Archives

Khasiat teh baik untuk kesihatan

Aku memang suka minum teh. Hari-hari aku minum teh. Kalau aku travel, dan jika hotel aku tempah hotel bajet yang tiada sediakan teh di dalam bilik, aku bawa bekal teh sendiri. Ataupun kalau aku travel lama, pasti aku akan beli sebungkus teh di tempat tersebut dan gula. Aku selalu tidur lewat untuk buat kerja, berbekalkan teh aku boleh berjaga hingga larut malam. Syukurlah minum teh tidak membawa mudarat kecuali kandungan gula yang kita tambah di dalam teh. Kalau minum teh tanpa gula adalah jauh lebih baik.

Khasiat teh terutama sekali dalam kesihatan diri dan juga tubuh badan sememangnya diperakui ramai. Tidak ramai yang tahu bahawa teh hijau atau green tea mampu membantu sistem pembakaran kalori dengan lebih pantas, menentang alergi dan juga menguatkan otot. Mari kita lihat apakah khasiat-khasiat yang terkandung dalam teh. Selepas membaca, jangan lupa amalkan dalam kehidupan seharian anda!

Phytochemicals tingkatkan imunisasi badan

Kandungan phytochemicals dalam teh sebenarnya mampu meningkatkan imunisasi tubuh bagi melawan penyakit seperti demam selsema atau penyakit berisiko. Malah ia dikatakan mampu membantut enzim perkembangan barah atau menentang serangan beberapa jenis sel barah. Pengarah Strong Cancer Prevention Centre di New York, Mitchell Gayor turut menasihati agar orang ramai meminum empat cawan teh sehari. Ia juga berfungsi dalam mengekalkan tahap kolestrol dalam darah dengan menyingkirkan LDL (low-density lipoprotein) atau bahasa mudah difahaminya, lemak kotor. Halang pertumbuhan kaviti gigi adalah antara bahagian yang mudah dijangkiti bakteria atau kuman. Teh yang turut mengandungi florida mampu menghalang pertumbuhan kaviti pada gigi kita. Seperti yang kita dapat lihat dalam beberapa produk ubat gigi keluaran tempatan, perasa teh dijadikan bahan utama kerana telah terbukti bahawa khasiat teh hijau diperakui oleh pakar perubatan.

Kuatkan otot, lambatkan penuaan!

Menurut laporan Archives of Internal Medicine, kajian ke atas 500 orang lelaki dan wanita di China yang mengamalkan minuman teh selama 10 tahun mendapati mereka mempunyai kesihatan tulang yang optima. Kandungan flavonoids dikatakan memberi khasiat dan menguatkan otot. Selain daripada itu, bagi mereka yang ingin kelihatan awet muda, amalkan meminum teh hijau kerana satu kajian pada tahun 2001 mendapati ia berupaya melambatkan proses penuaan. Tak perlulah anda membuat berhabis wang membuat pembedahan plastik atau cucuk sana-sini, bukan?

Menentang alergi dan bakar lemak!

Kandungan antioksida dalam teh hijau sebenarnya mampu menghalang proses bio kimia yang bertindak balas terhadap pembentukan alergi. Ia sangat mujarab bagi mereka yang alergi terutama sekali kepada persekitaran berhabuk. Teh hijau juga membantu untuk mempercepatkan proses pembakaran kalori termasuk kalori berlemak. Flavonoids bukan sahaja untuk menguatkan otot, sebaliknya ia boleh mengubah cara penggunaan hormon yang meningkatkan kelajuan kalori dibakar. Risiko penyakit jantung rendah Teh hitam atau black tea pula dikatakan berupaya menurunkan risiko penyakit jantung kerana ia menghalang darah daripada berkumpul. Dalam satu kajian yang dijalankan, seramai 1900 pesakit jantung hidup lebih lama secara puratanya 3.8 tahun selepas mengamalkan dua cawan teh setiap hari.

Sumber: By Nadia Najib | Tupai – Tue, Jun 12, 2012 4:50 PM MYT from YAHOO Malaysia

Buah Sentul

Buah sentul merupakan antara buah-buahan yang tergolong dalam golongan buah nadir di Malaysia. Nama sainsnya ialah (Sandoricum koetjape). Ia semakin sukar ditemui dan kebanyakan generasi muda tidak mengenali buah ini. Buah yang mempunyai keluarga yang sama dengan buah nangka ini berwarna hijau ketika muda dan akan berubah menjadi kuning apabila masak. Di kampung-kampung di Malaysia terdapat 2 jenis buah sentul. Jenis yang pertama mempunyai kulit yang tebal dan rasanya masam-masam kelat. Jenis yang kedua mempunyai kulit yang nipis dan kurang masam dan tidak berapa kelat. Buah sentul jenis ini juga dikenali dengan nama buah stia. Bahagian isinya sama sahaja dengan yang berkulit tebal. Isi buah sentul berulas-ulas seakan-akan buah manggis. Isinya melekat pada biji dan tidak akan tertanggal dari bijinya. Kulit buahnya juga dimakan.

Pokok sentul besar dan merupakan antara jenis pokok balak. Sentul membiak menggunakan biji benih. Penyebaran biji benih dilakukan oleh haiwan terutamanya burung.

Talibun

Berapa ramai antara kita terutama generasi muda yang pernah mendengar perkataan talibun. Mungkin ada yang mendengar tetapi tidak begitu pasti apakah ia atau berkaitan dengan apa. Definisi umum bagi talibun menurut Kamus Dewan (2005) ialah sejenis puisi lama yang terdiri daripada empat baris, enam baris, atau dua puluh baris yang bersajak di hujungnya. Talibun mempunyai beberapa persamaan dengan teromba  dari segi rima dan mempunyai bentuk yang hampir sama dengan prosa lirik atau prosa berirama. Walau bagaimanapun, talibun berbeza dengan prosa lirik dan prosa berirama kerana talibun merupakan sebahagian sahaja daripada cerita yang diambil prosa lirik.

Talibun mengungkap persoalan yang pelbagai bergantung kepada konteks cerita induknya. Lazim isi talibun berkisar kepada pelbagai perkara dan objek; seperti senjata, pakaian, kenderaan, negeri, perlakuan manusia, fenomena alam, perasaan, dan tradisi yang terdapat dalam sesebuah cerita lipur lara.

Ciri-ciri Talibun

1.    Ia merupakan sejenis puisi bebas iaitu tiada rima akhir yang tetap, terkadang sama, terkadang tidak.
2.    Terdapat beberapa baris dalam rangkap untuk menjelaskan pemerian. Oleh itu banyak unsur hiperbola selain metafora.
3.    Isinya berdasarkan sesuatu perkara diceritakan secara terperinci.
4.    Ia tiada pembayang. Setiap rangkap adalah menjelaskan keseluruhan cerita.
5.    Menggunakan atau mencampurkan genre puisi lain seperti pantun dan syair dalam pembentukannya.
5.    Gaya bahasa yang luas dan lumrah dengan memberi penekanan kepada bahasa yang berirama seperti berlakunya pengulangan.
6.    Ia berfungsi untuk menjelaskan sesuatu perkara.
7.    Ia menjadi sebahagian bahan penting dalam pengkaryaan cerita penglipur lara.

Contoh Talibun
Jika tidak diberikan contoh pastinya kita masih kabur lagi tentang talibun. Di sini diberikan beberapa contoh sesuai dengan jenisnya.

Talibun Campuran

Ketika meredah hutan belantara:

Langkah disusun satu persatu        a
Meredah belantara menyusur belukar    b
Keringat menitis membasahi baju    a
Terus dilalui walaupun sukar      b

Air sungai, lembah dan paya  a
Menjadi minuman penghilang dahaga  a
Buah-buahan hutan turut dirasa  a
Di samping bekalan yang sedia ada   a

Bertemu lurah terus dituruni  a
Sungai lebar terpaksa direnangi  a
Duduk sebentar melunjur kaki  a
Terlena hingga terbenam matahari.  a

(Hikayat Indera Bayu)

Talibun di atas ini mencampurkan rima pantun dan sajak, dengan satu rangkap rima pantun  (a b a b) dan dua rangkap rima a a a a. Tetapi sesuai dengan ciri-ciri talibun, ia tiada pembayang, semua bait adalah menggambarkan peristiwa yang berlaku.

Talibun Berulang

Rakyat menyahut panggilan daripada istana:

Pukul tabuh larangan
Palu gong pelaung
Titir canang pemanggil
Yang capik datang bertongkat
Yang buta beraba-raba
Yang tuli leka bertanya
Yang kecil terambin lintang
Yang jarak tolak-tolakan
Yang pendek bertinjau-tinjau
Yang kurap mengekor angin
Yang pekak pembakar meriam
Yang buta penghembus lesung
Yang lumpuh penghalau ayam
Yang pekung penjemuran
Yang kurap pemikul buluh.

(Hikayat Malim Deman)

Tuanku Malim Deman bersiram:

Sekali digosoknya
Dua tiga panau tercelik
Sekali digosoknya
Tiga empat panau tercelik
Hilanglah cahaya matahari
Timbullah cahaya Malim Deman.

(Hikayat Malim Deman)

Dalam talibun berulang ini, terdapat unsur metafora dan hiperbola di mana impak sesuatu perbuatan itu diperbesar-pesarkan, terkadang menyalahi hukum alam.

Talibun Bebas

Menjunjung duli:

Mengangkat kadam kepak yang indah
Kuncup seperti sulur bakung
Sayap seperti susun sirih
Tertanggam paruh yang keemasan
Tertimpuh kaki yang kiri
Terdiri kaki yang kanan
Sembah bergelar lela sembah
Tiga tapak mara ke hadapan
Dua tapak undur ke belakang.

(Hikayat Malim Dewa)

Pertabalan menjadi raja:

Seluar intan dikarang
Karangan Hassan dengan Hussain
Jikalau ditiup angin selatan
Menghabis tahun berbalik musim
Maka dikenakan pula
Baju baldu ain-ul banat
Kain kembung kampuh pelangi
Kain kelambu Rasulullah
Berikat pinggang kain cindai
Panjang tengah tiga puluh
Tiga puluh dengan rambutnya
Keris bersepuh emas sepuluh
Hulunya manikam sembilan warna
Keris bernama jalak jantan
Berkerawang pamur di pangkalnya
Pedang jenawi lantai balai
Selebar daun padi
Solek belah mumbang di ulunya
Tengkolok bernama tengkolok alang
Tepi bertelepok kalimah Arab
Sekalian hikmat pelas peperangan
Dipandang musuh tak dapat ditentang.

(Hikayat Malim Dewa)