21 Mac 2012: Sekolah integriti buka peluang pendidikan pesalah juvana terus pengajian

KUALA LUMPUR: Sebelas banduan muda, termasuk juvana yang dijatuhkan hukuman kerana kes bunuh bakal menjadi pemegang ijazah sarjana muda dan diploma menjelang 2013 melalui skim peluang kedua pendidikan yang disediakan Jabatan Penjara di sekolah integriti di seluruh negara.

Sembilan daripada mereka mengikuti pengajian ijazah dalam bidang Pendidikan, Teknologi Maklumat (IT), Perundangan, Pengajian Islam, Pengurusan Perniagaan, manakala dua lagi pada peringkat diploma di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Terbuka Malaysia (OUM).

Mereka adalah antara 544 pelajar yang dipilih daripada 1,733 banduan muda, termasuk yang dikenakan perintah reman untuk menyertai skim pendidikan dalam tahanan sebagai persiapan menghadapi cabaran hidup sekiranya dibebaskan selepas tamat tempoh hukuman.

Ketika ini, 11 pelajar itu adalah kumpulan pertama yang mengikuti pengajian tahun kedua peringkat ijazah sarjana muda dalam pelbagai bidang dan dijangka akan menamatkan pengajian dalam tempoh empat setengah tahun.

Walaupun hidup dalam kurungan dengan kemudahan dan kebebasan terhad, mereka berjaya mengikuti pengajian dengan baik secara on-line dan berhubung dengan pensyarah melalui internet. Kumpulan pelajar itu mendapat keistimewaan menggunakan kemudahan komputer untuk mengakses internet secara bersyarat dan kawalan ketat berbanding kumpulan lain yang cuma diajar asas menggunakan komputer.

Selain program ijazah dan diploma, banduan muda juga berpeluang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Pra SPM, Penilaian Menengah Rendah (PMR), Pra PMR dan kelas asas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira).

Berdasarkan tinjauan Berita Minggu di Sekolah Integriti Kajang, mereka disediakan kemudahan perpustakaan mini, kelas multimedia, bilik komputer dengan bantuan guru sepenuh masa Kementerian Pelajaran dibantu Guru Mentor (kakitangan Penjara).

Waktu persekolahan juga sama seperti sekolah harian biasa dengan setiap murid terpilih untuk meneruskan pengajian diwajibkan memakai pakaian sekolah putih yang dibezakan dengan warna kolar baju menandakan tahap pemulihan serta tempoh tahanan.

Timbalan Komandan Sekolah Integriti Kajang, Cif Inspektor Ahmad Nasir Md Ali, berkata pelajar peringkat tinggi dibenarkan mengakses internet seperti laman web pendidikan bagi mengelakkan salah guna kemudahan. “Waktu pembelajaran terhad digunakan sepenuhnya untuk belajar dan faktor disiplin tinggi banyak membantu mereka untuk menggunakan masa yang ada secara berkualiti. Bukan semuanya layak menyertai skim ini kerana mereka akan melalui tapisan pemilihan.

“Usia mereka masih muda, ada yang dihukum penjara 10 tahun…sekurang-kurangnya apabila dibebaskan, mereka mempunyai ‘bekalan’ untuk hidup,” katanya. Kos pengajian mereka ditanggung universiti tempat mereka belajar melalui program derma siswa dan keluarga banduan cuma perlu membawa yuran peperiksaan serta yuran berulang.

Setiap program pengajian siswazah memerlukan kos sehingga RM20,000 manakala peringkat diploma dianggarkan RM13,000 bagi setiap pelajar.

Bagi pelajar OUM, mereka akan mengikuti kelas tutorial pada setiap hujung minggu bersama seorang tutor khas OUM di Sekolah Integrasi. Ini membolehkan mereka berbincang terus mengenai topik pengajian yang sebelum ini diikuti melalui online.

Sumber: bharian.com.my

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s