Abiu (Pouteria caimito Radlk) adalah sejenis tanaman malar hijau yang tergolong dalam keluarga Sapotaceae. la berasal dari kawasan tanah rendah Amazon di Brazil dan kini telah tersebar luas di Amerika Selatan dan Amerika Tengah. Di Sabah tanaman ini telah mula ditanam di Stesen Penyelidikan Pertanian, Tenom pada tahun 1984 sebagai antara koleksi janaplasma buah-buahan dari luar negeri yang berpotensi untuk dibangunkan.
Pokok abiu adalah sederhana besar dengan ketinggian boleh mencapai sehingga 10 meter. Daunnya tersusun secara berselang, berbentuk sama ada obovat atau eliptik, bersaiz 10-20 cm panjang dan 3-6 cm lebar. Bunganya jenis hermaprodit, berwarna putih dan keluar dari aksil daun sama ada secara tunggal atau berkelompok antara 2-5 kuntum setiap kelompok. Buah yang muda berwarna hijau, berbentuk eliptik atau bulat, berkulit licin dan kadangkala mempunyai ‘nipple’ yang pendek sebelah bawah buah, tangkai buah yang pendek dan mengandungi banyak cairan bergetah. Buah yang masak berwarna kuning berkilat dan kurang bergetah. Isinya berwarna putih krim, berjus, tekstur halus dan lembut, manis, aroma harum, sedikit bergetah dan mengandungi 1-4 biji yang berwarna hitam dan berbentuk oblong.
Abiu boleh dibiak sama ada melalui biji benih atau secara pembiakkan tampang. Jenis pembiakkan tampang yang sesuai dilakukan ialah cantuman baji ataupun canruman sisi. Anak pokok yang dibiak cara tampang boleh ditanam ke ladang 4-5 bulan selepas mencantum. Biji benih abiu haruslah disemai secepat mungkin (1-2 hari) bagi menjamin pertumbuhan yang baik. Anak pokok dibiak dari bijibenih boleh ditanam ke ladang bila mencapai umur 6-8 bulan selepas disemai. Pokok abiu yang dibiak secara tampang akan mula mengeluarkan buah antara 1-2 tahun selepas ditanam di ladang sementara itu pokok yang dibiak melalui biji benih hanya mulai berbuah 2-4 tahun selepas menanam.
Buah abiu yang segar di iklim tropika dan subtropika ini tumbuh subur mulai dari dataran rendah hingga dataran tinggi. Keistimewaannya yang utama dibanding anggota keluarga Sapotaceae lainnya adalah cepat berbuah. Pada umur 2 tahun, tanaman asal biji mulai berbunga. Dua bulan kemudian, bunga menjadi buah berwarna hijau dan berangsur menjadi kuning cerah ketika sudah masak / matang.
Buah abiu berwarna putih bening dengan rasa manis dan segar. Ada yang menggambarkannya seperti rasa kelapa muda, namun ada juga yang menyamakannya dengan paduan susu dan karamel. Disebabkan isinya lembik dan sedikit berair, abiu dapat dimakan dengan cara dibelah melintang atau membujur.
Selain dapat dimakan terus, buah abiu boleh diproses menjadi berbagai-bagai makanan lain seperi jem dan tart. Abiu mengandungi vitamun A, B3, dan C, serta kaya sumber kalori dan serat, buah Abiu juga memiliki banyak manfaat bagi kesihatan kita. Di Brazil sendiri, isi buah abiu digunakan untuk mengurangkan batuk, bronchitis, dan masalah asma atau paru-paru sukar bernafas.