Komunis di Tanah Melayu

Asal Fahaman Komunis

Perkataan ‘komunis’ adalah berkaitan dengan Komunisme yang membawa maksud orang yang menganut fahaman Komunisme. Komunisme adalah sebuah ideologi. Maksud ‘komunisme’ ialah suatu fahaman politik yang menjadikan faktor pengeluaran (ekonomi) dan barang-barang pengguna sebagai milik negara. Fahaman ini banyak diamalkan di negara China dan beberapa negara di Eropah Timur.

Karl Marx

Dari manakah fahaman Komunisme ini berasal? Penganut fahaman ini berasal dari Manifest der Kommunistischen yang ditulis oleh Karl Marx dan Friedrich Engels, sebuah manifesto politik yang pertama kali diterbitkan pada 21 Februari 1848 teori mengenai komunis sebuah analisis pendekatan kepada perjuangan kelas (sejarah dan masa kini) dan ekonomi kesejahteraan yang kemudian pernah menjadi antara gerakan yang paling berpengaruh dalam dunia politik.

Siapakah Karl Marx ini? Karl Heinrich Marx (5 Mei 1818 – 14 Mac 1883) adalah seorang ahli falsafah Jerman, ahli sosiologi, sejarah ekonomi, wartawan, dan sosialis revolusioner yang mengembangkan teori sosio-politik Marxsisme. Idea-ideanya telah memainkan peranan penting dalam pembangunan sains sosial dan gerakan politik sosialis. Beliau banyak menerbitkan buku semasa hayatnya, bukunya yang paling berpengaruh ialah Manifest der Kommunistischen (Manifesto Komunis) (1848) dan Das Capital (1867-1894), kebanyakannya  di-tulis bersama dengan rakannya, seorang sosialis revolusioner Friedrich Engels. Pada awalnya, manifesto ini ditujukan untuk Liga Komunis dan diterbitkan pertama kali pada tanggal 21 Februari 1848 di London, Inggeris.

Buku Manifest der Kommunistischen inilah yang mencetuskan idea awal mengenai komunisme di Barat.  Manuskrip manifesto ini dikirimkan ke percetakan di London pada bulan Januari 1848, beberapa minggu sebelum meletusnya Revolusi Perancis pada 24 Februari 1848. Manuskripnya ditulis dalam bahasa Jerman yang kemudian diterjemahkan ke dalam bahasa Perancis, Inggeris, Denmark, Polandia, dan bahasa-bahasa yang lain. Di Indonesia, terjemahannya diadakan pada tahun 1924. Buku terjemahan Indonesia ini disyaki diguna pakai juga di Tanah Melayu.

Lenin

Karl Marx menolak agama. Sikapnya yang anti kepada agama  menyebabkan dia tidak mendapat pekerjaan dalam bidang akademik. Dia bekerja sebagai editor di sebuah syarikat akhbar. Ketika akhbar di syarikatnya dibekukan, dia berhijrah ke Paris pada 1843 di mana dia bertemu dengan Friedrich Engels. Engels berasal daripada keluarga usahawan tekstil yang kaya raya di Jerman sehingga dia mampu menanggung kehidupan Karl Marx hingga ke akhir hayatnya. Perkara ini membolehkan Marx menumpukan kehidupannya untuk berkarya. Tidak lama setelah bertemu Engels, Marx mulai merumuskan sistem asas dari idea-ideanya yang kemudian dipanggil Marxisme.  Istilah komunisme sering dicampuradukkan dengan komunis internasional. Komunisme atau Marxisme adalah ideologi dasar yang umumnya digunakan oleh parti komunis di seluruh dunia. Manakala komunis internasional merupakan cabang ideologi ini berasal dari pemikiran Lenin sehingga ia boleh juga disebut ‘Marxisme-Leninisme’.

Apakah maksud Leninisme?

Leninisme adalah fahaman yang dibawa oleh Lenin. Vladimir Ilyich Lenin (1870-1924) adalah ahli teori politik dan revolusional Marxsisme. Lenin menumpukan hidupnya untuk menubuhkan sebuah negara Komunis Rusia. Dia memimpin revolusi Bloshevik tahun 1917, mengasaskan Parti Komunis dan menjadi ketua negara USSR yang pertama. Seorang pemimpin yang pragmatik, dia dibenarkan mencipta beberapa idea baru kapitalis dalam Dasar Ekonomi Baru itu pada 1921.

Komunisme pada awal kelahiran adalah sebuah himpunan terhadap faham kapitalisme di awal abad ke-19, dalam suasana yang menganggap bahawa kaum buruh dan pekerja tani hanyalah sebahagian daripada pengeluaran dan yang lebih mementingkan kesejahteraan ekonomi. Ideologi Komunisme mula diterapkan ketika meletusnya Revolusi Bolshevik di Rusia pada 7 November 1917. Sejak itu komunisme disebarkan sebagai sebuah ideologi ke negara lain.

Fahaman Komunisme mahupun Marxisme amat berbahaya kepada masyarakat umumnya kerana fahaman ini adalah terangkum dalam fahaman modenisme yang mengganggap agama sebagai dongeng atau candu yang mengkhayalkan yang mesti ditolak serta merta. Komunisme tidak percaya kepada kewujudan Tuhan. Ini menyebabkan ramai penduduk beragama tidak menyokong komunis. Kerajaan komunis juga sering menindas mereka yang berpegang kepada agama. Golongan ini berpendapat manusia berkuasa sepenuhnya terhadap alam semesta. Semua yang berlaku adalah berdasarkan logik akal semata-mata. Begitu jugalah Komunisme.

Asal Usul Persatuan Cina di Tanah Melayu

Kesedaran politik di Tanah Melayu mula-mula timbul dalam kalangan orang Cina. Mereka yang terawal membentuk parti politik. Kegiatan politik orang Cina di Tanah Melayu secara umumnya berkaitan dengan peristiwa-peristiwa politik di negara China. Orang Cina memang sudah mempunyai tradisi berpersatuan yang begitu lama dalam usaha menubuh dan bergiat dalam kongsi-kongsi gelap atau persatuan-persatuan sulit dan tradisi ini telah dikembangkan ke Tanah Melayu dan Negeri-negeri Selat seiring dengan kemasukan dan penghijrahan mereka. Pengaruh komunis telah meresap ke Tanah Melayu lebih awal daripada penubuhan Parti Komunis China (PKC) sendiri.

Sun Yat-sen

Pada awal abad ke-20, gerakan revolusioner (anti-Manchu) di negara China di bawah pimpinan Sun Yat-sen telah mempengaruhi kegiatan politik orang Cina di Tanah Melayu. Pada tahun 1903/4 telah muncul sebuah pertubuhan yang mempunyai cita-cita revolusioner iaitu Chung Ho Tang (Persatuan Kemuafakatan Pusat) di Singapura serta beberapa tempat di Semenanjung. Pada tahun 1905, Sun Yat-sen telah menubuhkan cawangan pertubuhan revolusinya di Tanah Melayu iaitu Tung Meng Hui (Persatuan Perikatan). Sun Yat-sen telah melawat Tanah Melayu pada tahun 1906 dan menubuhkan cawangan Tung Meng Hui di Singapura pada tahun 1909. Seterusnya cawangan-cawangan Tung Meng Hui telah ditubuhkan di beberapa buah bandar di Tanah Melayu seperti di Kuala Lumpur, Seremban, Melaka, Ipoh, Taiping, Kampar dan Kuantan. Dengan adanya cawangan-cawangan pertubuhan ini, membolehkan orang Cina di Tanah Melayu memberi bantuan kewangan kepada gerakan revolusioner di China.

Terdapat sekumpulan kecil orang Cina iaitu mereka yang lahir di Negeri-negeri Selat (Baba) dan menjadi rakyat British telah melibatkan diri dan memberi perhatian kepada perkembangan kegiatan politik tempatan. Mereka telah menubuhkan Straits Born Chinese British Association pada 17 Ogos 1900 di Singapura di bawah pimpinan Tan Jiak Kim, Lim Boon Keng, Song Ong Siang dan Seah Liang Seah. Cawangannya telah dibuka di Melaka pada tahun yang sama. Anggota persatuan ini terdiri daripada orang Cina yang dilahirkan di Negeri-negeri Selat. Oleh kerana Negeri-negeri Selat pada masa itu merupakan tanah jajahan British, maka mereka menganggap diri mereka mempunyai hubungan istimewa dengan kerajaan British.

Sebelum Perang Dunia Kedua, kebanyakan mereka menganggap negeri China sebagai tanah air mereka dan mereka akan balik ke negeri mereka selepas mendapat sejumlah wang tertentu. Pada keseluruhannya orang Cina di Tanah Melayu lebih berminat dengan kegiatan politik di negara China khususnya selepas Perang China-Jepun 1894-95. Kekalahan negara China dalam peperangan ini telah menimbulkan kemarahan orang Cina di seberang laut. Kemuncak peristiwa ini ialah tertubuhnya Persatuan Lapan Belas Kawan di negeri Johor oleh 18 orang Cina Melaka pada tahun 1897. Antara tujuan penubuhan persatuan ini adalah untuk menyelamatkan negara China. Persatuan ini dipimpin oleh seorang pedagang kaya dari Melaka, Sim Hong Pak.

Kegiatan politik dalam kalangan orang Cina di Tanah Melayu bertambah cergas selepas berlakunya Revolusi China tahun 1911. Selepas penubuhan Republik China, Tung Meng Hui telah disusun semula sebagai Parti Kebangsaan atau Kuomintang (KMT) pada tahun 1912. Tujuan KMT ditubuhkan adalah untuk menyatukan semua orang Cina termasuk di seberang laut dengan menjadikan mereka warga negara China. Oleh yang demikan, gerakan ini semakin mendapat sambutan dalam kalangan orang Cina. Untuk itu, KMT telah menghantar seorang tokoh Cina, Lu Chin ke Negeri-negeri Selat pada tahun 1912 bagi merealisasikan hasrat mereka meluaskan fungsi KMT. Jika dibandingkan dengan Tung Meng Hui, KMT lebih sederhana, maka kerajaan Negeri-negeri Selat kemudiannya telah membenarkan cawangan-cawangannya didaftarkan di bawah ordinan persatuan-persatuan asalkan KMT tidak melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan subversif terhadap kerajaan British di Tanah Melayu. Cawangan KMT yang pertama telah ditubuhkan pada 18 Disember 1912 di Singapura dan sepanjang tahun 1918 banyak cawangan KMT telah ditubuhkan di Tanah Melayu.

Pada tahun 1919, Persidangan Antarabangsa Ketiga Republik Soviet pula telah mengambil ketetapan untuk menyebarkan komunisme di seluruh dunia melalui kegiatan dakyah. Dalam keketapan ini juga persidangan ini mengambil keputusan untuk menggunakan senjata jika sesuai.

Menjelang tahun 1920-an, propaganda KMT telah disebarkan melalui sekolah-sekolah dan dalam kalangan kesatuan-kesatuan sekolah telah mula diresapi oleh anasir-anasir komunis memandangkan terdapat perikatan KMT-Parti Komunis China (PKC) di negara China mulai tahun 1923. Pihak komunis dalam KMT sering melancarkan pemogokan dan kegiatan anti-British. Justeru itu, KMT telah diharamkan pada tahun 1925. Parti ini bertujuan untuk melancarkan revolusi komunis oleh kaum pekerja sehingga terbentuknya sebuah negara komunis. Selepas kematian Sun Yat-sen pada tahun 1925, pemimpin KMT telah digantikan oleh Jeneral Chiang Kai- shek. KMT diharamkan oleh kerajaan British kerana merupakan ejen kerajaan China untuk menyebarkan propaganda anti-British, anti Kapitalis dan anti imperialis dalam kalangan orang Cina di Singapura dan Tanah Melayu.

Chiang Kai-shek

Kegiatan anti-British terbukti pada tahun 1926 apabila mereka melancarkan satu pemberontakan terhadap kerajaan British di Singapura. Sementara itu, Jeneral Chiang Kai-shek mengambil tindakan terhadap pengikut komunis di negeri China pada tahun 1927. Beliau telah membubarkan Perikatan KMT-PKC di China dan tindakan ini menyebabkan hubungan antara KMT dan komunis di Tanah Melayu dan Singapura turut terjejas.

Pembubaran perikatan KMT-PKC telah mengakibatkan persaingan antara kedua-dua pihak di Tanah Melayu untuk mendapatkan sokongan orang Cina. Hubungan cawangan-cawangan KMT dengan komunis terputus dan pihak komunis tidak lagi menggunakan KMT untuk mengembangkan fahaman komunisme.

Sehubungan dengan itu, mulai tahun 1930, pihak Comintern yang merupakan sebuah Pertubuhan Komunis Antarabangsa, beribu pejabat di Moscow, Rusia telah mengambil alih peranan dalam menyebarkan dan mengembangkan komunisme di Tanah Melayu.

Penubuhan Parti Komunis Malaya (PKM)

PKC telah menubuhkan Parti Komunis Nanyang di Singapura pada tahun 1927. Sejurus selepas bertapak, mereka terus menyusup ke dalam sekolah-sekolah persendirian, kelas-kelas malam, pergerakan buruh dan pertubuhan-pertubuhan belia. Sejak awal tahun 1930-an, PKM telah menjalankan kegiatannya termasuk mengadakan pemogokan, sabotaj dan tunjuk perasaan secara besar-besaran untuk melemahkan kerajaan British di Tanah Melayu.

Parti Komunis Nanyang yang bertanggungjawab menyelia kegiatan-kegiatan komunis di rantau Asia Tenggara hanya mencapai kejayaan yang terhad. Ini menyebabkan Comintern  menubuhkan Parti Komunis Malaya (PKm) berpusat di Singapura pada April 1930. Dengan itu Parti Komunis Nanyang dibubarkan.

PKM diasaskan di Tanah Melayu untuk menentang penjajahan British yang ketika itu sedang memerintah Tanah Melayu. Ketika kedatangan Jepun, PKM membentuk Malayan People’s Anti-Japanese Army (MPAJA) untuk berperang dengan mereka. PKM ditubuhkan dengan matlamat utamanya untuk menggulingkan kerajaan British dan menubuhkan sebuah Republik Komunis Malaya. Hampir semua ahli-ahli PKM terdiri daripada orang Cina. Penubuhan PKM dianggap sebagai bermulanya kegiatan politik berparti di Tanah Melayu. Selepas Perang Dunia Kedua, PKM bukan merupakan tenaga utama dalam arena politik tempatan. Namun setelah bertapak dengan kuat, komunis membentuk sebuah parti politik untuk meneruskan hasrat mereka. Semenjak penubuhannya, PKM telah bergerak aktif dalam gerakan-gerakan bawah tanah secara haram, terutama di sekolah-sekolah malam dan sekolah-sekolah persendirian, pertubuhan-pertubuhan pekerja dan belia.  Sehingga tahap ini, PKM belum lagi menjadi ancaman sebenar kepada pentadbiran kerajaan British kecuali dalam tahun 1945-48.

Kesan Pendudukan Jepun

Jepun mula menakluki Tanah Melayu pada 15 Februari 1942 sehingga 12 September 1945. Jepun berjaya menakluki Tanah Melayu telah mendapat sokongan daripada anak negeri yang terperangkap dengan janji-janji kemerdekaan yang telah dijanjikan dengan propaganda iaitu ‘Asia untuk Orang Asia’ dan ‘Semangat Asia’. Kekerasan berlaku dan mereka yang disyaki menentang Jepun akan dibunuh.

Orang Cina yang memang memusuhi Jepun kerana Perang China-Jepun ramai yang ditangkap dan dibunuh dengan penuh kezaliman. Ada yang dipaksa membina kereta api maut di negara Thai. Kezaliman Jepun menyebabkan kelahiran MPAJA iaitu Tentera Anti Jepun Tanah Melayu, Force 136, Gerila Kinabalu dan lain-lain gerakan yang menentang Jepun. MPAJA juga dipanggil Bintang Tiga selepas era Jepun kerana menggunakan bendera berbintang tiga.

Menerusi MPAJA, bantuan senjata, latihan, kewangan, bekalan lojistik dan perubatan telah diperoleh dari British. Dalam tempoh tiga tahun, kekuatan tentera MPAJA dianggarkan sebanyak 7000 anggota dan tidak hairanlah apabila darurat berlaku pihak British dan anggota pasukan keselamatan terpaksa berhadapan dengan kesukaran menghapuskan sekumpulan tentera yang telah dilatih untuk berperang.

Selepas Jepun menyerah kalah, PKM telah mengambil kesempatan untuk berkuasa menerusi gerila-gerila MPAJA dan melalui beberapa pertubuhan seperti Min Yuen, MRLA dan sebagainya. Min Yuen yang bererti ‘gerakan rakyat’ ditubuhkan oleh PKM yang sebahagian besarnya dianggotai oleh orang Cina. Tujuan Min Yuen ditubuhkan adalah untuk memberi maklumat dan membekalkan makanan serta ubat-ubatan kepada komunis. Pergerakan mereka berpusat di bandar-bandar, kampung-kampung dan kawasan berhampiran hutan. Beberapa siri keganasan dan rusuhan serta pergaduhan antara kaum telah berlaku di Tanah Melayu, terutamanya di bahagian selatan Tanah Melayu. Akibatnya, orang Melayu mulai bertindak balas terhadap kekejaman anggota komunis Bintang Tiga, seperti pasukan yang diketuai oleh Panglima Salleh Selendang Merah. Kembalinya British dengan pentadbiran tenteranya (BMA) dalam tempoh yang singkat menyebabkan komunis Bintang Tiga tidak berjaya mengembangkan pengaruh mereka. Akibat kegagalan komunis Bintang Tiga merampas Tanah Melayu dengan gerakan bersenjata, telah membawa kepada persetujuan pembubaran tentera MPAJA dan perletakan senjata api di samping pembayaran saguhati kepada gerila-gerila terbabit.

Pada peringkat permulaan penubuhannva, keanggotaan PKM ialah sebanyak 1500 orang. Menjelang tahun 1935 organisasi PKM semakin mantap.  Mereka berjaya menghasut para pekerja melancarkan mogok secara berleluasa di negeri-negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Johor. Kegiatan subversif dan pemogokan memuncak pada tahun 1937-38. Peristiwa mogok paling hebat berlaku pada tahun 1935 di Batu Arang, Selangor melibatkan hampir 6000 orang buruh yang berjaya mengambil alih lombong di situ. Walau bagaimanapun, anggota polis berjaya menawan semula lombong tersebut sementara pemimpin-pemimpin PKM ditangkap dan dipenjarakan atau dibuang negeri ke negara China. Pada tahun 1937, Jepun telah menyerang negara China dan kebanyakan orang Cina di Tanah Melayu marah kepada Jepun. Keadaan ini telah melahirkan semangat kecinaan dan anti-Jepun dalam kalangan orang Cina di Tanah Melayu. PKM terpaksa bekerjasama dengan British untuk menentang Jepun. Berikutan dengan itu, satu pertubuhan yang dinamakan Nanyang Chinese National Salvation Movement telah ditubuhkan. Sebagai membantu China menentang Jepun, pertubuhan ini telah mengendalikan kutipan derma untuk membantu kerajaan China menentang Jepun. Malah barangan buatan Jepun yang dibawa ke Tanah Melayu dipulaukan oleh orang Cina di Tanah Melayu. Di samping itu juga, mereka membentuk Tabung Bantuan Negara China yang berjaya mengumpul sebanyak RM146 juta. Beratus-ratus pemuda Cina dihantar balik untuk mempertahankan negara mereka daripada serangan Jepun.

Penaklukan Tanah Melayu oleh Jepun dalam tahun 1942 dan keadaan ekonomi dan sosial yang tidak teratur berikutan Perang Dunia Kedua telah membolehkan PKM menambah pengaruhnya terutama dalam kalangan kaum Cina. Kerajaan British yang tertarik dengan kegiatan anti-Jepun, telah bekerjasama dengan PKM untuk menentang Jepun semasa pendudukannya di Tanah Melayu. PKM berjaya mempengaruhi British untuk membebaskan semua tahanan politik yang berhaluan kiri. Pendudukan Jepun telah memberikan PKM pengalaman dalam peperangan gerila di hutan.

Akhirnya, Jepun menyerah kalah tanpa syarat setelah Hiroshima dan Nagasaki dibom oleh Amerika. Pendudukan Jepun meskipun singkat, telah banyak meninggalkan kesan negatif malah positif diwujudkan. Antaranya, Zaman Pendudukan Jepun itu telah membangkitkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat dan memburukkan hubungan antara Melayu-Cina.

Setelah Jepun menyerah kalah, MPAJA yang pada awalnya bekerjasama dengan pihak British untuk menentang pendudukan Jepun berdasarkan perjanjian yang dibuat pada 8 Disember 1940, mengambil peluang untuk membalas dendam terhadap sesiapa yang dianggap bersubahat dengan Jepun. Konflik perkauman itu mencapai kemuncaknya semasa dan selepas kekosongan kuasa (interregnum) dari 15 Ogos hingga 3 September 1945 berikutan dengan pengunduran tentera Jepun tersebut.

PKM Selepas Perang Dunia Kedua

Selepas Perang Dunia Kedua, pKM muncul dari hutan dengan lebih pengaruh di Tanah Melayu. Kini, kegiatan pKM bukan lagi berlandaskan negara China tetapi terhadap Tanah Melayu. Ini ternyata dengan kesungguhan PKM berjuang untuk menubuhkan Republik Komunis Malaya. Apabila British kembali ke Tanah Melayu, PKM telah disusun semula dengan lebih teratur dan menurut undang-undang. Pada tahun 1942, British telah mengiktiraf PKM sebagai sebuah parti politik yang sah atas sumbangannya menentang Jepun. Dengan perkembangan ini, pKM bertindak menubuhkan cawangan-cawangan di seluruh negara. Pentadbiran Tentera British atau British Military Administration (BMA) yang diwujudkan selepas perang terpaksa berunding dengan PKM untuk membubarkan MPAJA. Persetujuan dicapai, iaitu British akan membayar wang sagu hati sebanyak RM350 dan bekalan beras diberikan kepada setiap gerila yang keluar dari hutan. Menjelang bulan Disember 1945, seramai hampir 6800 anggota pKM telah menerima tawaran tersebut.

Semasa British sedang merancang perlembagaan baru untuk menggantikan Malayan Union, PKM telah menukar taktik perjuangannya kepada kekerasan. PKM telah membentuk Barisan Bersatu untuk bekerjasama pelbagai pihak bagi mencapai matlamatnya menubuhkan Republik Komunis melalui perlembagaan. Bagi meraih simpati, menyebarkan fahaman komunis dan mendapatkan sokongan orang Melayu, pihak Parti Komunis Malaya telah mengasaskan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang diasaskan oleh Ahmad Boestamam berfahaman kebangsaan dan Mokhtaruddin Lasso (MPAJA) berfahaman komunis pada 17 Oktober 1945. Parti komunis telah gagal berjuang melalui perlembagaan dalam golongan kiri AMCJA-PUTERA.

Dalam bulan Jun 1948, PKM telah melancarkan pemberontakan bersenjata dengan tujuan mengambil alih kuasa di Tanah Melayu. Pemberontakan tersebut gagal dan PKM cuba bergerak di bawah tanah. PKMM pula lebih cenderung berjuang untuk Tanah Melayu menyertai Indonesia bagi mendapat kemerdekaan pada 1949.

Berikutan dengan pengisytiharan kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua oleh maharaja mereka di Tokyo, moral tentera-tentera Jepun telah lemah dan mereka tidak mempedulikan lagi hal ehwal pentadbiran dan keselamatan rakyat Tanah Melayu. Berikutan pengunduran Jepun dan sebelum ketibaan semula kuasa British telah berlaku pengosongan kuasa selama tiga minggu di Tanah Melayu, kesempatan ini telah diambil oleh pihak PKM. Mereka telah menguasai beberapa kawasan dan mengadakan pemerintahan bercorak komunis. PKM telah menubuhkan ’mahkamah’ rakyat untuk membicarakan orang yang dituduh bersubahat dengan Jepun dan dijatuhi hukuman mati. Selain itu, harta benda yang telah jatuh ke tangan Jepun telah dirampas untuk urusan pemerintahan PKM. Ahli-ahli PKM Bintang Tiga telah melakukan kekejaman dengan sewenang-wenangnya. Walau bagaimanapun, kegiatan politik PKM yang semakin agresif menyebabkan kerajaan British mengharamkannya pada tahun 1948. Oleh yang demikian, PKM melancarkan pemberontakan bersenjata pada tahun 1948, tetapi gagal menggulingkan kerajaan British di Tanah Melayu.

Terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 merupakan kekalahan kepada PKM kerana golongan ini telah diketepikan oleh British. PKM telah menukar strategi dan mula mencetuskan kegagasan melalui mogok dan rusuhan. Pihak British bertindak balas dengan mengharamkan pemimpin politik daripada mengetuai kesatuan pekerja, dengan itu melemahkan kedudukan komunis Bintang Tiga.

Pihak komunis Bintang Tiga kemudiannya mulai mengangkat senjata dan beberapa siri serangan dan serangan telah berlaku. Walau bagaimanapun, insiden pada 16 Jun 1948 iaitu pembunuhan tiga orang pengurus estet berbangsa Eropah di Sungai Siput, Perak telah membawa kepada pengisytiharan darurat oleh Sir Edward Gent. Apabila keadaan bertambah teruk, pada 12 Julai 1948, darurat diisytiharkan ke seluruh negara. PKM telah diharamkan pada 23 Julai 1948. Pada tahun-tahun berikutnya termasuk sepanjang tempoh Darurat, seluruh angkatan bersenjata telah digerakkan menentang komunis termasuk Senoi Praaq. Senoi Praaq adalah bererti pejuang yang merupakan Pasukan Polis Hutan (PPH) yang sebilangan besarnya terdiri daripada Orang Asli. Pasukan ini telah ditubuhkan pada tahun 1957 dan bertindak sebagai unit bebas dan berkhidmat di kawasan perkampungan Orang Asli di pedalaman.

Darurat Tanah Melayu

Darurat Tanah Melayu merupakan darurat yang telah diisytiharkan oleh kerajaan British di Malaya dari tahun 1948 hingga tahun 1960. Darurat ini diikuti dengan penarikan hak-hak sivil, pemberian kuasa istimewa kepada pihak polis, dan langkah-langkah lain yang bertujuan untuk mengongkong kegiatan politik haluan kiri, terutamanya PKM. Perang gerila merupakan sebahagian daripada konflik yang sedang berlaku antara PKM dan parti haluan kiri yang lain dengan kerajaan British bermula dari penyerahkalahan Jepun pada tahun 1945 sehingga penamatan Darurat pada 1960. Walau bagaimanapun, komunis terus mengganas hingga perjanjian damai antara komunis dengan kerajaan Malaysia ditandatangani pada Disember 1989.

Kemuncak keganasan komunis yang menyebabkan kerajaan Tanah Melayu mengisytiharkan Darurat ialah pembunuhan seramai tiga orang pengurus ladang Inggeris di Sungai Siput, Perak pada tahun 1948. Sebulan selepas itu PKM diharamkan. Pegawai Inggeris yang telah dibunuh itu ialah A. E. Walker, J. M. Alison dan pembantunya, Ian Christian. Pesuruhjaya Tinggi Malaya, Sir Edward Gent telah mengisytiharkan Darurat terlebih dahulu di Perak dan Johor, dan kemudian ke seluruh Tanah Melayu.

PKM diharamkan oleh kerajaan British kerana dianggap sebagai sebuah parti politik yang radikal. Pengharaman ini telah menimbulkan ketidakpuasan hati oleh kebanyakan ahli PKM kerana jasa mereka telah dilupakan oleh British semasa PKM membantu British menentang Jepun. Dengan itu, ketua PKM, telah mengubahkan dasarnya yang bersikap sederhana kepada bentuk yang agresif, iaitu dengan pembunuhan. PKM memulakan dengan mogok bersama dengan kesatuan sekerja, serta penubuhan Persatuan Buruh Baru (New Democratic Youth League).

Namun, pemogokan itu telah gagal dan undang-undang yang baru dibuat oleh British untuk melemahkan PKM, seterusnya PKM menggunakan serangan bersenjata untuk mendapatkan apa yang mereka dirasa patut.

Faktor Komunis Memberontak

PKM bergerak menggunakan beberapa pertubuhan seperti General Labour Union (GLU) atau Kesatuan Buruh Am. Satu lagi pertubuhan ditubuhkan pada Disember 1945 ialah Malayan Democratic Union (MDU) untuk mewujudkan pengaruh yang lebih besar menentang Inggeris. Apabila kerajaan British merancang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, PKM menentang dengan menubuhkan Barisan Bersatu yang merupakan pakatan AMCJA dan PUTERA. Kegagalan pertubuhan tersebut menjadi satu tamparan kepada PKM dalam mencapai matlamat politik mereka menubuhkan Republik Komunis Malaya.

Pengaruh luar juga mendorong PKM memberontak. Pada tahun 1948, berlaku dua persidangan komunis di Calcutta, India. Persidangan tersebut membuat ketetapan betapa pentingnya parti-parti komunis di seluruh dunia mengambil tindakan secara militan terhadap penjajah. Lawrence Sharkey, seorang pemimpin komunis Australia yang menghadiri persidangan itu telah singgah di Singapura menggesa PKM melakukan pemberontakan bersenjata. Selepas persidangan itu berlaku pemberontakan di Burma, Tanah Melayu dan Indonesia. PKM turut mengarahkan ahli-ahlinya bertindak lebih militan, oleh itu mereka melakukan pembunuhan, sabotaj ekonomi dan sebagainya. Apabila polis menggelidah pejabat-pejabat PKM pada Jun 1948, lebih kurang 4000-5000 ahli-ahli PKM telah menghilangkan diri ke hutan-hutan untuk melakukan pemberontakan. Pada masa yang sama, balai polis Mentakab telah diserang.

PKM sebelum itu memang telah menjalankan dasar menentang penentangnya secara kekerasan. Antara tahun 1945-1947 dilaporkan 191 penculikan dan pembunuhan dilakukan oleh mereka tanpa mengira usia dan jantina. Dalam masa enam bulan pertama tahun 1948, terdapat 107 penculikan dan pembunuhan dilakukan oleh mereka. Kebanyakan keganasan ini berlaku di Johor, Perak, Pahang, dan Selangor.

Gerakan Min Yuen

Terdapat juga kumpulan yang membantu dan memberi sokongan kepada PKM iaitu Min Yuen. Pada masa darurat 1948, Min Yuen telah menyokong pemberontakan yang dilakukan oleh komunis. Min Yuen (ertinya ‘gerakan rakyat’ dalam bahasa Cina) yang ditubuhkan oleh Parti Komunis Malaya dan sebahagian besarnya dianggotai oleh orang Cina.

Tujuan Min Yuen adalah untuk memberi maklumat dan membekalkan makanan serta ubat-ubatan kepada komunis. Pergerakan mereka berpusat di bandar-bandar, kampung-kampung dan kawaan berhampiran hutan. Bukan semua orang Cina menyertai Min Yuen secara rela hati. Ada yang terpaksa berbuat demikian kerana takut ancaman maut. Sebenarnya kebanyakkan orang Cina berasa serba salah kerana kalau mereka menyokong kerajaan, mereka akan dibunuh oleh pengganas komunis dan tindakan akan diambil bukan sahaja terhadap mereka tetapi melibatkan keluaraga mereka.

Kegiatan Min Yuen sukar dikesan kerana mereka menjalankan operasinya di sebelah malam. Bagi melumpuhkan pergerakan Min Yuen, satu pelan tindakan yang dikenali sebagai Rancangan Briggs telah dijalankan bagi memindahkan penduduk Cina di pinggir-pinggir hutan ke kawasan penempatan baru yang dikawal. Rancangan ini bertujuan menjamin keselamatan penduduk Cina daripada diancam dan diperas-ugut oleh pengganas komunis.

Serangan di Bukit Kepong

Komunis telah menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950. Dalam kejadian tersebut, sekitar 25 orang anggota polis terbunuh. Dua orang isteri anggota polis marin turut mengangkat senjata apabila mendapati suami mereka terkorban dan mereka terus bertempur bersama anggota-anggota lain sehingga kehabisan peluru. Dalam kejadian ini, 17 orang anggota polis dan hampir 40 orang komunis telah terkorban.

Pertempuran ini berlaku di kawasan sekeliling balai polis Bukit Kepong di Bukit Kepong. Balai polis yang diperbuat daripada kayu ini terletak di tebing Sungai Muar, sekitar 59 km dari bandar Muar. Balai Polis Bukit Kepong terletak di selekoh Sungai Muar, sebuah perkampungan kecil yang terpencil dengan sekitar dua puluh buah rumah dan kedai.

Kejadian ini bermula sebelum subuh apabila pihak Komunis melancarkan serangan gerila ke balai polis. Ia berakhir dengan tragik dalam penyembelihan berdarah dengan penyerang membunuh hampir semua pegawai polis yang bertugas di situ. Pihak komunis hendak menjadikan contoh daripada serangan itu tentang apa yang akan terjadi kepada mereka yang menentang perjuangan Komunis.

Pihak komunis menyerang balai itu kira-kira pukul 4.00 pagi. Sekitar pukul 5.00 pagi pasukan Polis Bantuan beserta sekumpulan penduduk kampung yang lengkap bersenjatakan raifal dan senapang patah digerakkan di Kampong Jawa di bawah pimpinan penghulu Ali bin Mustaffa. Mereka diserang hendap oleh komunis yang ditugaskan untuk menghalang sebarang bantuan dari luar dan beberapa orang kampung serta pihak komunis juga turut terkorban dalam pertempuran di kawasan itu. Sekitar masa ini, kedua-dua kedudukan Sten Gun turut dimusnahkan komunis.

Dalam detik terakhir pertempuran hebat itu, komunis membakar berek kelamin dan balai polis. Dua wanita dan anak-anak mereka terbakar hangus dalam berek kelamin. Pada ketika itu hanya 3 orang anggota polis dan seorang pengawal kampung yang masih hidup. Mereka meluru keluar dari balai yang terbakar dan merempuh kedudukan komunis, membunuh sekurang-kurangnya tiga dari kumpulan pengganas yang cuba menghalang mereka. Pihak komunis terus menembak mereka yang cuba lari daripada balai polis yang sedang terbakar itu.

Hanya selepas lima jam bertempur, baru pihak komunis berjaya menawan balai polis dan membakar balai tersebut. Mereka kemudian berundur ke dalam hutan, meninggalkan kesan kemusnahan dan kematian. Pihak komunis turut melontar mereka yang tercedera dan mayat mereka yang terkorban ke dalam api.

Rundingan Baling

Chin Peng (Setiausaha Agung PKM) telah menghantar surat kepada pemimpin-pemimpin parti politik sejak kempen pilihan raya 1955 supaya diadakan perundingan antara PKM dengan kerajaan. Tawaran ditolak dengan alasan cadangan tersebut hanya taktik PKM sahaja. Pada September 1955, sepucuk surat dihantar oleh PKM dan ditandatangani oleh Ng Heng dari Kampung Kelian Intan, Keroh di Perak. Surat itu menyatakan tawaran rundingan kepada Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman. Tunku Abdul Rahman bersedia berunding untuk membincangkkan syarat-syarat pengampunan. Rundingan-rundingan awal telah diadakan antara Chien Tien wakil PKM dengan Ian C Waylie (Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Polis Tanah Melayu) dan Timbalan Menteri Pelajaran, Too Joon Hing di Kelian, Intan sebanyak tiga kali.

Rundingan awal ini membawa kepada perjumpaan di Baling pada 28 Disember 1955, bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Tunku Putera. Wakil-wakil daripada kerajaan ialah Tunku Abdul Rahman Putera, Tan Cheng Lock (MCA) dan David Marshall (Ketua Menteri Singapura). Wakil-wakil daripada PKM ialah Chin Peng, Chen Tien (Ketua Bahagian propaganda) dan Rashid Mydin. Dalam perjumpaan itu Tunku Abdul Rahman menekankan tentang kesediaannya berjumpa dengan PKM bukan untuk berunding tetapi hendak menjelaskan syarat-syarat pengampunan. Chin Peng berjanji meletakkan senjata jika PKM diiktiraf dan kebebasan mereka tidak disekat. Tunku bagaimanapun menegaskan PKM harus menyerah kalah.

Tunku Abdul Rahman terus mahu meminta PKM meletakkan senjata dan keluar dari hutan dan seterusnya menjadi rakyat Tanah Melayu. Tunku Abdul Rahman juga mahu PKM menyatakan taat setia kepada Tanah Melayu. Beliau juga mahu PKM dibubarkan.

Chin Peng menolak syarat-syarat tersebut dan mahu PKM diberi status yang sama dengan parti-parti lain yang berdaftar dan dibenar aktif mengikut perlembagaan. Dalam pengertian lain PKM mahu diiktiraf dan dianggap sah dari segi undang-undang.
Perjumpaan di Baling berlangsung selama dua hari (28 dan 29 Disember) dan dibahagikan kepada empat sesi. Perjumpaan ini gagal mencapai matlamat untuk penyelesaian. Tunku berpendapat sememangnya PKM tidak boleh bekerjasama dan kerajaan rnengambil keputusan untuk berperang habis-habisan. Syarat-syarat pengampunan juga ditarik balik pada 8 Februari 1956.

Chin Peng meneruskan perjuangan bersenjata PKM. Gerila-gerila PKM diarah bergerak ke kawasan pergunungan sempadan Thailand. Seramai 500 orang berjaya berbuat demikian tetapi 2500 yang terbunuh atau menyerah diri. Jumlah kekuatan tentera PKM dianggarkan tinggal 1500 orang sahaja.

Kesan-kesan Darurat

Banyak kesan yang diakibatkan oleh pemberontakan komunis di Tanah Melayu ditinjau dari aspek politik, ketenteraan, ekonomi dan sosial. Dari segi politik, pada peringkat awal didapati melambatkan perkembangan ke arah kemerdekaan kerana British tidak akan memberi kemerdekaan sehingga keadaan aman. Walau bagaimanapun sejurus sebelum Rundingan Baling kerajaan British berjanji akan menyegerakan pemberian kemerdekaan. Pihak British sudah mulai khuatir mereka akan dicap sebagai imperialis tulen dan ini menguntungkan PKM.

Angkatan tentera Tanah Melayu berkembang pesat dari segi pembentukan batalion baru dan jumlah keanggotaan serta persenjataan. Namun, darurat telah menyebabkan pembiayaan untuk operasi tentera meningkat menjadi $800 juta (Amerika). Jumlah perbelanjaan ini sebahagian besarnya ditanggung oleh kerajaan Persekutuan ($721.9 juta). Mujurlah kerajaan Tanah Melayu diselamatkan oleh harga getah yang melambung kesan daripada Perang Korea.

Kegiatan komunis juga menyebabkan banyak kemusnahan ladang-ladang, lombong, jalan raya dan pelbagai kemudahan awam. Darurat juga menyebabkan ramai yang terkorban baik orang awam, gerila PKM dan askar-askar.

Penempatan semula yang dikenali sebagai kampung baru diwujudkan untuk mengatasi masalah setinggan. Sir Harold Briggs mengambil langkah segera untuk menyegerakan pembentukan kampung-kampung baru setelah didapati kawasan setinggan menjadi tempat komunis mendapatkan bantuan. Lebih 50 000 orang penduduk yang kebanyakannya Cina ditempatkan di 550 buah kampung baru. Tiap-tiap kampung berpenduduk antara 100 hingga 1000 orang. Kampung-kampung ini dipagar dengan kawat berduri dan dikawal oleh anggota pasukan keselamatan. Kampung-kampung baru ini dilengkapkan dengan kemudahan asas.

Pihak British menggalakkan pemimpin-pemimpin Cina menubuhkan parti politik antikomunis dan prokerajaan. Oleh itu Persatuan Cina Malaya (MCA) ditubuhkan pada 27 Februari 1949.

Rakyat juga pada amnya menghadapi banyak kesulitan akibat Darurat. Mereka menghadapi tekanan daripada pihak PKM dan kerajaan. Sebelum kerajaan dapat mengatasi ancaman komunis, kehidupan rakyat di luar bandar rumit dan perit. Di satu pihak lain mereka terpaksa mematuhi tuntutan bekalan makanan, pakaian dan sebagainya untuk PKM. Catuan makanan, sekatan jalan dan peraturan lain menyukarkan pergerakan. Sesetengahnnya pula ditangkap kerana disyaki tanpa perbicaraan. PKM juga melakukan penculikan dan sesetengah mangsanya dibunuh.

Kegagalan PKM

Meskipun terdapat banyak kemusnahan yang dilakukan oleh PKM dan ramai yang terkorban, PKM gagal mencapai matlamatnya menguasai keseluruhan Tanah Melayu dan menubuhkan Republik Rakyat Komunis yang diidamkan oleh mereka. Setelah penubuhan kerajaan Persekutuan, strategi-strategi PKM gagal menghasut penduduk Tanah Melayu menyokong mereka, tambahan pula tindakan kekerasan mereka hanya menakutkan ramai pihak.

Dari segi organisasi PKM didapati gagal untuk mengawal hubungan yang ketat kerana masalah perhubungan dan komunikasi. Disebabkan mereka bertindak di dalam hutan sahaja tiada sebarang penyusunan gerakan boleh dibuat. Perhubungan melalui radio sering dapat dikesan dengan mudah.

Dalam masa yang sama kerajaan telah menguatkan angkatan tentera dengan menambah jumlah angkatan tentera yang ada, mewujudkan Polis Cawangan Khas untuk membanteras komunis, dan mendapat bantuan tambahan daripada tentera-tentera negara Komanwel  yang sama sekali melumpuhkan kegiatan komunis. Angkatan tentera Tanah Melayu ditambah menjadi 20 batalion. Jumlah pasukan polis pula menjadi 49,000 orang. Lebih-lebih lagi kegagalan pihak komunis mendapat bantuan daripada pihak komunis luar kerana masalah perhubungan dan kedudukan mereka di dalam hutan, menyebabkan usaha gerila mereka terbantut. Kejayaan-kejayaan pasukan tentera kerajaan memberi kesan psikologi kepada gerila komunis. Ramai antara mereka yang berpaling tadah termasuk tokoh-tokoh penting. Pada 30 Disember 1954, Osman Cina, Chow Fong dan Hor Leung menyerah diri. Osman Cina dianggap orang kelima penting dalam PKM dan ahli propaganda.

Selain itu, penubuhan MCA juga melemahkan PKM, ini kerana PKM didominasi oleh orang Cina. Apabila MCA ditubuhkan dan menjanjikan kemerdekaan Tanah Melayu, ramai kaum Cina menyokongnya. PKM menghadapi masalah untuk menambah anggota dalam kalangan orang Melayu disebabkan diskriminasi yang dibuat oleh mereka dengan membunuh ramai orang Melayu dalam kalangan anggota Polis dan penduduk kampung.

Strategi PKM memusnahkan sumber-sumber ekonomi Tanah Melayu hanya membebankan rakyat. Rakyat yang dibebani kesusahan dan kemiskinan menjadi benci dengan pihak komunis yang hanya mahu mementingkan manifesto mereka bukannya untuk membela rakyat. Oleh demikian rakyat menyokong kerajaan, ditambah pula pembentukan kerajaan gabungan tiga kaum terbesar pada 1955 menyebabkan sokongan rakyat bertambah-tambah.

Rancangan Briggs dan penubuhan Kampung Baru juga melumpuhkan Min Yuen dan seterusnya PKM. Kesannnya ramai anggota PKM sakit dan mati. Ramai juga yang menyerah diri.
Setelah 12 tahun berjuang, dengan 4338 nyawa terkorban (1865 pasukan keselamatan dan 2473 orang awam) serta 6711 pengganas komunis, negara akhirnya mencapai kemenangan. Chin Peng beserta 400 saki-baki pengikutnya tiada jalan lain melainkan berundur ke selatan Thailand. Pada 29 Julai 1960, YTM Tunku Abdul Rahman Putra menandatangani surat pengisytiharan tamat darurat setebal 176 muka. Darurat secara rasminya diisytiharkan tamat pada 30 Julai 1960 kecuali di kawasan sempadan Thailand. Ini kerana kebanyakan anggota PKM yang berbaki berundur ke utara dan menubuhkan pangkalan di selatan Thailand. Ordinan Peraturan Darurat 1948 juga dimansuhkan.

Kebangkitan Komunis selepas penubuhan Malaysia

Kebangkitan Semula Pengganas Komunis (1968-1989) adalah satu usaha oleh Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan Utara untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan di Malaysia bagi membolehkan penubuhan sebuah kerajaan berfahaman komunis.
Komunis Selepas Darurat

Selepas Darurat diisytiharkan tamat tahun 1960, gerila-gerila Komunis berundur masuk ke kawasan selatan Thailand dan buat beberapa tahun tidak membuat serangan dan penyusupan ke Malaysia. Malahan buat seketika, pasukan keselamatan Malaysia boleh menumpukan perhatian kepada pengukuhan bilangan anggota tentera, melengkapkan pasukan dengan kelengkapan baru dan meningkatkan latihan.

Di Vietnam, kumpulan Komunis Vietnam Selatan dan Vietnam Utara sudah menunjukkan kekuatan mereka dengan melancarkan Serangan Tet. Dalam serangan itu, mereka berjaya menawan bangunan Kedutaan Amerika Syarikat di Saigon, sebelum ditewaskan oleh pasukan-pasukan bantuan Amerika Syarikat. Kejayaan pihak Komunis di Vietnam mendorong PKM dan Parti Komunis Kalimantan Utara untuk melancarkan pemberontakan bagi menumpaskan kerajaan Malaysia.

Perjanjian Damai Haadyai

Pemberontakan Kali Kedua

Dalam tahun 1968, PKM sekali lagi mencabar pasukan keselamatan Malaysia dalam konflik bersenjata. PKM sudah bersiap sedia selama lapan tahun untuk pemberontakan kali kedua berhajat untuk merampas kuasa dengan menggunakan kekerasan. Kali ini, pemberontakan dilakukan serentak dengan pemberontakan yang dijalankan di Kalimantan oleh Parti Komunis Kalimantan Utara.

PKM melancarkan serangan-serangan ke atas unit-unit Tentera Darat daripada seberang sempadan Thailand dan Kalimantan dengan tujuan memporak-perandakan keselamatan negara.  Ia lebih merupakan tekanan psikologi ke atas rakyat tempatan  yang boleh menggugat keyakinan rakyat kepada keupayaan pasukan keselamatan menangani ancaman anasir komunis.

Selain itu, PKM dan Parti Komunis Kalimantan Utara juga melancarkan serangan oleh skuad-skuad khas untuk menjalankan operasi pembunuhan ketua-ketua pasukan keselamatan dan pemimpin berpengaruh di kawasan-kawasan bandar. PKM berjaya membuat dua pembunuhan dengan membunuh Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Negeri Perak. Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Ketua Polis Negara telah dibunuh pada 6 Jun 1974 di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur semasa beliau berada dalam kenderaan dan Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong dibunuh pada tahun 1975.

Akibat keganasan yang melampau tersebut, pihak kerajaan telah meningkatkan ketenteraan Malaysia. Sistem Pemerintah Medan Tentera Darat ditingkatkan taraf dengan penubuhan Markas Kor Tentera Darat di Kem Sungai Besi. Markas Divisyen Kedua Infantri telah ditempatkan di Pulau Pinang dan Markas Divisyen Ketiga Infantri telah ditubuhkan di Melaka. Markas Divisyen Pertama Infantri kekal di Kuching, Sarawak.

Tentera Darat Malaysia membuat beberapa operasi ‘cari dan musnah’ anggota PKM di kawasan sempadan Malaysia-Thailand dan juga di Sarawak secara besar-besaran. Operasi ini dipanggil Gonzales dan Operasi Daoyai Musnah telah dapat melumpuhkan kegiatan komunis di Semenanjung Malaysia. Kerajaan juga membuat perjanjian dengan kerajaan Thailand untuk membenarkan anggota tentera Malaysia menangkap mana-mana anggota PKM yang lari ke negara tersebut.

Akibat tekanan ketenteraan yang semakin meningkat, unit-unit penggempur komunis tidak dapat bertapak dengan berkesan di Semenanjung Malaysia ataupun di Sarawak. Akhirnya, ramai daripada mereka mengambil tindakan untuk menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Perjanjian Damai Hatyai

Perjanjian Damai di Hatyai telah diadakan sebanyak tiga pusingan bermula pada Mac 1989. Setelah tamat pusingan ketiga pada 1 Disember 1989, Chin Peng tetap tidak mahu membubarkan PKM, namun empat perkara pokok yang telah dipersetujui ialah:

1.    Menamatkan aktiviti ketenteraan dengan serta-merta selepas menandatangani perjanjian.
2.    PKM perlu membubarkan unit ketenteraan, memusnah-kan senjata, peluru, bahan letupan dan jerangkap samar.
3.    Penempatan di Malaysia. Anggota PKM yang berasal dari Malaysia dan ingin tinggal di Malaysia dibenarkan. Anggota yang bukan berasal dari Malaysia tetapi memilih untuk tinggal di Malaysia juga dibenarkan. Anggota PKM yang memilih untuk tidak kembali ke Malaysia, dibenarkan oleh kerajaan Thailand tinggal di beberapa perkampungan khas di Selatan Thailand.
4.    Bantuan oleh kerajaan Malaysia. Selaras dengan Perkara Ketiga, kerajaan Malaysia akan membantu anggota PKM yang kembali ke pangkuan masyarakat untuk memulakan kehidupan baru dari segi perumahan, pekerjaan dan kewangan.

Setelah termeterai Perjanjian Damai Hatyai, dalam tempoh satu tahun yang diberikan, seramai 442 bekas ahli PKM telah memohon untuk kembali ke Malaysia dan seramai 406 daripada mereka telah menghadiri temu duga.

Kesimpulan

Keganasan komunis telah diketahui umum telah menyebabkan ribuan rakyat negara ini terbunuh termasuk anggota polis dan orang awam. Mangsa mereka tidak mereka sama ada wanita, kanak-kanak atau orang tua. Membakar mangsa hidup-hidup tidak boleh diterima dari aspek kemanusiaan. Selain itu kemusnahan harta benda yang bukan sedikit yang kemudiannya menjejaskan ekonomi negara di mana mereka turut memusnahkan lombong-lombong dan ladang-ladang.

Jika difikirkan semula, apa perlunya mereka bertindak seperti ini. Apakah matlamat mereka? Jika mahu menubuhkan sebuah negara kenapa perlu melakukan kekejaman dan kemusnahan? Maka jelaslah, demi cita-cita politik songsang mereka untuk menubuhkan Republik Rakyat Komunis, mereka sanggup berbuat apa sahaja, namun jika mahu menubuhkan sebuah negara apa perlunya memusnahkan kawasan tersebut, bagaimana pula keadaannya kelak jika mereka berjaya menguasai keseluruhan negara dan berjaya membunuh hampir semua penduduk negara ini yang menentang mereka. Pastinya perkara ini tiada logiknya.

Oleh itu usaha untuk menyokong semula fahaman komunis dihidupkan semula di negara yang aman dan merdeka ini adalah idea yang tidak berasas sama sekali. Dengan sistem Komunisme yang radikal dan kapitalis hanya akan memusnahkan negara kita yang telah bersedia memacu kejayaan ke arah negara yang maju. Untuk kembali ke belakang adalah suatu perkara yang tidak realistik.

Bibliografi

Arkib Negara Malaysia, dlm http://www2.arkib.gov.my/ (26-27 Sept 2011)
Kamus Dewan, Edisi Keempat, DBP, KL, 2005.
Bryan Magee, The Story of Philosophy, DK, London, 2001.
Facts at Your Finger Tips, Reader’s Digest, Sydney, 2002.
Fadhlullah Jamil, Islam dan Idealisme Zaman Moden, Karisma, Shah Alam, 2010.
Fuziah Shaffie & Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia, PFB, Shah Alam, 2000.
Lofti Ismail, Sejarah Malaysia 1400-1963, Utusan, KL, 1975.
Mohd Isa Othman, Sejarah Malaysia (1800-1963), Utusan, KL, 2002.
Ramlan Hamzah, Parti Komunis Malaya: Penubuhan, Peranan dan Implikasinya, JEBAT 03-04 (1975).
Roslan Saadon, Nasionalisme Melayu Raya, Karisma, Shah Alam, 2010.
Rupawan Ahmad, Parti Komunis China dan Keduduan Kaum Tani dalam Revolusi, 1922-1937: Satu perbincangan ringkas, JEBAT 13 (1984/85).
Syahril A. Kadir, Tahniah Kerana Mahu Mengiktiraf Parti Komunis Malaya (PKM), dalam http://syahrilkadir.wordpress.com/ (20 September 2011)
Tan Malaka Bukan Seorang Komunis, dalam http://blog.opshid.org/?p=102 (20 September 2011)

One thought on “Komunis di Tanah Melayu

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s