Sebatang pokok yang penting dan mempunyai nilai sejarah di Malaysia ialah pokok melaka. Namun ia tidak begitu popular. Ramai tidak mengenali bagaimana rupa pokok ini.
Pokok melaka atau nama saintifiknya Phyllanthus emblica L adalah antara pokok nadir di Semenanjung Malaysia. Pokok yang tergolong dalam famili Euphorbiaceae ini berasal dari Asia tropika. Kini pokok melaka ditanam atau tumbuh liar di Malaysia terutama di negeri Melaka, Perak dan Pulau Pinang. Selain Malaysia, pokok melaka juga terdapat di India yang bermonsun tropika. Orang India memanggil pokok ini sebagai aonla.
Pokok melaka bersaiz kecil hingga sederhana. Pokok yang tumbuh liar boleh mencapai ketinggian sehingga 15 meter. Batangnya kelihatan seakan-akan batang jambu batu. Kulit batangnya licin dan tertanggal menjadi kepingan yang nipis. Daunnya distikus. Anak-anak daun kecil tetapi lebal, berukuran kira-kira 1 cm panjang dan 0.2 cm lebar. Anak daun berbentuk lonjong-linear, hujungnya obtus, di permukaan bawahnya glaukus, tepinya melengkung ke bawah dan uratnya tidak jelas. Daunnya berwarna hijau.
Bunganya terdapat dalam jambal bunga yang kecil. Bentuknya sangat kecil, pedisel halus dan panjangnya 0.2 cm. Sepal enam yang berbentuk ovat-lonjong. Anter tiga di dalam cecincin di atas satu turus, Ovari sub-globos dan mempunyai enam jejari stigma yang melengkung ke bawah.
Buah melaka berukuran dua hingga tiga sentimeter panjang dan hampir tidak bertangkai. Bentuknya hampir bulat, agak bujut di hujung dan pangkalnya. Terdapat enam garis lurus yang berwarna pucat, memanjang seolah-oleh membahagi buah kepada enam bahagian yang jelas. Namun demikian, bahagian ini tidak boleh dipisahkan dan garisnya tidak terbelah. Permukaan buahnya keras dan berkilat. Kulit buah berwarna hijau muda, berkilat dan agak lutsinar. Buah mempnyai bebatu heksagon, tidak daripada seginya menonjol. Bebatu berukuran 1.5 cm hingga 2 cm. Terdapat enam biji yang tertanam kuat di dalam bebatu ini. Buah melaka sangat pahit dan masam, dan ia dimakan hanya ketika dibuat jeruk.
Pokok melaka dibiak daripada biji benih, cantuman mata tunas dan keratan batang. Ia berbunga dan berbuah mengikut musim iaitu dua kali setahun. Musim buah utama ialah pada bulan Jun hingga Julai dan musim kedua pada bulan Oktober hingga November.
Pokok melaka tercatat dalam sejarah apabila ia menjadi pokok sandaran Parameswara yang melarikan diri dari Muar kerana bimbang dijejaki oleh pihak Siam (Ayutthaya). Ini kerana Parameswara telah membunuh Temagi, penguasa yang memerintah Temasik. Dalam usaha mengelakkan diri daripada serangan Majapahit, Parameswara telah melarikan diri ke Semenanjung Tanah Melayu hingga ke Muar, dan kemudian sedikit ke utara, yang pada masa itu tidak mempunyai nama. Kerana menyaksikan peristiwa anjing buruannya dikalahkan oleh pelanduk, Parameswara berasakan bumi itu ada tuahnya yang tersendiri. Oleh kerana pokok yang baginda bersandar itu namanya pokok melaka, maka baginda menamakan negeri barunya sebagai Melaka.
Kuih yang dikaitkan dengan pokok melaka ialah kuih buah melaka. Sebenarnya ia tiada kaitan dengan pokok melaka, namun kerana ia bulat maka ia dikatakan mirip buah melaka. Nama buah melaka itu sendiri berkait dengan gula kabung yang digunakan di dalamnya yang menggunakan gula melaka, iaitu sejenis gula kabung yang berasal daripada pokok enau. Kuih ini dibuat daripada tepung pulut dan disalut dengan kelapa parut. Meskipun ia ada dijual pada sepanjang masa, ia lebih popular semasa bulan Ramadan.
Rujukan
Ensiklopedia Dunia Melayu, 1997, Piramid Perdana, Kuala Lumpur.