Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dimansuhkan sepenuhnya tiga tahun lagi, demikian diumumkan menteri pelajaran.
Tan Sri Muhyiddin Yassin itu berkata di sekolah kebangsaan, bahasa Melayu akan menggantikan bahasa Inggeris untuk mengajar dua mata pelajaran itu.
Sementara sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil akan menggunakan bahasa ibunda masing-masing, tambahnya.
Pemansuhan itu dijalankan berperingkat-peringkat sehingga semua pelajar yang terlibat dengan dasar itu tamat peringkat masing-masing pada 2014.
Dasar yang diperkenalkan sejak 2003 itu mendapat semakin banyak bantahan, khususnya sejak awal tahun ini apabila sekumpulan aktivis bahasa berjaya menggerakkan ribuan orang berarak ke Istana Negara.
Dalam sidang media khas di Putrajaya, Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi kementeriannya untuk memartabatkan bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran bahasa Inggeris.
“Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai PPSMI sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003,” katanya.
Muhyiddin menyebut beberapa kelemahan besar dalam PPSMI yang mendesak kerajaan mengembalikan dasar bahasa pengantar untuk pengajaran dua subjek teknikal itu.
Rentetan pelaksanaan PPSMI
Julai 2002 – Mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)
Januari 2003 – Dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah
Januari 2007 – Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah
Januari 2008 – Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah
Mac 2009 – Lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Ia didukung Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.
Mac 2009 – Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.
Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut “menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.”
Mei 2009 – Semua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini – sekali gus mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut.
Jun 2009 – Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran “jangan jadikan pelajar bahan ujian” dasar yang “jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara.”
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata “salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya.”
Julai 2009 – Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.
Sumber: Malaysiakini, Jul 8, 2009.
Ibu bapa boleh semak sekolah ajar dalam bahasa Inggeris Disember
KUALA LUMPUR: Mulai bulan depan, ibu bapa pelajar Tahun Enam yang mengikuti program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) boleh menyemak sekolah yang menawarkan program sama di Tingkatan Satu bagi sesi persekolahan 2012.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pelajar yang tidak mengikuti PPSMI atau menggunakan dwibahasa dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) Matematik dan Sains, tidak perlu membuat semakan kerana dijangka tiada masalah berbangkit.
“Saya sudah arah kementerian dan Ketua Pengarah supaya semakan dibuat bermula Disember ini. Kita mengambil tempoh lebih awal sikit. Biasanya mereka masuk Januari, kita minta mereka menyemak di sekolah mana dan guru akan beritahu untuk memastikan tidak ada kejanggalan.
“Kita akan maklumkan semua sekolah. Pegawai Pendidikan Daerah akan memanggil pengetua dan guru besar untuk memaklumkan cara mengelakkan masalah tadi (kejanggalan)… kalau ibu bapa tidak membawa anak pun tak apa, cuma untuk menyemak kesesuaian sekolah menengah yang mengamalkan dasar yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam rancangan Soal Jawab yang dihoskan Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib melalui TV3, malam tadi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi murid Tahun Satu yang memulakan sesi persekolahan awal tahun ini, dasar PPSMI sudah dimansuhkan dan digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Katanya, proses berperingkat atau dikenali sebagai ‘soft landing’ itu akan berterusan sehingga murid Tahun Satu tahun ini menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sepenuhnya dalam bahasa Melayu pada 2016, manakala Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2021.
Menjawab soalan sama ada MBMMBI mampu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, Muhyiddin berkata, kementerian melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan termasuk aspek perguruan dan pengisian kandungan kurikulum mata pelajaran berkenaan.
Katanya, seramai 47,887 guru Bahasa Inggeris sentiasa diberikan kursus bagi memastikan kualiti pengajaran ditingkatkan, di samping latihan kepada 6,000 guru di institut perguruan seluruh negara dan pengambilan secara kontrak guru bersara yang kini 200 orang.
Di samping itu, katanya, kementerian turut membawa masuk 360 ‘master teacher’ pakar Bahasa Inggeris daripada 10 negara termasuk United Kingdom, Kanada, Denmark dan Australia untuk memerhati dan memberikan pandangan untuk menambah baik kualiti P&P guru Bahasa Inggeris serta pengambilan 50 tenaga pengajar dari Amerika Syarikat bermula awal tahun depan.
“Cabaran kita, bagaimana nak tentukan ada peningkatan lebih ketara dalam penguasaan bahasa Inggeris… satu yang tak ada ialah ukurannya… saya fikirkan adakah wajar kita wujudkan satu lembaga untuk memberi penanda aras untuk mata pelajaran ini.
“Mungkin kita boleh bekerjasama dengan Universiti Cambridge cara mengukur pencapaiannya… bila kata di sekolah penguasaan bahasa Inggeris baik, adakah baik yang setanding dengan antarabangsa.
“Saya percaya cabaran besar tetapi harapan untuk melihat MBMMBI berjaya tidak mungkin berlaku jika tidak ada kesungguhan ibu bapa dan komitmen pelajar,” katanya.