Talibun

Berapa ramai antara kita terutama generasi muda yang pernah mendengar perkataan talibun. Mungkin ada yang mendengar tetapi tidak begitu pasti apakah ia atau berkaitan dengan apa. Definisi umum bagi talibun menurut Kamus Dewan (2005) ialah sejenis puisi lama yang terdiri daripada empat baris, enam baris, atau dua puluh baris yang bersajak di hujungnya. Talibun mempunyai beberapa persamaan dengan teromba  dari segi rima dan mempunyai bentuk yang hampir sama dengan prosa lirik atau prosa berirama. Walau bagaimanapun, talibun berbeza dengan prosa lirik dan prosa berirama kerana talibun merupakan sebahagian sahaja daripada cerita yang diambil prosa lirik.

Talibun mengungkap persoalan yang pelbagai bergantung kepada konteks cerita induknya. Lazim isi talibun berkisar kepada pelbagai perkara dan objek; seperti senjata, pakaian, kenderaan, negeri, perlakuan manusia, fenomena alam, perasaan, dan tradisi yang terdapat dalam sesebuah cerita lipur lara.

Ciri-ciri Talibun

1.    Ia merupakan sejenis puisi bebas iaitu tiada rima akhir yang tetap, terkadang sama, terkadang tidak.
2.    Terdapat beberapa baris dalam rangkap untuk menjelaskan pemerian. Oleh itu banyak unsur hiperbola selain metafora.
3.    Isinya berdasarkan sesuatu perkara diceritakan secara terperinci.
4.    Ia tiada pembayang. Setiap rangkap adalah menjelaskan keseluruhan cerita.
5.    Menggunakan atau mencampurkan genre puisi lain seperti pantun dan syair dalam pembentukannya.
5.    Gaya bahasa yang luas dan lumrah dengan memberi penekanan kepada bahasa yang berirama seperti berlakunya pengulangan.
6.    Ia berfungsi untuk menjelaskan sesuatu perkara.
7.    Ia menjadi sebahagian bahan penting dalam pengkaryaan cerita penglipur lara.

Contoh Talibun
Jika tidak diberikan contoh pastinya kita masih kabur lagi tentang talibun. Di sini diberikan beberapa contoh sesuai dengan jenisnya.

Talibun Campuran

Ketika meredah hutan belantara:

Langkah disusun satu persatu        a
Meredah belantara menyusur belukar    b
Keringat menitis membasahi baju    a
Terus dilalui walaupun sukar      b

Air sungai, lembah dan paya  a
Menjadi minuman penghilang dahaga  a
Buah-buahan hutan turut dirasa  a
Di samping bekalan yang sedia ada   a

Bertemu lurah terus dituruni  a
Sungai lebar terpaksa direnangi  a
Duduk sebentar melunjur kaki  a
Terlena hingga terbenam matahari.  a

(Hikayat Indera Bayu)

Talibun di atas ini mencampurkan rima pantun dan sajak, dengan satu rangkap rima pantun  (a b a b) dan dua rangkap rima a a a a. Tetapi sesuai dengan ciri-ciri talibun, ia tiada pembayang, semua bait adalah menggambarkan peristiwa yang berlaku.

Talibun Berulang

Rakyat menyahut panggilan daripada istana:

Pukul tabuh larangan
Palu gong pelaung
Titir canang pemanggil
Yang capik datang bertongkat
Yang buta beraba-raba
Yang tuli leka bertanya
Yang kecil terambin lintang
Yang jarak tolak-tolakan
Yang pendek bertinjau-tinjau
Yang kurap mengekor angin
Yang pekak pembakar meriam
Yang buta penghembus lesung
Yang lumpuh penghalau ayam
Yang pekung penjemuran
Yang kurap pemikul buluh.

(Hikayat Malim Deman)

Tuanku Malim Deman bersiram:

Sekali digosoknya
Dua tiga panau tercelik
Sekali digosoknya
Tiga empat panau tercelik
Hilanglah cahaya matahari
Timbullah cahaya Malim Deman.

(Hikayat Malim Deman)

Dalam talibun berulang ini, terdapat unsur metafora dan hiperbola di mana impak sesuatu perbuatan itu diperbesar-pesarkan, terkadang menyalahi hukum alam.

Talibun Bebas

Menjunjung duli:

Mengangkat kadam kepak yang indah
Kuncup seperti sulur bakung
Sayap seperti susun sirih
Tertanggam paruh yang keemasan
Tertimpuh kaki yang kiri
Terdiri kaki yang kanan
Sembah bergelar lela sembah
Tiga tapak mara ke hadapan
Dua tapak undur ke belakang.

(Hikayat Malim Dewa)

Pertabalan menjadi raja:

Seluar intan dikarang
Karangan Hassan dengan Hussain
Jikalau ditiup angin selatan
Menghabis tahun berbalik musim
Maka dikenakan pula
Baju baldu ain-ul banat
Kain kembung kampuh pelangi
Kain kelambu Rasulullah
Berikat pinggang kain cindai
Panjang tengah tiga puluh
Tiga puluh dengan rambutnya
Keris bersepuh emas sepuluh
Hulunya manikam sembilan warna
Keris bernama jalak jantan
Berkerawang pamur di pangkalnya
Pedang jenawi lantai balai
Selebar daun padi
Solek belah mumbang di ulunya
Tengkolok bernama tengkolok alang
Tepi bertelepok kalimah Arab
Sekalian hikmat pelas peperangan
Dipandang musuh tak dapat ditentang.

(Hikayat Malim Dewa)

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s