Tun Dr Ismail Abdul Rahman (4 November 1915 – 2 Ogos 1973) adalah seorang ahli politik UMNO. Beliau memegang beberapa jawatan menteri Malaysia dan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri kedua pada tahun 1970 oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak. Tiga tahun kemudian, Tun Dr. Ismail meninggal dunia di rumahnya kerana serangan jantung.
Tun Dr. Ismail dilahirkan di Johor Bahru pada 4 November 1915. Bapanya Abdul Rahman bin Mohamed Yassin adalah bekas pegawai perkhidmatan awam kerajaan Johor pernah menyandang jawatan Presiden Pertama Dewan Negeri iaitu jawatan tertinggi dalam Kerajaan Johor. Datuknya adalah Haji Mohamed Salleh bin Abdullah, seorang etnik Cina memeluk Islam dan bekas Bendahara Negara Johor. Ibunya, Zaharah binti Abu Bakar meninggal dunia sewaktu Tun Dr. Ismail berumur sembilan tahun. Beliau mempunyai lapan orang adik-beradik. Beliau telah berkahwin dengan Toh Puan Norashikin binti Dato’ Mohd. Seth dan mempunyai enam orang anak, empat lelaki dan dua perempuan.
Tun Dr. Ismail menerima pendidikan awal di Sekolah Bukit Zahrah, Johor Bahru. Beliau kemudiannya belajar di English College, Johor Bahru (kini Maktab Sultan Abu Bakar) dan kemudian menyambung pelajaran ke Maktab Perubatan, King Edward VII College of Medicine, Singapura (kini sebahagian daripada Universiti Nasional Singapura) pada tahun 1935 hingga 1937. Selepas itu beliau melanjutkan pelajarannya ke Australia. Beliau telah mendapat Ijazah Perubatan dari Universiti Melbourne, Australia dalam tahun 1945 dan merupakan anak Melayu pertama yang lulus dari universiti tersebut.
Setelah kembali ke tanah air, Tun Dr. Ismail membuka klinik yang dinamakan Klinik Tawakal di Johor Bahru dari tahun 1947 hingga 1952 di samping bekerja secara sambilan di Hospital Besar, Johor Bahru.
Pada tahun 1946, Inggeris membentuk Malayan Union. Tun Dr. Ismail bersama-sama dengan keluarganya turut terlibat dalam kempen anti-Malayan Union yang diketuai oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Tun Dr. Ismail juga pernah ditawarkan kerusi di Dewan Perundangan Persekutuan oleh Dato’ Onn, tetapi dengan syarat beliau menyertai UMNO. Pada masa itu Tun Dr. Ismail menolak dan hanya akan menyertai UMNO jika pertubuhan itu komited untuk berjuang untuk kemerdekaan Malaya.
Tun Dr. Ismail pernah dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Undangan Negeri Johor dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dalam tahun 1948.
Tun Dr. Ismail menyertai UMNO pada 1951. Dalam UMNO, beliau dilantik sebagai anggota jawatankuasa kerja pusat dan kemudian menjadi seorang daripada Naib Presiden UMNO suatu jawatan yang dipegangnya sehingga 1968. Pada tahun 1952, beliau menjadi Menteri Tanah, Galian dan Perhubungan yang disandangnya sehingga 1955. Pada tahun 1953, beliau mula melibatkan diri sepenuh masa dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air melalui UMNO yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman.
Pada Pilihan Raya Umum 1955, Tun Dr. Ismail menjadi calon Parti Perikatan bagi kawasan Johor Timur. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Menteri Hasil Mahsul dan 1956 menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian yang pertama. Beliau pernah mewakili Persekutuan Tanah Melayu dalam rombongan United Kingdom ke sidang Economic Commission for Asia and the Far East atau Majlis Ekonomi Asia dan Timur Jauh (ECAFE) di Tokyo, Jepun pada tahun 1955.
Beliau juga menyertai rombongan Ketua Menteri, Tunku Abdul Rahman ke London pada 18 Januari hingga 8 Februari 1956 kerana rundingan mengenai Kemerdekaan Tanah Melayu.
Tun Dr. Ismail juga pernah menekankan Parti Perikatan untuk bergabung menjadi satu parti multi-perkauman, bukan parti campuran daripada tiga kaum.
Setelah mencapai kemerdekaan, Tun Dr. Ismail dilantik sebagai Duta Besar Persekutuan Tanah Melayu yang pertama ke Washington di samping menjadi Wakil Tetap di Bangsa-Bangsa Bersatu. Pada bulan September 1957, beliau hadir di Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu setelah Malaya diterima sebagai anggota pertubuhan itu. Memandangkan pengalaman beliau di arena antarabangsa, pada tahun 1959, beliau dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri. Pada tahun 1960 pula beliau dilantik menjadi Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan tiga bulan selepas itu ditugaskan menjalankan kerja-kerja sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.Ketika Tun Dr. Ismail di PBB, beliau mengembangkan pandangan yang sangat meyakinkan bahawa dasar luar negeri Tanah Melayu hendaklah bebas, di mana kedudukan Tanah Melayu di arena antarabangsa tidak dipengaruhi oleh polisi mana-mana negara lain sama ada besar atau kecil. Sementara bersidang di Amerika Syarikat dan di PBB, beliau sempat menulis nota peribadi kepada Perdana Menteri, yang kemudian ia dikumpulkan dan diterbitkan di bawah judul Malaya’s First Year at The UN (Tahun Pertama Malaya di PBB).
Apabila Tunku Abdul Rahman menyatakan bahawa Malaya perlu mengiktiraf negara komunis Republik Rakyat China, Tun Dr. Ismail ingin meletakkan jawatan jika hubungan tersebut masih diteruskan, namun ia berjaya ditenangkan oleh Tunku supaya melupakan perkara tersebut. Perkara ini menunjukkan ketegasan Tun Dr. Ismail dalam hal-hal yang boleh mengancam keselamanatan negara.
Tun Dr. Ismail kemudian menjadi Menteri Keselamatan Dalam Negeri, sebuah portfolio yang baru dibentuk khas untuk dipegang oleh beliau. Pada tahun 1962, beliau dilantik untuk menjadi Menteri Perumahan. Tun Dr. Ismail bertanggungjawab menahan pesalah di bawahAkta Keselamatan Dalam Negeri atau Internal Security Act (ISA), yang membolehkan penahanan tanpa perbicaraan.
Pada tahun 1964 setelah menang sekali lagi dalam pilihan raya kawasan Johor Timur, Dr. Ismail dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri. Pada tahun 1968 Tun Dr. Ismail yang baru bersara sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri pernah mengemukakan cadangan awal di Parlimen mengenai dasar berkecuali dalam apa yang disebutnya sebagai ‘Rancangan Keamanan Ismail’ (Ismail Peace Plan). Beliau menyeru kepada pengecualian Asia Tenggara dengan dijamin oleh kuasa-kuasa besar, menandatangani perjanjian tidak bermusuhan dan mengisytiharkan dasar hidup bersama. Walaupun cadangan ini dibuat selepas beliau bersara daripada kerajaan, tetapi ia mencerminkan bahawa sudah wujud satu proses penilaian semula dasar luar Malaysia dalam kalangan para pemimpin atasan negara.
Tun Dr. Ismail juga membentangkan kes Malaysia kepada PBB ketika Indonesia melancarkan Konfrontasi terhadap kerajaan gagasan penubuhan Malaysia, dengan menuduh Malaysia sebagai neo-kolonialis (penjajahan bentuk baru). Tun Dr. Ismail berjaya membawa masuk sejumlah senjata yang diambil dari anggota tentera Indonesia ke dalam Majlis Keselamatan PBB, yang kemudian memaksa Presiden badan itu menggesa Indonesia menghentikan konfrontasi tersebut.
Tun Dr. Ismail juga mengkritik Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew, kerana usahanya untuk menguasai politik kaum Cina di Malaya dengan mahu menepikan peranan MCA dan mahu terlibat dengan pilihan raya 1964, walaupun sebelum itu beliau menyatakan tidak mahu menyertainya.
Ketegangan hubungan Singapura-Kuala Lumpur ini membimbangkan Tunku Abdul Rahman. Akhirnya beliau memaklumkan keputusan beliau untuk menyingkirkan Singapura kepada Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail. Pada 9 Ogos 1965, Tunku membuat pengumuman rasmi di Dewan Rakyat mengenai perpisahan Singapura daripada Malaysia.
Tun Dr. Ismail mengundurkan diri dari jabatan kerajaan pada tahun 1967 kerana keadaan kesihatannya yang buruk. Seorang pakar jantung sebelumnya telah mengatakan kepadanya untuk bersara dari politik kerana beliau tidak boleh berada dalam keadaan terlalu tertekan. Tunku Abdul Rahman menerima pengunduran diri Tun Dr. Ismail. Setelah bersara dari politik, beliau menjadi pengerusi Kumpulan Guthrie.
Walau bagaimanapun, Tun Dr. Ismail telah kembali berkhidmat pada bulan Mei 1969 akibat berlakunya rusuhan antara kaum. Pada 13 Mei 1969, negara dikejutkan dengan rusuhan kaum tiga hari selepas pilihan raya umum. Perlembagaan negara digantung, Parlimen dibubarkan, dan darurat diisytiharkan seluruh negara. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan dan mengambil alih pentadbiran kerajaan. Tun Abdul Razak dilantik oleh Tunku Abdul Rahman sebagai Pengarah MAGERAN. Di bawah MAGERAN ketenteraman awam berjaya dipulihkan. Majlis ini terdiri daripada Tun Abdul Razak (Pengarah MAGERAN), tiga orang menteri iaitu Tun Dr. Ismail bin Dato’ Abdul Rahman, Tun Tan Siew Sin dan Tun V.T. Sambanthan serta wakil-wakil politik dan badan bebas telah mengadakan mesyuarat pertamanya pada 27 Januari 1970.
Setelah Tunku Abdul Rahman bersara pada tahun 1970, Tun Razak telah dilantik menjadi Perdana Menteri. Tun Abdul Razak telah melantik Tun Dr. Ismail sebagai timbalannya di samping menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Menteri Perdagangan dan Perindustrian.
Dalam Pilihan Raya Umum 1969, Perikatan menderita kerugian besar. MCA memutuskan untuk menarik diri dari kerajaan Perikatan kerana mereka berasa bahawa mereka tidak mampu mewakili masyarakat Cina. Tun Dr. Ismail berusaha memujuk Presiden MCA, Tan Siew Sin supaya berubah fikiran.
Penglibatan Malaysia dalam arena politik antarabangsa amat jelas terutama melalui penyertaannya dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1957, iaitu sebaik sahaja negara ini mencapai kemerdekaan. Pada masa itu, Tun Dr. Ismail dilantik sebagai Ketua Perwakilan Malaysia yang pertama ke PBB. Beliau berucap sekali lagi dalam debat PBB pada 25 September 1957 mengenai pelbagai masalah yang timbul di Afrika, Timur Tengah dan negara-negara Asia akibat penjajahan. Dalam satu persidangan PBB pada 26 September 1958 pula Tun Dr. Ismail menyatakan rasa kesal mengenai nasib Algeria masih dijajah oleh Perancis. Beliau juga menyebut nasib sedih kulit hitam di Afrika Selatan yang dikuasai oleh rejim kulit putih dengan dasar Apartheid.
Pada tahun 1970 beliau berlepas ke London untuk menjalani rawatan sakit jantung selama sembilan minggu. Namun, di waktu ketiadaannya itulah Presiden Suharto yang melawat Malaysia mengurniakan pingat kehormatan Republik Indonesia kepada Tun Dr. Ismail.
Pada bulan September 1970, Perdana Menteri baru, Tun Abdul Razak melantik beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri. Tun Dr. Ismail kemudian berlepas ke New York untuk sambutan ulang tahun ke-25 Bangsa-Bangsa Bersatu.
Pada Julai 1973, Tun Dr. Ismail telah mendapat serangan jantung tiga kali dalam masa dua minggu. Beliau meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 di rumahnya di Jalan Maxwell (dinamakan semula Jalan Tun Dr. Ismail kemudiannya) ketika berusia 57 tahun dan dikebumikan di Makam Negara.
Rujukan
Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur.
Ensiklopedia Malaysiana. ‘Ismail Abdul Rahman’, Jilid. 6. 1995. Anzagain, Kuala Lumpur.
Fauziah Shaffie & Ruslan Zainuddin. 2000. Sejarah Malaysia. Penerbit Fajar Bakti, Shah Alam.
Haji Buyong Adil. 1985. Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajahan Abad 15-19. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kuala Lumpur.
Ishak Saat. 2009. Pendidikan Negara Bangsa. Karisma Publications, Shah Alam.
Jabatan Penerangan Malaysia, Kuala Lumpur.
Lofti Ismail. 1975. Sejarah Malaysia 1400-1963. Utusan Publications, Kuala Lumpur.
Mazlan Nordin, Mengimbas Jasa Tun Dr. Ismail, http://www.utusan.com.my, 29 Mei 2010.
Ramlah Adam et al. 2006. Sejarah Tingkatan 5. Kementerian Pelajaran Malaysia & Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
http://www.primeministersofmalaysia.net/2.php, 27 Mei 2010
http://sejarahmalaysia.pnm.my, Tun Dr. Ismail, 28 Mei 2010