoughts on “BOLA DAN SEJARAWAN ISLAM: EMOSIKAH AKU? -18 PL

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s