Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, sebelum ini digelar Masjid Besi, ialah sebuah masjid baru yang dibina di Presint 3, Putrajaya, Malaysia. Masjid ini yang mula dibina sejak April 2004 siap dan sepenuhnya pada Ogos 2009 dan dibuka pada hari Jumaat, malam Awal Ramadan 1430H. Masjid ini dibina bagi menampung sekitar 24 000 penduduk dan penjawat awam di sekitar pusat bandar Putrajaya serta kawasan Presint 2, 3, 4 dan 18. Dengan pembinaan masjid ini maka ia dapat mengurangkan kesesakan di Masjid Putra. Masjid ini yang mempunyai keluasan sekali ganda berbanding Masjid Putra, yang terletak kira-kira 2.2 km ke utara, juga menjadi mercu tanda baru Putrajaya.
Masjid ini direka berdasarkan 3 konsep iaitu angin, sederhana dan telus. Disebabkan ia menggunakan keluli lebih daripada konkrit maka masjid ini digelar secara tidak rasmi sebagai Masjid Besi. Kira-kira 6,000 tan keluli digunakan bagi pembinaan masjid ini yang mewakili kira-kira 70% manakala selebihnya adalah konkrit.
Masjid Besi mempunyai keistimewaan yang tersendiri antaranya tiada pemasangan kipas ataupun alat penyaman udara di dalamnya, sebaliknya menggunakan gas penyejuk. Setiap panel dinding luar masjid dinamakan Masyrabiah diperbuat daripada anyaman besi tahan karat atau `architectual wire mesh’ yang mempunyai ciri unik iaitu telus cahaya dan angin membuatkan pengunjung selesa dengan hembusan angin segar. Anyaman Masyrabiah diimport khas dari Jerman dan menjadikan ia satu-satunya bangunan dengan anyaman besi tahan karat di negara ini. Ia juga dilitupi panel bercorak geometri pada bahagian luar, juga daripada jenis besi tahan karat selain hiasan kaligrafi di setiap ruang bangunan itu.
Pintu gerbang masuk juga menggunakan konkrit bertetulang kaca (GRC) bagi mempertingkat integriti sesebuah struktur serta kaca hablur bagi menjadikan masjid kelihatan berwarna putih dari jauh.
Perjalanan menuju ke masjid hanya menyeberangi sebuah jejantas yang menghubungkan Dataran Putrajaya ke kawasan masjid ini yang dikenali sebagai Kiblat Walk seluas 13,639 m². Jejantas ini dihiasi dengan kolam air seolah-olah berada di kawasan kota istana purba Alhambra. Hiasan dindingnya dilatari ukiran Asma Ul-Husna menggunakan tulisan kaligrafi dari jenis Khat Thuluth. Pintu utama menuju ke ruang solat utama terukir ayat suci Al-Quran dari Surah Al-Isra’ ayat ke-80.
Ini ditambah lagi dengan pembinaan dinding mihrab yang diperbuat daripada panel kaca setinggi kira-kira 13 m juga diimport dari Jerman yang terukir 2 baris ayat dari Surah Al-Baqarah pada bahagian kanan dan Surah Ibrahim di sebelah kiri. Uniknya, dinding mihrab ini tidak memantulkan kesan dari pancaran sebarang cahaya atau lampu menjadikan ukiran kaligrafi ayat suci berkenaan yang berwarna keemasan itu kelihatan jelas dan seolah-olah terapung di udara. Bahagian tepi bumbungnya sepanjang 40 kaki pula mampu mengelakkan jemaah yang bersolat di luar dewan solat utama terkena tempias hujan.
Ada komen-komen yang mengatakan masjid-masjid di Putrajaya lengang. Namun kunjungan peribadi saya pada Mei 2010 mendapati komen-komen tersebut tidak benar. Beratus orang juga mengerjakan solat maghrib di masjid itu. Mungkin jika dikira hampir seribu orang. Ada kemungkinan sebab hari itu adalah hari sabtu, dan kebetulan ada aktiviti di Putrajaya. Oleh yang demikian pembinaan masjid ini tetap memberi kemudahan dan memberi manfaat kepada penduduk dan pengunjung Putrajaya. Wallahuaklam.
Sumber: wikipedia & tulisanmaya