Archives

PESTA ATAU PAMERAN BUKU?

KL International Book Fair 2010 sudah berakhir. Jika dalam Bahasa Melayu ia disebut sebagai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Tetapi ada suara-suara yang menyebut sebagai pameran buku. Para peniaga disebut sebagai pempamer (exhibitors) oleh pihak pengurusan. Adalah lebih sesuai istilah pameran digunakan untuk tahun ini. Pesta buku kali ini hambar. Perkara ini dinilai oleh penulis secara personal. Mungkin ada pihak yang tidak bersetuju. Namun daripada pendapat beberapa pempamer yang penulis temui, semuanya mengatakan perkara yang sama, malah ada yang mengatakan sebagai sangat teruk. Terutama sekali pesanan yang melibatkan badan-badan atau pustaka-pustaka kerajaan. Ia dinilai hasil perbandingan dengan tahun lepas. Namun para penerbit atau pempamer yang mensasarkan bahan-bahan untuk sekolah dan remaja pastinya tidak menghadapi masalah yang besar berbanding pempamer buku-buku ilmiah atau buku-buku umum untuk khalayak yang lebih ‘educated’. Di mana silapnya?

Hasil tinjauan penulis beberapa faktor menyebabkan kelembapan pesta buku kali ini. Antara faktor yang paling utama ialah kemelesetan ekonomi tahun lepas telah memberi kesan kepada tahun ini. Disebabkan nampaknya ekonomi semakin pulih, adalah dijangkakan pesta buku tahun hadapan akan bertambah baik. Namun ia juga bergantung kepada keadaan semasa. Faktor lain ialah masa yang tidak sesuai. Cuti sekolah baru berakhir. Pesta buku akan lebih meriah jika ia diadakan pada cuti sekolah. Biasanya ibu bapa juga akan mengambil cuti. Jadi mereka ada masa untuk membawa anak-anak ke pesta buku. Mungkin peratusan tidak besar bagi rakyat Malaysia berbuat demikian namun ia masih boleh merubah keadaan. Faktor ketiga ialah tarikh yang tidak sesuai. Namun ia berlaku setiap kali pesta buku diadakan. Entah mengapa pihak pengajur tidak dapat memperuntukkan tarikh yang lebih tepat dan menggalakkan lebih ramai pengunjung datang ke pesta buku. Tarikh tamat biasanya pada 27 atau 28 haribulan setiap tahun. Mereka arif dan tahu pekerja swasta belum lagi menerima gaji untuk bulan tersebut. Adalah agak mustahil golongan pertengahan dan sederhana menyimpan wang sejak Januari untuk membeli buku di bulan Mac atau April sedangkan mereka dibebani pelbagai pembayaran tetap yang perlu dilangsaikan setiap bulan. Namun jika pesta buku diadakan dalam keadaan mereka masih berduit, setakat RM50-100 boleh juga dikorbankan demi mendapat sedikit bahan bacaan dan ilmu. Jadi jika tarikh pesta buku sedemikian, pihak pempamer atau penerbit hanya berharap kepada golongan yang berduit. Golongan sederhana hanya boleh membeli bahan santai dan murah, atau kemungkinan tak datang langsung.

Persoalannya adakah isu tarikh ini amat ‘significant’. Pesta-pesta lain yang dianjurkan oleh pihak televisyen swasta tidak memerlukan mana-mana tarikh yang sesuai. Bila-bila pun boleh, lebih-lebih lagi ia di’seri’kan dengan golongan penghibur yang melalaikan. Pelbagai barangan sama ada murah atau mahal boleh dijual tanpa sebarang masalah. Puluhan ribu manusia boleh datang bersesak-sesak meskipun di bawah panas terik atau hujan ribut. Ribuan kereta akan membanjiri jalan raya. Sedangkan pesta buku diadakan di dalam dewan berhawa dingin dan mempunyai letak kereta yang berbumbung atau dengan erti kata lain, amat selesa. Adakah ada faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kehambaran pesta buku? Sedangkan di negara kita tiada pekan buku atau bandar buku seperti di beberapa buah negara lain. Kedai buku juga terhad. Pesta buku yang diadakan setahun sekali tidak berjaya mencuri tumpuan rakyat Malaysia. Ada juga suara-suara yang mengatakan kurangnya promosi, dan kemungkinan pengunjung-pengunjung yang datang adalah orang sama yang sentiasa ‘alet’ dengan pesta buku, atau golongan-golongan yang berkaitan dengan industri ini. Penulis setuju juga dengan pendapat ini. Tiada promosi besar-besaran diberikan oleh semua media termasuk media kerajaan atau swasta. Ada sebuah media kerajaan hanya mempromosikan gerai mereka sahaja. Faktor lain mungkin ibu bapa terlalu berkira untuk membeli buku. Mereka bersedia membelanjakan perkara-perkara lain untuk anak-anak tetapi bukan buku.

Pengalaman penulis semasa menjaga gerai, ada seorang bapa yang tersilap memandang harga buku, dia menyangkakan buku itu berharga RM3, tetapi apabila mahu membuat bayaran di kaunter buku tersebut adalah RM5. Terus dia membatalkan pembeliannya, meskipun buku tersebut bukan bahan fiksyen, atau dengan kata lain amat berfaedah untuk kegunaan anaknya, atau kemungkinan untuk dirinya sendiri. Terdapat beberapa orang lagi yang sedemikian, amat berkira meskipun hanya RM1-2 perbezaan. Mereka sanggup membatalkan pembelian. Oleh itu, kesimpulannya mereka mahu membeli buku tersebut hanya kerana harganya bukan isinya. Terdapat juga pengunjung amat berkira dengan diskaun. Tanpa diskaun yang banyak mereka enggan membeli. Sedangkan barang-barang lain jarang sekali diberikan diskaun oleh peniaga terutama sekali jika kita membeli-belah di pasar raya. Namun mengapa kita tidak berkira. Harga barangan elektrik misalnya, sukar sekali mendapat diskaun 15-20% kecuali penghabisan stok, itupun boleh diragui kesahihannya. Tetapi dalam soal buku, diskaun yang tinggi diperlukan.

Dalam rancangan Di Luar Lingkungan yang dihoskan oleh Syed Munawwar pada minggu pesta buku ini telah membincangkan mengenai isu adakah masyarakat Malaysia suka membaca atau telah mula minat membaca. Minat atau tidak dinilai daripada pembelian buku. Terdapat pelbagai pro dan kontra diterima. Terdapat beberapa isu yang ditimbulkan oleh penonton melalui SMS, antaranya termasuk isu lapuk (tetapi masih relevan) yang kebanyakan mahasiswa lebih suka menfotokopi buku daripada membeli yang asli. Kemajuan dan perkembangan internet juga membantu golongan ini mencari bahan melalui dalam talian. Oleh itu buku tidak diperlukan. Jika mereka mengadu buku mahal, sedihnya mereka masih boleh memiliki telefon genggam berharga ratusan hingga ribuan ringgit. Sebahagian besar telah mampu memiliki komputer riba dan sebahagiannya memiliki kenderaan. Bagi penulis, pelajar insitusi pengajian tinggi tidak mahu membeli buku kerana tidak berminat. Bagi mereka, mereka boleh merujuk buku di pustaka atau internet, itu sudah memadai, roh untuk memiliki hasil usaha para ilmuan tidak ada, jauh sekali menghargainya. Terdapat rungutan para pensyarah di mana pelajar lebih suka merujuk kepada www. Rumusannya melalui rancangan Di Luar Lingkungan tersebut mengikut pandangan penulis, adalah 50-50 untuk mengatakan masyarakat telah mula membaca. Ia masih tidak memberangsangkan.

Untuk membincangkan isu ini masih memerlukan penghuraian yang panjang. Ia seolah-olah tidak akan habis terutamanya bagi negara yang sedang membangun. Usaha yang lebih gigih masih diperlukan untuk menanam minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Kesedaran mengenai kepentingan membaca perlu dilakukan oleh semua pihak. Adalah penting untuk mengingatkan rakyat Malaysia bahawa membaca buku bukan di bangku sekolah atau institusi pengajian tinggi sahaja. Wallahuaklam.

Editor??? Surat Khabar atau Majalah?

Begitulah reaksi spontan jika saya beritahu seseorang mengenai kerjaya saya. Atau reaksi yang ‘sama waktu’ dengannya ialah ‘surat khabar mana?’, ‘majalah apa’ dan ‘NST ke’? atau menyebut beberapa akhbar terkemuka. Kenapa buku tidak masuk dalam fikiran mereka. Benarkah masyarakat kita adalah masyarakat tidak suka membaca buku. Jika ini benar, bagaimana ratusan penerbit buku di Malaysia boleh meneruskan perniagaan mereka? Kerajaan juga memperuntukkan lebih RM5 juta setahun untuk membekalkan buku-buku sama ada di sekolah atau di pustaka-pustaka desa. Adakah buku-buku yang dihantar ini tidak dibaca? Ia hanya sekadar memenuhi tender dan menyelesaikan tugas pegawai terbabit? Persoalan ini begitu subjektif untuk menyatakan masyarakat kita tidak membaca atau membaca sekadar memenuhi tuntutan kerjaya atau peperiksaan. Ada buku yang boleh dijual ratusan ribu naskhah. Novel-novel remaja yang tidak termasuk dalam mana-mana sukatan pelajaran tempatan laris dijual, malah ada penerbit yang bergantung kepada penjualan novel sahaja.

Terdapat beberapa aspek yang perlu diperhatikan dalam permasalahan ini. Perkara paling asas ialah negara kita adalah negara membangun. Masyarakat berlumba-lumba mengejar materialistik. Mereka lupa kepentingan membaca. Membeli TV, telefon genggam mahal, komputer riba dan alat ‘kehendak’ lain adalah lebih penting daripada buku, dan ia dianggap sebagai ‘keperluan’. Mengikut Maslow, kehendak manusia pada abad-abad milenium dan selepasnya akan bertambah dan menjadi keperluan. Walaupun pada asal teorinya, keperluan hanya terbatas kepada bahan yang hanya diperlukan untuk hidup dan bernafas. Tapi kini, mungkin ada manusia tidak boleh hidup tanpa TV, internet atau telefon mudah alih.

Faktor kedua daripada permasalahan ini mengikut pertimbangan penulis, buku-buku yang memenuhi selera orang awam masih kurang. Jumlah penerbit tempatan masih tidak seimbang dengan penduduk Malaysia yang hampir mencecah 30 juta orang. Memang jumlah pembaca amat berkurangan jika dibandingkan dengan negara maju namun disebabkan tiada lambakan buku yang ketara di pasaran menyebabkan jumlah yang sedikit itu kelihatan boleh mengisi poket usahawan buku.

Kekurangan buku pula amat ketara apabila lambakan buku asing seperti dari jiran serumpun terutama dalam bidang agama Islam menguasai pasaran tempatan. Novel-novel dari sana juga laris malah berebut-rebut diadaptasi oleh penerbit tempatan. Ada penerbit cenderung menerjemahkan bahan-bahan asing tersebut lebih daripada menghasilkan bahan tulisan orang tempatan sendiri. Perkara ini akan terus berlarutan kerana pembaca masih mahu mencari bahan mengikut kehendak mereka. Terdapat sebilangan penerbit tempatan pula sibuk menghasilkan buku untuk memenuhi tender, tanpa mengira pasaran awam. Persoalannya, adakah di Malaysia amat kekurangan penulis yang mampu memenuhi citarasa masyarakat setempat?

Oleh yang demikian, bukan semua masyarakat kita tidak membaca. Namun peratusannya amat sedikit. Ada pula yang amat berkira dalam soal bahan bacaan. Mungkin bagi mereka ia tidak penting berbanding keperluan lain, lebih-lebih lagi kerjaya yang tidak melibatkan soal bacaan. Pengasahan pemikiran dan kemahiran teknik berfikir langsung tidak diambil kira. Mereka hanya meneruskan kehidupan rutin tanpa memikirkan bagaimana untuk meningkatkan ilmu pengetahuan sekali gus melakukan anjakan paradigma supaya kehidupan masa akan datang jauh lebih baik. Masih tertanam di minda masyarakat kita bahawa membaca hanyalah untuk keperluan akademik dan sebahagian kerjaya, dan tidak diperlukan oleh individu yang tidak berkepentingan seperti suri rumah, pegawai penjara, jaga, pencuci pejabat dan sebagainya. Jika golongan yang ‘tidak berkepentingan’ ini membaca, mereka hanya memilih bahan-bahan santai yang mungkin tiada manfaat.

Golongan pembaca yang sedikit sahajalah membantu penjualan buku namun masih tidak memadai. Penerbit pula hendaklah bijak mengambil hati pembaca. Selain kreatif, buku mestilah dijual dengan harga berpatutan. Kalau tidak, masyarakat awam lebih cenderung membaca sesuatu yang santai, murah, berbentuk hiburan dan kadang-kadang langsung tidak memberi manfaat.